Makluman

Sesiapa yang berminat untuk menjadi sebahagian dari penymbang artikel KBloG, mudah sahaja cume ikut arahan ini

1. Hantarkan alamat emel anda ke bloggerkuis@gmail.com

2. Selepas 7 hari sila periksa emel anda

3. Jida ada maklumbalas dari kami, tekan pada mail kami dan ikut arahan yang diberi.

4. Setelah anda mengisi emel dan pasword blog anda dalam mail kami, sila periksa blog anda dan pasti kan ada ruangan KBloG pada "Dashboard anda"

Jika ada sebarang masalah sila emelkan pertanyaan kepada kami : bloggerkuis@gmail.com

Selamat mencuba :)

Mahasiswa Islam, Mahasiswa Yang Berpengetahuan dan Celik Pada isu2 Semasa


Klik Sini

Adakah Kita Begini?

Thursday, July 29, 2010

Utopia perpaduan Melayu.

Your Blog : duniaunderground.wordpress.com



Perpaduan utopia Melayu.



Meneliti, reality politik Malaysia mutakhir ini membuatkan kepala kita semua menjadi resah, menyakitkan malahan mencucuk-cucuk bola mata kita. Diolah pula oleh media massa yang minumannya setiap hari adalah gossip-gosip dan rumor-rumor politik makin mencelarukan pemikiran khalayak yang bermukim di Malaysia Baru ini. Sudahnya, etika pemberitaan apakah yang mahu dibawakan oleh mereka dengan sikap ini? Sekadar, menjunjung demokrasi tulen hingga tidak tahu ke mana penghujungnya mahu dibawa ummah ini? Ini, sesuatu yang horrible, dan sukar masuk akal oleh generasi cerdik pandai kaum muslimin masa kini.



Terbaru, kita diheret sekali lagi dalam kancah pertembungan antara mufti negeri Perak dan pergerakan kaum muslimin popular iaitu PAS. Massa yang sedia bingung bertambah bingung; PAS berselisih dengan mufti, lagi sekali?



Barang diingat, ini bukanlah kali pertama pertembungan antara kaum PAS dan para mufti. Shahril Long, seorang agitator PAS pernah berkali-kali melontarkan herdikannya kepada kaum mufti dengan sinis dan begitu pedas sekali. Semua ini, boleh disaksikan sendiri melalui vcd-vcd kuliah rakaman beliau. Selain Shahril Long, ramai lagi antara kaum PAS yang melakukan perkara-perkara yang sama. Ini semua, belum lagi dikira para blogger yang begitu gigih memukul keyboard melantunkan serangan via internet.



Apa, yang disebut di atas bukanlah bermaksud pembelaan buta kepada para mufti yang bertanggungjawab memberi fatwa mengikut negeri masing-masing. Ada, kalangan antara kaum mufti yang terkenal jujur tetapi amat mujur dalam setiap laras tindak tanduk. Jika, tidak berhati-hati sebuah lagi kaum akan memasuki kancah ini; kaum pemerintah. Kaum, pemerintah yang mewakili pihak atasan hegemoni tirani kroni akan memulas telinga kaum mufti jika tidak dapat tanduk?



Sekali lagi, mufti Harussani terpaksa menyanggah keadaan dan terpaksa untuk masuk mengikut sama pertelagahan kaum PAS dan kaum UMNO dalam mencipta utopia perpaduan bangsa Melayu. Dahulu, dia masuk juga dalam Majalah Millenia menceritakan kesusahpayahan dia bermudik ke hulu dan ke hilir untuk mencipta sebuah perpaduan pasca pru 12 yang menghancur, meretak seribu kerajaan UMNO Barisan. Dia tewas, akhirnya.



Dalam sebuah temubual, dia ada berkata bahawasanya dia bukanlah orang politik. Maka, soalan yang harus dilempar di sini mengapa dia harus sama terlibat jika dia bukanlah Muawiyah? Ada, ketempangan yang amat ketara apabila Tan Sri merangkap tokoh Maal Hijrah ini masuk sekali ke dalam kancah yang bukan sepatutnya dia masuk langsung. Ada, wilayah lain yang perlu dia beri keutamaan. Atau, dia ada sebab-sebab lain?



Seolah-olahnya begitu!



Orang Islam.., seperti kata Ustaz popular PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyalin petikan kata-kata Nabi SAW, ..”tidak akan dipatuk oleh ular dua kali ataupun jatuh dalam lubang yang sama dua kali."



Jika, Tan Sri Harussani berkelakuan begitu sebanyak dua kali, tidakkah dia dua kali lima?



Pepatah, Melayu dua kali lima yang tidak dibukukan dalam kamus daftar kata DBP itu membawa maksud Tan Sri Harussani pun samalah seperti menteri perang Jeneral Naguib Coup De Tat Altantuya 1 Malaysia.



Apabila kalah, maka mereka akan gila talak untuk merujuk kembali maka akan dipakainya satu lagi kaum yang tidak reti apa satu pun tentang politik hari ini, tentang penderitaan marhaen jelata hari ini serta kemiskinan ‘aqidah yang didapati dijumpai dalam masyarakat kontemporari di bumi kita berpijak masakini.



Menteri, besar Kedah yang juga seorang ustaz besar bahkan boleh jadi seorang ulama politik nasional berkata, “masalah dalam isu fatwa dan Islam pun maseh banyak belum selesai, eloklah bagi tumpan. Politik jangan dikacau. Mufti, lebih elok jaga peranannya yang sebenar, cukuplah” lapor Sinar Harian Isnin 19 Julai 2010.



Dan perkataan PAS TOLAK diperbesarkan sebesar-sebesarnya entah untuk apa. Melainkan, tidak lain dan tidak bukan semuanya adalah propaganda murahan menarik simpatisan-simpatisan sepertimana kaum Melayu Hulu Selangor untuk kasihan pada UMNO Barisan dan menolak PAS di masa pilihanraya umum akan datang.



Mungkin, kata-kata menteri besar tak jadi Ir. Nizar agak pedih. Tetapi barangkali ianya mungkin hakikat yang kena ditelan oleh Harussani yang boleh dikatakan tidak berbuat apa-apa untuk mendirikan semula kerajaan demokrasi PR Perak. Kata Nizar, “sepatutnya sebagai mufti seeloknya beliau keluarkan dahulu fatwa berhubung rampasan kuasa UMNo/BN di Perak. Beliau, tidak layak untuk menyatukan UMNO, PAS kerana gagal menghalang kerajaan haram di Perak ini. Jangan sibuk mencampuri urusan sebagai perantara penyatuan. Beliau tidak layak dan tiada hak untuk menjadi perantara kerana ia di luar bidang kuasa sebagai mufti. Justeru, saya cabar beliau keluarkan fatwa berkenaan.” Lapor, akhbar yang sama di halaman 4 pada hari yang sama juga.



Sayalah pemimpin itu kata Dr Hasan Ali pada 25 Julai di akhbar yang sama. Pesuruhjaya Pas Selangor itu mengaku bahawa beliaulah pemimpin PAS yang mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Harussani sepertimana yang didedahkan dahulu oleh Harussani.



Sebenarnya, akan terwujudkah perpaduan antara kaum Melayu?



Di bawah headline Sayalah pemimpin itu, bekas perasuah yang menang besar menang kerbau dalam pilihanraya kecil di Bagan Pinang sendiri telah pun menjawab: Perbezaan ideology politik menjadi halangan utama untuk merealisasikan cadangan kerjasama antara UMNO dan PAS. Maka, adakah kita buta, rabun sepet atau tidak nampak lagi?



Sepatutnya kaum mufti sudah alert akan hal ini semenjak sekian lama lagi. Jika tidak, apakah yang sebenarnya ditelaah dan dipelajari semasa angkatan kaum mufti mengaji semasa zaman belajar? Apabila, kalimah tauhid toiyibah la Ilaha illallah dikumandangkan lewat jalan-jalan, pasar-pasar malam, lorong-lorong kota Mekah, maka terpecah dan terungkailah ikatan nasab yang selama ini atas nama darah keturunan yang seiras, senada dan seirama dengan tali ikatan binatang. Yang, mengaku mengimani sepenuh hati kalimah tauhid itu berada di satu golongan manakala yang tidak mengimaninya, mengkufurinya bahkan lebih teruk lagi memeranginya berada di belahan pihak yang satu lagi. Bukankah ini tauhid dan tuntutannya? Allahu Rabbi, ya aiyyuhal muftiyyun? Ila ayna antum?



Maka, macam mana mungkin akan tertegak perpaduan atas nama Islam jikalau satu puak memilih jalan thogut dan segolongan lagi memilih memegang kukuh tali Allah? Lainlah ceritanya pula dengan Ibrahim Ali yang mahu mencapap dengan angan-angan mahu menubuhkan sebuah lagi parti baharu.



Tuesday, July 20, 2010

Inilah permulaan..!

Your Blog :

Air, salah satu nikmat terbesar yang dikurniakan Allah melebati tubuhku. Air sejuk dicampur dengan air panas membentuk suam memang benar-benar melegakanku. Damai. Allah. Muhammad.

Segala-galanya, bermula apabila Pakatan Rakyat memenangi hampir seluruh penjuru Malaysia maka Malaysia selayaknya diberi nama dan nafas baru iaitu Malaysia Baru.

Aku, sebenarnya maseh mentah hijau di bumi kampus. Hampir zero dan tidak tahu satu apa langsung pun kaitan antara kampus dan politik luar; politik nasional.

Tambah, membingungkan aku lagi apabila gerakan-gerakan dan individu-individu di kampus bertanding dan melibatkan diri di dalam kancah politik kampus. Aku, jadi buntu dan keliru sama sekali.

Sementara itu, di suatu sudut terpencil aku menyedari ada satu lagi kelompok yang sungguh-sungguh mustadh'afin terpinggir. Mereka benar, cuma makan mee maggie hampir saban waktu. Pelajar-pelajar Indonesia antaranya. Aku jua sebenarnya.

Bukan, sahaja para pelajar dari bumi seberang yang menahan lapar dan dahaga, dari bumi Malaysia Baru juga ada. Selain aku, ramai lagi yang kulihat begitu. Itu semua, belum masuk lagi kes PTPTN riba yang diswastakan oleh kerajaan.

Apa sikap, aku, kami di bumi sini? Hanya memerhatikan sahaja?

Hanya berseminar, berdiskusi dan berintelektual semata?

Nak pergi program intelektual pun perlukan duit maa..!

Membaca, akhbar-akhbar lokal tempatan membuat nubari aku bagaikan dicucuk-cucuk oleh jarum peniti. Urat sarafku terasa seakan berhenti berdenyut-denyut, apa yang sebenarnya berlaku ke atas masyarakat manusia di abad kontemporari ini?

Aku manusiakah, apabila melihat sahaja dan hanya cuma mampu berdoa melihat kesakitan demi kesakitan umat manusia dan tidak mampu untuk berbuat lebih daripada itu?

Sekularisasi, demokrasi, kepincangan rumah tangga, buta huruf, kerosakan sistem pendidikan, gejala kepincangan rumah tangga kaum Muslimin, kemusnahan dan kehilangan tanah-tanah kaum Muslimin...

Allahu Rabbi, apa setepatnya aku ini?

Monday, July 19, 2010

Aku dan Kau Hanyalah Seorang Hamba!

Your Blog : Penganalisis Minda

Salam sejahtera kepada sahabat pembaca dan pengunjung sekalian.

Peristiwa Isra' Mikraj banyak memberi kita maksud di sebalik significant pada setiap perkara yang berlaku, pelbagai tafsiran dan maksud yang dikehadapankan oleh ahli agamawan untuk menyampaikan kepada kita setiap pengajaran yang pastinya tidak akan ditinggalkan walau sejarak zarah.

Antaranya adalah mengingatkan kita sebagai hamba Allah SWT.

Disaat manusia kini terkeliru diantara tanggungjawab kejadian sebagai khalifah ataupun hamba, kita perlu mengingatkan diri bahawa keduanya adalah tanggungjawab yang perlu dipikul.

Menyampaikan dakwah, agama Allah SWT, sunnah Nabi SAW dengan menyeru kepada kebaikan dan menegah kepada kemungkaran maka kita telah berusaha untuk menjadi khalifah yang soleh, namun begitu adakalanya keasyikan kita sebagai khalifah akan mula goyah tanpa rasa kehambaan kita kepada Allah SWT. Puncanya keikhlasan mula dipertikai, semangat kian pudar, mengejar ganjaran dan melupakan mereka yang susah.

Ingatlah, hanya dengan mengingatkan diri sebagai hamba Allah SWT sahajalah yang akan membuatkan kita tunduk dengan penuh tawaduk dan istiqomah dalam beriman dan beramal.

Pada pengetahuan anda, apakah hebat sangat seorang hamba ini? Jika dilihat ketika kewujudan penggunaan hamba zaman dahulu kala, hendak dicerita pasal seorang hamba tidak dapat di zahirkan dengan kata-kata akan kepayahannya dalam kehidupan. Berkhidmat seumur hidup hanya kepada arahan tuan semata-mata.

Tetapi inagtlah, betapa Allah memuliakan hambaNya. Firman Allah SWT:

Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan HAMBA-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Surah Al-Israa' : 1

Lihatlah, bagaimana seorang hamba di perjalankan oleh Allah SWT untuk dipertemukan dengan kejadian-kejadian yang penuh peristiwa dan diakhirkan dengan tanggungjawab.
Apakah ia? tentu sekali solat. Solat diwajibkan ke atas seorang hamba, mereka yang meninggalkan solat beerti mereka alpha bahawa mereka adalah hamba. Allah SWT tidak mengatakan KHALIFAH di dalam ayat ini, tetapi Allah SWT mengatakan HAMBA

Berdasarkan kisah Sultan Ahmad pada kurun ke-17, beliau telah meletakkan satu palang melintang di pintu masjid yang menjadi tempat persinggahannya setiap waktu untuk menunaikan solat, tujuannya adalah supaya apabila beliau yang hadir dengan menunggang kuda sampai dipalang tersebut, beliau akan turun dari kudanya dan berjalan kaki masuk ke dalam masjid, ini adalah kerana untuk mengingatkan bahawa beliau adalah hamba.

Ironinya, hari ini ramai diantara kita yang alpha dan lalai adalah kerana kita lupa bahawa kita adalah hamba Allah SWT. Seperti kisah Sultan Ahmad ini, kita perlu mencari satu cara untuk mengingatkan diri kita sebagai hamba Allah SWT, supaya setiap gerak-geri kita akan terkawal dan penuh tawaduk dan bersikap soleh.

Kita rasa diri kita tidak cukup sempurna? Kita hanyalah hamba.
Kita rasa diri kita sudah cukup hebat? Kita hanyalah hamba.
Kita fikir tiada siapa yang lebih berkuasa dari kita? Kita hanyalah hamba.
Ingatlah bahawa kita hanyalah seorang hamba. Kita malu apabila dikatakan hamba cinta, kita malu apabila dikatakan hamba kereta, kita malu untuk digelar hamba harta dan dunia, tetapi hakikatnya kita tidak pernah malu untuk digelar hamba kepada Allah SWT. Jadi apakah yang membuatkan kita untuk tidak mengingatkan diri sebagai hamba Allah SWT. Tiada alasan.

WaAllahu a'alam...

Sunday, July 11, 2010

ESQ165: Ulasan dan Komentar

Surat khabar Berita Harian minggu lepas terpampang besar di muka hadapannya, "ESQ haram".

Mufti Wilayah Persekutuan, Sahimus Samahah Datuk Hj. Wan Zabidi Wan Teh telah mewartakan fatwa terbarunya dengan mengharamkan sama sekali apa-apa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh ESQ Leadership Training yang diasaskan seorang pakar motivasi Indonesia Dr Ary Ginanjar Agustian.

Pastinya muka depan Berita Harian itu memeranjatkan banyak pihak. Saat ESQ165 diterima ramai orang hatta ianya disertai oleh orang-orang kenamaan negara bahkan mufti-mufti, tiba-tiba fatwa Mufti Wilayah semacam anti-klimak.

Soal setuju, tak setuju itu bukan tumpuan saya. Saya tak berminat sedikitpun tentang itu.

Namun bagi saya fatwa itu bukanlah memeranjatkan kerana kami sudah dimaklumkan secara lisan oleh Mufti Perlis, Sahibus Samahah Dr. Juanda Jaya tahun lepas. Ketika itu ia masih dalam proses penyelidikan dan penyiasatan, maka dilarang bawa mulut. Kami pun tidak diberitahu perincian yang mana yang bermasalah. Hanya itu sahaja.

Apabila timbul cakap-cakap (kesan pewartaaan fatwa itu) di laman sosial mahupun forum-forum internet, sebenarnya saya masih tidak jelas apa justifikasi perngharaman itu. Maka saya lebih selesa tidak mengulas apalagi mengkritik pihak ESQ sendiri mahupun Mufti Wilayah.

Saya cuba mencari maklumat sebanyak yang mungkin untuk saya melihat apa tasawwurnya. Perkara pertama saya buka laman sesawang ulama muda negara, Ust. Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR).

Membaca ulasan dan komentar UZAR bersekali dengan komen-komen pengunjung memberikan saya banyak maklumat penting. UZAR lebih menumpukan soal praktis ibadah khususiyyah seperti zikir, doa, majlis menangis, selawat dan doa berjemaah. Setulusnya UZAR menjelaskan beliau (setakat yang diketahui) tidak menemukan unsur yang memudharatkan akidah.

Malaysiakini.com mula melaporkan padangan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin (DrMAZA). Beliau tidak mengulas tentang apa kandungan modul itu dan ini. Cuma beliau mahu jangan ada 'Talibanisasi' dalam hal ini. Walaupun DrMAZA seperti yang kita maklum adalah ulama beraliran Salafi, namun beliau memperlihatkan kesederhanaan dan keterbukaan dalam isu dengan merasakan jika ada yang boleh diperbaiki, maka ruang itu mesti diberikan. Penambahbaikan sangat diperlukan saat ini.

Turut menjadi perhatian saya ialah laman sosial Facebook Ust. Hasrizal Jamil. Di sana menemukan saya dengan pandangan beliau dan rakan-rakan sosialnya. Beliau tidak mempertikai tentang pengharaman itu. Cuma rasa ralat apabila Mufti Wilayah memasukkan buku Christianity for Dummies sebagai salah satu rujukan fatwa.

Saya kemudiaanya ke Portal Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan.

Saat membaca lampiran pewartaan pengharaman ESQ, saya akui memang saya tidak faham apalagi jelas dengan maksudnya. Iyalah, pewartaan sesuai dengan sifatnya sebagai bahan undang-undang, maka ia ringkas dan tiada huraian apa pun.

Saya belum berpuas hati kerana saya tidak bertemu jawapan dan hujah-hujah ilmiah yang berwibawa dan solid.

Namun semua itu terjawab dan ia sangat melegakan apabila saya membawa kertas kerja ilmiah SS Mufti Wilayah yang beliau bentangkan di Indonesia bertajuk Gerakan 'Islam' Liberal di Indonesia dan Kaitannya dengan ESQ.

Sahibus Samahah mengutarakan hujah-hujah yang memperlihatkan betapa runsing dan bimbangnya rasa hati beliau dengan perkembangan munafiqun agama melalui ideologi mereka seperti liberalisme, pluralisme dan sekularisme.

Beliau membahaskan secara panjang lebar di dalam kertas kerja setebal 44 muka surat. Sepanjang hidup saya menghadiri seminar, kolokium, diskusi atau bengkel, inilah pertama kali saya bertemu dengan kertas kerja setebal itu.

Sungguh saya berpuas hati dengan justifikasi kenapa Sahibus Samahah Mufti Wilayah mewartakan pengharaman itu sekalipun tindakan beliau kelihatan melawan arus. Sungguh beliau tekad dan nekad.

Sehingga saat saya menulis artikel ini, saya belum mendapat jawapan dan hujah-hujah ilmiah dari pihak ESQ Leadership Training. Saya masih lagi tercari-cari (menunggu-nunggu sebenarnya). Yang ada sejauh ini ialah sandaran-sandaran peribadi-peribadi kenamaan dan tokoh-tokoh agama yang pernah menyertai program anjuran ESQ. Lebih dari itu memang tiada.

Harapan saya ialah supaya pihak ESQ Leadership Training jangan mengambil masa terlalu lama untuk berhujah dan memberikan jawapan ilmiah yang berwibawa.

Kebenaran tidak bersandar kepada peribadi-peribadi besar tetapi ia adalah dirinya sendiri.


GEMA MAHASISWA
http://arrazzialhafiz.blogspot.com

Tuesday, June 29, 2010

Al- 'Adalah.

Your Blog :duniaunderground.wordpress.com

Keluarga Ali Imran telah aku tinggalkan. Masa untuk Gog pula. Satu persatu Gog aku jelajahi. Gog, di tahun ini adalah sepertimana blog di yang sudah ditinggalkan di penghujung tahun 2020. Gog, pernah disindir nakal oleh aku dalam satu entri. Gog, namanya seperti legenda yang disebut-sebut di dalam kitab Bible, "Gog and Magog." Keluarga Ali Imran, aku fikir maseh lagi tidur.

Aku Ali. Ali Jinnah.

Front Islam, atau lebih galak untuk dikenali dengan nama FI makin dimamah dunia pop belakangan ini. Aku, yang maseh menjawat jawatan sebagai setiausaha agung pun resah, buntu dan keliru. Sampai mana harus ku bawa kumpulan Islam ini. Cakap Tuan Presiden pun mahu dirempuh mereka, cakap aku?

Apatahlah lagi..

Keluarga Musa.

Mereka datang ingin menawarkan sebentuk pertolongan di saat seorang jeneral yang kesusahan ditimpa mala petaka merusuh menggila. Mereka pun, sebenarnya tidak berapa tahu setepat apanya pertolongan yang mampu ditawarkan kepada aku, tetapi mereka berani-beranikan diri juga datang menemui aku, dan menghulurkan bantuan.

Hurriyet.

Mungkinkah mereka ditaja untuk memusnahkan FI? Hampir tidak mungkin. Mereka asyik mendesak Khilafah, khilafah semata. Hanya itu. Dan, hanya itu boleh buat apa? Khilafah tidak akan didapati secara percuma. Harus ada bayaran untuk itu.

Namun begitu..

Bukankah kelihatan dari jauh mereka menyerukan apa yang seluruh gerakan tidak serukan? Atau ada? Mereka, secara kasarnya dilihat menyerukan percantuman kesemua gerakan-gerakan Islam yang lebih internasional sifatnya. Adakah the so called gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia ini sudah mengatur apa yang sepatutnya diatur? Atau maseh dakwah sunnah?

Ketawa. Aku ketawa.

Kecanggihan teknologi jadi membutakan manusia akan keperkasaan ilahi di masa kini. Inilah, antara dilema atau gejala yang aku kesani semasa aku di alam mahasiswa satu ketika dahulu. Kenikmatan aman damai hari ini atas nama al-'adalah, justice, menyebabkan apa perlu lagi kita pada hukum? Negara hukum perlu wujudkah? Jika sudah keselamatan 'aqal, jiwa raga telah terjamin?

Manusia, di abad ini seakan percaya mereka tidak akan mati dengan penemuan-penemuan baru berani mati oleh saintis. Mereka, menyandarkan sepenuhnya nyawa mereka kepada ubat-ubatan, dan jika ada yang mati pun itu semuanya berpunca kemalangan di jalan raya.

Aku, dalam dilema hari ini. Kedudukan aku pula dicabar dalam Persidangan Agung tempohari. Aku, sebenarnya tidak ada masalah langsung untuk turun dari jawatan sebab ianya memang membebankan. Namun, melihatkan yang mencabar aku itu adalah pemuja liberal terus aku suarakan apa yang aku tidak suka: Saya akan mempertahankan jawatan saya..!

Sebenarnya harus apa jadi begitu? Bukankah kita boleh memilih untuk dihadapkan dengan peluang yang lebih baik? Maka, lompat parti atau jadi ahli konsesus bebas parti adalah pilihan yang terbaik? Agh.

Tidak boleh.

Tidak boleh.

Aku, yang pernah mengaji di Deoband beberapa ketika dahulu harus faham akan semua ini. Aku percaya, aku dihantar oleh Tuhan untuk umat ini. Bukan sebagai nabi. Tetapi, rowshan fekr. Mengapa, Tuhan kirimkan keluarga Musa untuk aku? Kenapa, aku harus manfaatkan tempoh jawatan yang maseh tersisa selama hampir lebih kurang tiga tahun untuk berpolitik sia-sia main-main? Bukankah, aku patut mencipta kader-kader aku melalui satu madrasah tanpa dinding dan bumbung; terbuka. Supaya mereka berfikiran lebih jauh melangkah ke hadapan? Mengapa aku harus main-main untuk dapatkan undi khalayak masyarakat yang jahil? Aku ada opsyen yang lebih baik, kan?

Ali Jinnah kemudian bangun dan menyentap pen dari bekas kotak minuman. Menulis beberapa perkataan lalu keluar dari bilik.

"Aku, akan menang..!"

Wednesday, May 19, 2010

Khidmat ummah..!

Your Blog :duniaunderground.wordpress.com



Sebuah keluarga datang bertamu di rumah Ali Jinnah. Ali Jinnah maseh belum pulang ke rumah lagi.



"Mungkin maseh di tempat kerja," kata isteri Ali Jinnah di muka pintu tanpa membenarkan isi keluarga itu untuk masuk ke dalam rumah. Ali Jinnah tidak pernah pesan apa-apa pun tentang ini, kerana dia lelaki yang baik yang percaya lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Manakala seorang perempuan yang baik tidak akan membenarkan orang-orang yang tidak dikenali untuk masuk ke dalam rumah.



Bayi kecil milik keluarga itu mula menangis. Di luar panas seakan membakar. Gusar resah kelihatan terpamer muncul di wajah mulus isteri Ali Jinnah.



"Tidak mengapa. Kami faham." Kata ketua keluarga itu. Isteri Ali Jinnah hanya senyum tawar. Mana pula pergi abang Ali tengahari begini?



Hampir lima belas minit, ada sebuah kereta terpakai memasuki perkarangan rumah Ali Taqi yang berpagar dawai. Ali Taqi membuka pintu kereta. Dilihatnya ada seorang lelaki berbadan sasa, beberapa orang perempuan yang berjilbab niqab, beberapa orang remaja lelaki dan seorang remaja perempuan dan seorang bayi kecil.

***

“Kami mahu melakukank khidmat.” Tegas bunyinya.


“Khidmat?” Zehra yang lebih terkejut daripada Ali Jinnah. Setiausaha Agung FI yang paling menonjol beberapa tahun ini cuma menunjukkan sedikit riak tidak mengerti.


“Kenal Ustaz Dzul?” Tanya lelaki agam itu lagi.


“Pendiri Madrasah Baitul Qurra’?” Ali menyambut pertanyaan. Lelaki bertubuh agam itu menganggukkan kepalanya sekali. Ahli-ahli keluarganya yang lain hanya memandang Ali Jinnah dan isterinya tanpa meliarkan bola mata mereka menjamah peabot-perabot murah tempatan secondhand milik keluarga Ali Jinnah.


“Dia yang minta saya datang ke sini.” Luncur lelaki itu lagi.


“Harap dapat cerita dengan lebih terang. Ayat-ayat tuan masih kabur langsung. Kelam. Nak bagi anak perempuanlah. Sanggup ceraikan dua orang dari seorang isterilah untuk bagi kepada Tuan Alilah..,” Zehra mula meninggi suara. Sesekali, dia mengerling Ali Jinnah yang hanya diam dan berwajah serius. Konon, fikir Zehra.


Suasana agak panas. “Global warming,” kata Ali Jinnah lalu bangkit berdiri dan memulas penanda aras kipas angin ke angka empat. Seorang perempuan yang dibawa bersama lelaki agam itu kelihatan tertawa di sebalik niqab yang dipakai.



Apa yang lucu entah? Tanya Zehra dalam hati sambil keningnya berkerut dan bercantum. Ali Jinnah kembali duduk di sisi di tepi Zehra seraya meletakkan tangan kanannya atas peha Zehra. Zehra jadi damai.


“Boleh jelaskan dengan lebih baik seperti yang isteri saya minta?” Pinta Ali dengan lebih diplomasi.



Lelaki bertubuh agam itu berdiri dan mula bercerita.



“Mungkin kau perlu jumpa Ali Jinnah. Dia pernah datang tadah kitab di sini hampir tiga tahun.
Tidak ada orang FI yang semacam dia. Dia pernah ke Mesir dan menetap di sana, dan berguru dengan guru-guru murabitun-murabitun Ikhwan di sana. Apa yang mahu dicarinya lagi di bumi kontang maaruf di tempat aku, aku pun tidak tahulah. Tetapi dia kata, atmosfera di Baitul Qurra’ amat tenang di sebalik jerebu maksiat di negeri ini. Dia kata lagi, dia mencari tempat perlindungan untuk membina kekuatan.”



“Ustaz Dzul sendiri macam mana? Saya rasa, lebih baik saya berkhidmat untuk ustaz dan keluarga. Er, tentang lelaki bernama Ali tu saya difahamkan Ustadz Dzul sendiri pernah memarahi dia dan menyuruh dia keluar dari sini. Saya tidak faham.” Kata lelaki, Musa B. Imran. Keluarga Musa maseh menunggu di luar.



Ustaz Dzul lelaki yang sudah berumur enam puluh tiga tahun itu memikir-mikir sesuatu.



Wajahnya tidak kelihatan seperti usianya. Musa beranggapan Ustaz Dzul seperti baru tiga puluh enam.


“Itu cerita lama. Ya. Memang patut pun saya halau dia. Dia begitu kurang ajar, tidak berdisiplin, pengecut, penakut, dayus, pemalas, jika dia maseh tinggal di sini?? Apa dia ingat ini tempat untuk beruzlah-uzlah?”


Mata Ustaz Dzul membulat, memerah, dan urat-urat yang mula terjelma di dahinya menggambarkan dia benar-benar marah.


Musa mahu mematikan angin yang mulai naik meluap-luap tetapi Ustaz Dzul dengan perlahan-lahan menarik nafas dalam keadaan mata terpejam lalu kembali tenang.



“Ini zaman peperangan. Barangsiapa yang mengundurkan diri saat ini, dia adalah tidak boleh dimaafkan. Kesudahan akan tiba tidak berapa waktu lagi. Ini bukannya pondok persembunyian, ini ialah markas jihad..,”



Dahulu, Musa B. Imran pernah mendengar tentang kata-kata seorang Ketua Rijal FI yang meminta ditukar sahaja nama markas kepada nama lain kerana dibimbangi menimbulkan persepsi kurang baik. Sungguh kepenakutan..!



“Peperangan, boleh jadi bukan esok adalah hari terakhirnya. Dan bukan semestinya peperangan mestilah bersenjata. Tidak mengapalah dahulu, jika mahu berehat, mengumpul kekuatan-kekuatan yang telah diragut di dalam peperangan sebelumnya. Namun, adalah haram jika terus membiarkan peperangan tanpa kawalan. Kita adalah umat terbaik, kuntum khaiyra ummah..! ukhrijat linnas..! ta’muruna bil ma’ruf wa tanhauna ‘anil munkar..! Macam mana mahu melakukan semua itu jika uzlahlah adalah jalan kita?”


Rasa hormat kepada orang tua yang duduk bersimpuh di hadapan Musa, melonjak-lonjak. Meski aku tidak dapat jadi seperti dia, aku mahu keturunan-keturunan aku jadi seperti dia nanti.! Meski mungkin pasti aku tak dapat mereguk telaga kesyahidan, insyaAllah wa bi iznillah cicit-cicitku pasti akan menikmatinya nanti jika aku sudah mula menanam ‘pokok durian’ itu mulai dari sekarang!



“Uzlah, Imam yang agung AlGhazali itu pun beruzlah. Tetapi dia bukan beruzlah bermetafora. Dia beruzlah hingga membangkitkan singa keluarga Ayyubi! Hingga tanah Palestina akhirnya menjadi tanah kita semula.”



“Maka, saya belum tahu lagi atas alasan apa dia terkeluar?” Musa tiba-tiba jadi berani untuk bersoal.



Ustaz Dzul kelihatan mengumpul nafas lagi. Semutar yang dipakai, diperkemaskan lagi. Tampak lebih segak, bisik mersik hati kecil Musa B. Imran. Keluarganya yang selalu dibasuh tentang kemuliaan dan kehormatan seseorang yang cintakan syahid, akan teguh menunggu. Biarlah kami, yang bukan terdiri dari kalangan kaum intelektual cerdik pandai kaum Muslimin menyalurkan gas pertolongan dalam bentuk ini. Lagipun, waktu-waktu aku kuliah Dhuha di Madrasah Baitul Qurra’, Ustaz Dzul seringkali bahkan banyak kali memberitahu tentang kelebihan khidmat. Khidmat ini, kata Ustaz Dzul sering sahaja dipandang enteng oleh kebanyakan orang. Orang kebanyakan lebih menggemari aksi-aksi popular. Tanpa, mereka ketahui bahawa, aksi-aksi popularlah lebih banyak mengundang bahana riya’, dan segala macam lagi mazmumah hati. Buang tahi cicak, atau membasuh permaidani berhabuk sebagai misal. Ada siapa-siapa berani langka untuk cerita dekat kedai kopi atau laman sesawang??




“Aku mahu dia berjihad sesuai dengan kapasiti dan ability yang dimilikinya. Itu sahaja.”
Apabila bait cerita lelaki agam yang bernama Musa B. Imran itu telah selesai, wajah Ali Jinnah jadi tercengang-cengang.



“Jadi, khidmat jenis apa yang keluarga kamu boleh beri?” Tanya Zehra.

Friday, May 14, 2010

Senarai Asia: UM, UKM terus jatuh


Universiti-universiti utama di Malaysia terus jatuh beberapa takuk dalam senarai Kedudukan 200 Universiti Asia yang dijalankan oleh Times Higher Education-QS World University Rankings.

Antaranya adalah Universiti Malaya (UM) yang jatuh ke kedudukan 42 berbanding 39 yang didudukinya pada 2009.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), juga jatuh daripada kedudukan 51 kepada 58 untuk berada di tangga yang sama dengan National Central University, Taiwan dan Universiti Ateneo de Manila dari Filipina.

UM yang satu ketika dianggap universiti terunggul negara adalah antara 100 universiti terbaik di dunia pada senarai 2004 tetapi terkeluar daripada senarai itu pada 2006.

Bagaimanapun Universiti Putera Malaysia, berjaya memperbaiki kedudukannya daripada 90 kepada 77, manakala Universiti Islam Antarabangsa (UIA) merosot daripada 156 kepada 201.

Universiti Sains Malaysia (USM), yang diberi taraf Universiti Apex pada 2009, kekal pada kedudukan 69 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga kekal pada tangga 82.

Kajian yang berpangkalan di UK itu meletakkan University of Hong Kong ditangga teratas dan diikuti oleh Hong Kong University of Science and Technology.

National University of Singapore pula berjaya menduduki tempat ketiga.

http://www.malaysiakini.com/news/131773

Thursday, May 13, 2010

KUIS: B.O.T Ibarat Bom Jangka

GEMA MAHASISWA: http://arrazzialhafiz.blogspot.com


"Banyak kesan retak sana sini, Abang Rozi. Ada satu tu saya ukur boleh masuk 2 jari saya dalam rekahan tu! Banyak sangat masalah dengan B.O.T."

Ini adakah satu dari sekian banyak cakap-cakap yang disampaikan kepada saya tentang isu penempatan mahasiswa.

Dua tahun dulu B.O.T itu menghangatkan saya. Tapi kali ini ceritanya menggusarkan. Sehari suntuk saya memikirkannya, perasaan bimbang semakin membusut di kepala.

Hari ini KUIS bagai memikul biawak hidup. Tiada untung bahkan digelakkan orang. B.O.T benar-benar merosakkan nama dan imej KUIS sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang gah dan berwibawa.

Pihak pemaju, Redha Resources membuat pinjaman sebanyak RM180 Juta daripada Bank Rakyat untuk membangunkan projek itu. Saya tidak tahu berapa modal yang dia ada dalam tangan tapi RM180 Juta itu memang pemaju pinjam 3 tahun dulu.

Semasa saya mengemudi badan tertinggi mahasiswa dulu, tiada taklimat yang diberikan kepada kami tentang projek ini. Tahu-tahu sudah pecah tanah. Kalau ikut rancangan asal fasa-fasa pembangunan KUIS, projek gergasi ini memang tiada.

B.O.T bererti build, operate and transfer. Ini bermakna Redha Resources sebagai pemaju akan bina, mengoperasi dan akhirnya serahkan kepada pihak KUIS. Saya dimaklumkan ianya setelah 30 tahun.

Sekarang ini B.O.T baru berusia 2 tahun. Rekahan sudah 2 inci. Ini kalau 30 tahun mahu 30 inci. Itu namanya sudah rebah, roboh.

Dua tahun dulu Presiden Rasyidi Ali ada khabarkan yang B.O.T adalah projek makan atas angin Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang diberikan kepada sepupunya. Saya nak tahu juga kesahihannya. Saya yakin semua orang nak tahu kisah ini.

Sekarang B.O.T sudah sangat bermasalah bukan sahaja bangunan bahkan operasi juga lemah dan teruk. Sedangkan KUIS mengeluarkan belanja yang banyak untuk membayar kepada pemaju setiap tahun. Harga itu nyata tidak setimpal dengan apa yang kita dapat.

Berhubung dengan keretakan yang sangat banyak dan ketara, saya tak tahulah adakah mereka yang bertanggungjawab dengan projek ini buat kajian terlebih dahulu atau tidak. Harus diingat KUIS terbina di atas sebuah tanah tebus guna. Asal mula hanyalah sebuah lembah yang ada padanya lombong dan paya. Sebahagian besar kawasan di situ adalah tanah yang ditambak.

Saya bukanlah pakar dalam hal kaji bumi tapi ikut akal saya ini bagaimana sebuah tanah tambak yang dulunya lombong dan paya boleh didirikan bangunan setinggi dan sebesar itu.

Saya pernah meneliti pelan pembangunan KUIS di Jabatan Harta dan Pembangunan Prasarana (JHPP). Ketika itu (2007) Ust. Mohd Rozie Mohd Rejab sebagai ketua. Saya turut diberi taklimat tentang itu. Tapi ia tak menemukan saya dengan pembangunan yang heavy. Bangunan-bangunan hanya setinggi 5 tingkat sahaja. Sebab itu saya pelik kawasan tanah yang lembut seperti itu dibina bangunan yang bukan calang-calang.

Geografi KUIS tidak menjustifikasikannya.

Dahulu saya sangat berharap Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat membeli B.O.T bagi mengurangkan beban harga yang tinggi kepada masyarakat kampus. Kalau sudah ada yang harga melewati RM1200, itu saya kira di luar mampu.

Tapi mengenangkan bangunan itu tiada Certificate of Fitness (CF), apa yang boleh diharap. Kalau saya ditempat Kerajaan Negeri Selangor pun saya tidak boleh ambil risiko yang sangat besar melibat dana awam ratusan juta ringgit untuk membeli sebuah bangunan sakit.

Baik, cuba kita congak. Pinjaman dariapad Bank Rakyat RM180 Juta. Kita andaikan kos kelengkapan penginapan RM100 Juta dan kos operasi RM20 Juta. Jumlah keseluruhan RM300 Juta. Orang yang bijak pasti tidak akan membeli barang yang tiada jaminan baik dan rosak. RM300 Juta bukan kecil-kecil anak punya cerita.

Tapi walau bagaimanapun ia tetap satu masalah dan masalah ini mesti diselesaikan setuntas yang mungkin. Ini melibatkan isu keselamatan dan nyawa penuntut-penuntut ilmu yang datang dari seluruh pelusuk negara dan benua. Bahkan ia melibatkan soal nama dan imej sebuah negeri dan negara.

Saya bangkitkan isu ini atas dasar cinta dan kasih saya kepada KUIS yang dahulunya tempat saya menimba ilmu dan pengalaman. Masalah makin membarah sedang masa terus berjalan meninggalkan kita. Saya bimbang jika tidak dibangkitkan, daging akan terus bernanah dan membusuk. Sementelah masyarakat kampus yang ada hari ini adalah tidak sempat dengan zaman itu.

Mungkin ada perkara-perkara yang saya utarakan ini ada kekaburan, ketidaktepatan dan seumpamanya. Jika ada kesalahan fakta saya tarik balik, itu saja. Tapi apa yang lebih penting kebenaran perlu dibongkar melalui satu penyiasatan. Saya bukanlah orang yang sepatutnya menyiasat, apa kuasa yang saya ada. Itu kerja pihak berkuasalah.

MPMKUIS perlu agresif meneliti dan memperjuangkan isu ini agar kebajikan dan kemaslahatan KUIS amnya dan mahasiswa khususnya terjamin dengan baik.

Saya cadangkan 3 noktah yang perlu diambil perhatian Kerajaan Negeri Selangor:

1. Membuat satu penyiasatan menyeluruh ke atas isu ini melalui SELCAT agar rakyat dapat menyetahui isu sebenar yang melingkari KUIS sejak kebelakangan ini.

2. Mereka yang menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana awam mesti diheret ke muka pengadilan.

3. Memberikan perhatian yang lebih kepada KUIS selaku institusi pengajian tinggi milik Negeri Selangor demi memastikan masa depannya tidak dihitamkan oleh tangan-tangan khianat.


bersambung...

Monday, May 10, 2010

K'tan: Kakak dakwa Tengku Anis kawal sultan


Dua orang kakak kepada Sultan Kelantan - Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra - hari ini mendakwa bahawa Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, yang mengawal ketat sultan.

Mereka mendakwa, Tengku Anis yang mengawal siapa yang boleh menziarahi sultan, dan polis, doktor serta kakitangan hospital menjadi sasaran gangguan para pembantunya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Rumah Kelantan di ibunegara hari ini, Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra (kanan dalam foto) berkata, beliau difahamkan seorang kakitangan hospital telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Sultan Kelantan kini sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kota Bharu, Kelantan.

Sidang akhbar tersebut merupakan perkembangan terbaru dalam pergolakan keluarga diraja Kelantan antara Tengku Fakhry Petra dengan abangnya, Tengku Faris Petra, berhubung takhta kerajaan negeri.

Seorang lagi kakak baginda, Tengku Rozan (kiri dalam foto) berkata, beliau dan Tengku Salwani dilarang Raja Perempuan daripada menziarahi sultan ketika baginda dirawat di Singapura sebelum ini.

Beliau mendakwa, mereka dilarang berbuat demikian selama sembilan bulan mereka berada di republik itu.

Pelawat lain, katanya, termasuk pakar perubatan dan pakar agama dari Malaysia, juga turut dilarang daripada menemui baginda.

Dakwanya lagi, hanya mereka yang menyokong Raja Perempuan dibenarkan melawat baginda.

Tengku Rozan juga berkata ada sebab-sebab untuk mempercayai bahawa Raja Perempuan telah menggunakan bomoh untuk 'merawat' sultan dengan "barang-barang yang diragui dari segi hukumnya" ditemui dekat baginda di Singapura

http://www.malaysiakini.com/news/131347

Wednesday, April 21, 2010

Kerja orang kampus..!

Your Blog :duniaunderground.wordpress.com



"Kenapa ummah centric?" Tanya Silmiyah.



"Kenapa tidak?" Ali Taqi, menjawab pula dengan sebentuk persoalan.



"Kau akan ke Hulu Selangor?" Silmiyah bertanya lagi. Angin sepoi-sepoi meniup dari belakang. Tudung yang dipakai terasa sedikit panas. Semenjak beberapa bulan ini, dunia seperti dibakar matahari sahaja.



"Kenapa pula?" Ali Taqi menjawab lagi dengan segulung pertanyaan. Silmiyah yang mengajak ke meja bangku di luar perpustakaan untuk berbincang mengenai beberapa perkara agak termengkelan.



"Kenapa kau asyik 'kenapa'?" Silmiyah meluahkan kejengkelan. Seorang pensyarah yang dikenali mereka cuma melambai balas sambil tersenyum apabila Silmiyah menganggukkan kepala. Ali Taqi sebenarnya tidak berapa menggemari orang-orang gerakan Islam kampus yang terlalu wala' taat setia membabi buta. Kalau mahu taat setia thiqah pun, berpada-padalah. Jangan membaca pun malas..!



"Tidak bolehkah?" Ali Taqi bertanya lagi. Silmiyah, meski salah seorang perempuan yang agak aktif, lincah, lawa di dalam kampus tetap tidak berupaya menarik perhatian Ali Taqi. Perempuan, bagi Ali Taqi ada kelasnya yang tersendiri. Bukan menceroboh kelas orang lain sahaja kerjanya..! Siapa kata hidup tidak ada kasta??



Hmm, Silmiyah hanya mencuka. Baik, tidak mengapalah jika begitu. Aku bukan nak menggatal pun. Aku cuma nak berbincang beberapa perkara. Jika begini gayanya, baik aku cari Akhlaqen. Pemimpin para demonstran mahasiswa itu lebih bagus dan seribu kali berguna dari lelaki yang suka menyibuk membaca ini. Setiap masa membaca, bosan..!


“Aku minta diri dahulu. Maaf mengganggu.” Kata Silmiyah. Kebetulan Asrar Mufidah ternampak mereka berdua di meja bangku. “Assalamualaykum.”

“Wa alaikumussalam.” Sahut kedua mereka. Ada lebih kurang setengah jam lagi sebelum waktu menuju ke waktu solat fardhu ‘asar. Di atas meja, berhadapan dengan Ali adalah buku Feqh Harakah karangan seorang pimpinan FI.

“Wah, bertuah saya hari ini. Dapat jumpa dua figure yang menempati posisi penting dalam kampus. Kedua-duanya pula walau tak pegang apa-apa jawatan tetapi pengaruhnya makin besar, besar dan membesar hari demi hari..,” Asrar Mufidah kelihatan mahu berbual dengan cuba berlucu di awal.

“Mana adalah..,” Ali Taqi menafi ringkas. Hmm, kesempatan yang baik. Mungkin kalau aku tak dapat pengaruh lelaki mereka, perempuan mereka aku dapat pengaruhkan. Lagipun tak baik mengecewakan hasrat orang.

Ali Taqi merenung Silmiyah semacam.

“La, kenapa ni?” Silmiyah mula merasa serba salah macam ada yang tak kena apabila Ali Taqi menjamah mukanya.

“Mmm, tadi kata ada apa yang nak bincang. Bincanglah. Asrar Mufidah pun sudah ada. Lagi ramai lagi bagus, nanti taklah kena bamboo ke, kena kacau ke, kena rembat ke cekup ke dengan polis penguatkuasa agama gerakan Islam kampus kamu.”

Pedas..! Kata hati kedua mereka Asrar dan Silmiyah. Silmiyah berdiri dengan wajah yang kelihatan murka. Ali Taqi meletupkan jari jemarinya membiarkan apa sahaja untuk berlaku. Ada beberapa orang lagi pelajar berjalan masuk ke dalam perpustakaan. Asrar duduk selepas itu.

“Kenapa maseh berdiri Silmiyah? Duduklah. Tadi macam nak bincang sesuatu sahaja dengan Ali Taqi? Mm, mungkin betul kata Ali Taqi. Kalau ramai begini, tentu kita tak kena marah dengan orang-orang Gerakan Islam Kampus.”

Apalah Asrar ni..! Sebelah budak berlagak pandai senget sebelah itu pula. Okey, baik aku duduk. Aku nak tengok, macam mana dia nak kilas soalan aku.

Silmiyah duduk dengan melemparkan sebuah senyuman berbaur sinis kepada Ali Taqi.

Nak kenakan aku, silakan. Ali Taqi senyum kembali. Senyum yang bukan dibuat-buat.

“Ana cuma nak Tanya, tak mahukah tolong Bantu kami dalam pilihanraya di Hulu Selangor nanti.”

“Kenapa kena Bantu? Kamu tak cukup kakitangan ke?” Sinis Ali Taqi.

Melihat mereka terkebil-kebil sahaja Ali Taqi pun bercakaplah. “Dahulu, saya pelik dan janggal amat apabila Tok Guru kata undi parti FI masuk Sorga dan undi parti mereka masuk neraka. Namun hari ini, macam mana pula?”

Asrar diam. Silmiyah pun diam. Setakat ini, dia masih belum punya bunga silat yang cukup untuk bersilat dengan Ali Taqi, seorang yang terlampau gila ideal dengan ummah centric.

“Yang akan bertanding nanti itu, ramai orang kata dia liberal. Bukan saya kata. Dan bukan dia seorang sahaja Melayu, saya juga, Silmiyah juga. Cuma bukan Asrar. Asrar cina kan?” Tanya Ali Taqi.

Terkejut juga mahasiswi tahun akhir itu apabila Ali Taqi tahu latarbelakang mereka. Dalam gerakan Islam Kampus, Ali Taqi boleh dikatakan junior yang teramat-amat super junior. Sangka mereka sebelum ini, apalah Super junior yang gila obsess membaca buku tahu sangat. Membaca dan beraksi bukankah ada beda yang kontra?? Meleset..!

“Perjuangan mahasiswa Islam ke mana seharusnya? Gelong tak sudah-sudah? Maseh tidak mahu berubah. Jangan jadi gila dengan auku mereka, dan auku kita.”

Auku kita? Kedua-dua mereka tertanya. “Apa maksud Ali, auku kita?” Asrar merendahkan diri bertanya. Kalau ikut Silmiyah, mahau sahaja dia tenggelam tanpa timbul dengan pertanyaan. Silmiyah mudah marah sebenarnya.

“Kita sendiri yang mencipta gari tangan kita sendiri untuk membelenggu bukan sahaja tangan untuk menulis, bahkan kita menggari sama ‘aqal pemikiran kita untuk berfikir dan mencipta jalan keluar untuk semua ini. Auku mereka, selepas dikaji-kaji bukanlah apa-apa sangat pun. Rempuh sahaja tembok ini jika kita cukup kuat. Jika kita maseh belum cukup kuat lagi, jangan sesekali mereka cipta gari pemikiran kita. Itu, suatu yang cukup naïf dan menggelikan hati.”

“Hmm,,, nnmm, maka jika begitu apa seharusnya kita buat di kampus? Membaca buku demi buku sahaja? Macam apa yang Ali buat?” Asrar, berhati-hati juga melepaskan kata-kata. Dia tidak cukup kekuatan menjadi selancang dan selantang Silmiyah atau Ali.

Ali Taqi senyum menyindir. Kepalanya kemudian digeleng-geleng. “Itulah kerja kamu semua. Sudahlah kerja di luar entah apa-apa, kemudian Bantu pula teroris sekularis pluralis, malas baca buku, keji dan peril orang gigih baca buku, bunuh budaya ilmu, taat kepada yang jahil atas nama wala’… Kalau Syukri ada, tentu dia akan kata, wala’ tengkorak hangpa. Nak aku kata begitu?”

“Kenapa kau macam benci sangat dengan kami gerakan Islam Kampus, Ali Taqi?”

Tiba-tiba itu yang terlontar keluar dari mulut Silmiyah.

Haha. Ketawa pula Ali Taqi. Masam kemudian muka Silmiyah.

“Ini semua masalah sikap. Sampai bila kalian mahu jadi pembantut dan pembuntut? Akhirnya kalian semua yang jadi penjilat ludah sosialis democrat. Ha, macam yang akan berlaku Hulu Selangor tidak berapa lama lagi lah.”

“Habis tu, takkan nak sokong parti kerajaan yang terkenal korup?” Tanya Asrar. Entah mungkin keberanian Silmiyah yang dipinjamnya, membuatkan dia menjadi berani untuk bertanya Ali Taqi.

Ali Taqi mendengus. “Alahai. Mengapa kita kena dipaksa pilih antara orang Hindu dan teroris pluralis? Jadi ini jalan mati?? Baik ini jawapan atas soalan-soalan yang kamu hadapkan ke atas batang tengkuk aku. Jika kita berdepan dengan jalan mati, pecahkan jalan mati itu..! jangan biar mereka kepung kita dan paksa kita apa yang kita tak boleh buat.

Ali Taqi mula hendak beredar, apabila kedengaran bunyi mikrofon, selawat dan salam diikuti istighfar tanda Asar sudah mahu menjelang.

“Habis, kerja kaum mahasiswa di kampus apa?” Tanya Silmiyah.

Ali Taqi senyum meleret. “Baca, baca, baca dan baca. Seterusnya mula menulis, bentuk kumpulan dan aktifkan kegiatan berdiskusi, suburkan budaya ilmu, bincang kemudian macam mana nak mengembalikan kedaulatan Islam di abad wasani berteknologi kontemporari kini…,”

Monday, April 19, 2010

Kerana Sepotong Alasan 1.

Your Blog : Penganalisis Minda

Salam sejahtera didoakan kita semua berada di bawah rahmat dan lindungan Allah SWT hendaknya...

Minggu ini khutbah Jumaat di kawasan saya membincangkan mengenai tajuk 'Jaga Tepi Kain Orang'. Sebuah ulasan yang mantap buat mereka yang khusyuk mendengar dan mungkin tiada kesan buat mereka yang terlentok tunduk untuk menunjukkan betapa tawaduknya mereka...

Tertarik dengan pepatah melayu ini ingin saya ingatkan diri saya dan anda mengenai salah faham terhadap istilah ini, terdapat segelintir masyarakat yang menyalahkan penggunaan pepatah 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'.

Mereka beranggapan bahawa istilah ini tidak boleh diguna pakai berikutan sikap masyarakat yang semakin rosak keutuhan dalam hidup bermasyarakat kerana sikap tiada tegur-menegur dan mengambil endah tidak endah dengan keadaan sekeliling menyebabkan berlakunya kes-kes seperti dera dan zina berikutan memegang teguh pada pepatah ini.

Saya berpendapat bahawa pepatah ini tidak salah. Orang dahulu menggunakan istilah ini untuk mengelakkan umpatan dan fitnah. Dahulu waktu sosial isi rumah terutama wanita akan berkelompok dan bersembang-sembang lalu mengungkit hal-hal rumah tangga orang dan menimbulkan fitnah, lalu istilah ini mungkin lahir berikutan kisah umpatan mereka yang tidak sudah.

Saya beri contoh A menghadapi masalah rumah tangga, lalu B yang berjiran dengan A akan menyebarkan berita ini sesama jiran tetangga yang lain dan mereka akan mengumpat. Lalu kawan mereka yang C pun berkata 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'.

Maksudnya istilah ini amat sesuai supaya kelompok tersebut tidak meneruskan hasrat mereka untuk mengumpat kerana mengumpat ini pasti akan mendatangkan tokoh-tambah dalam cerita yang sebenar, lalu cerita dari B lain, sampai telinga C jadi cerita lain, sampai telinga D jadi cerita lain dan seterusnya. Jadi istilah ini amat sesuai buat mereka 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'.

Itu orang dahulu-kala, tetapi orang zaman sekarang gunakan pepatah ini untuk beralasan supaya tidak menyibuk dalam hal-hal masyarakat. Mana mungkin hal-hal kezaliman pun kita hendak gunakan pepatah tersebut. Nampak sangat kita pada masa ini hanya menggunakan pepatah tersebut semata-mata untuk beralasan agar tidak menyusahkan diri.

Kerosakan yang berlaku pada hari ini adalah akibat daripada tiada sikap tegur- menegur. Benar, semua akui perkara tersebut tetapi sejauh manakah sikap cakna yang kita ambil?. Seru kepada kebaikan maka 'mengajak' kepada kebaikan dan bukannya sekadar bercakap belakang sembang-sembang dengan jiran-jiran lain dan mengumpat. Dalam erti kata lain kita perlu tegur dan bukannya mencanang cerita hebah ke sana-sini akan keburukan tersebut.

Dua perkara penting yang Allah peringatkan kepada hambaNya ialah (1) ajak buat baik, dan (2) cegah kemungkaran.

Jadi pada waktu ini sama-sama kita tanya pada diri masing-masing adakah kita telah mengajak kepada kebaikan? Jawapannya mungkin Ya...

Cegah kemungkaran? Jawapannya mungkin tidak.

Apakah kita masih ingin beralasan dengan pepatah 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'?

Zaman sekarang kita takut untuk menegur kesilapan kerana kadang-kala masyarakat kita sendiri memberi jawapan yang tidak munasabah.

"apa kau sibuk, kau pun sama saja"

Ironinya mengajak buat baik susah bagi kita kerana kita sendiri pun tidak buat perkara yang baik, hendak cegah mungkar, kita juga yang buat mungkar. Jadi kesudahannya orang pun beranggapan bahawa amalan tegur menegur itu adalah kerja pendakwah? Siapa? Ustaz ustazahlah...

Saya tergelak sinis, sedar atau tidak kita semua adalah pendakwah. Tanya diri kita dan beritahu pada Allah apakah kita tidak pernah menegur kesilapan dalam keluarga, adik-beradik? Atau tidak pernah ke kita mengajak orang untuk berbuat baik walau sekecil zarah?

Maka kita semua memang seorang pendakwah...

"ustaz, sudah ramai ustaz, ustazah yang berceramah, dalam TV, dekat Surau, Masjid dan merata-rata tempat, mengapa masih lagi ada kerosakan pada masyarakat kita terutama remaja dan orang muda?"

Jawapannya mudah, kerana tiada amalan menyampaikan, kita dengar untuk diri kita dan tidak menyampaikan, kita belajar untuk diri kita dan tidak menympaikan, kita tahu tetapi kita buat-buat tidak tahu.

Pada pandangan anda apakah sikap itu akan membantu masyarakat kita?

Firman Allah SWT:

”Dan hendaklah di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, mereka adalah orang-orang yang berjaya”.

Ali-Imran : 104

Saya mohon pada diri saya dan anda agar kita sama-sama berdoa untuk kesejahteraan muslim sedunia khasnya Malaysia,

Bersambung...

Thursday, April 15, 2010

Wanita ISMA ajak masyarakat kembali menghayati hidup beragama


Bandar Baru Bangi – “Biro Wanita ISMA menyeru masyarakat agar kembali kepada penghayatan hidup beragama yang berpaksikan kepada akidah, akhlak dan ibadah,” demikian tegas Ustazah Nor Saleha Md. Salleh (Pensyarah Jabatan Usuluddin KUIS) berhubung dengan gejala pembuangan bayi yang begitu serius kebelakangan ini.

“Ibu bapa perlu tegas dengan anak-anak dalam hal yang berkaitan dengan agama sebagaimana ketegasan mereka dalam hal yang berkaitan dengan akademik dan pendidikan” tambah Ketua Biro Wanita ISMA ini lagi. Menurut beliau lagi gejala sosial yang melanda masyarakat sekarang adalah natijah pengabaian aspek agama dalam kehidupan.

“Justeru menghidupkan kembali amalan yang dianjurkan Rasulullah s.a.w seperti solat berjamaah, makan bersama, rapat dengan anak-anak dan sebagainya dalam institusi keluarga adalah menjadi urgensi utama bagi ibu bapa” hujah beliau mengakhiri pertemuan dengan wartawan Media ISMA di pejabat ISMA Pusat di sini baru-baru ini.

Oleh: Mohd Azizuddin Sahiddin
Wartawan/Jurufoto
Media ISMA

http://www.ismaweb.net

Wednesday, April 14, 2010

Cinta akan Sigaraning!

Your Blog :ikatanpenulisindipenden.wordpress.com

Ramai pembekal juga ialah ahli perniagaan sejati yang licik dan penuh dengan tipu muslihat. Kadang-kadang apabila kita memesan sesuatu barang, jawapan mudah mereka ialah barangan tersebut tiada dalam stok. Tapi sebenarnya barang itu ada, dan mereka berbohong kerana beberapa sebab.

1. Mungkin kerana pembekal mahu menaikkan sedikit harga. Mereka pun belajar juga teori permintaan dan penawaran Adam Smith dalam buku The Wealth Of Nations yang berkata bahawa harga adalah keseimbangan antara permintaan dan penawaran. Kalau permintaan lebih tinggi daripada penawaran maka harga sesuatu barang itu akan meningkat. Inilah masalahnya kalau belajar teori permintaan-penawaran kapitalis. Sedangkan secara hipotesisnya bolehlah kita katakan bahawa ia ditiru daripada teori Ibn Taimiyah yang 400 tahun lebih awal itu. Cumanya mereka tidak meniru semuanya. Sebab kalau seseorang peniaga itu berpandukan kepada teori permintaan dan penawaran Ibn Taimiyah yang asli, peniaga itu pasti menjadi peniaga yang lebih beriman, dan akan mengawal tingkah laku dalam perniagaannya.

Bagaimana, cukup baik bukan? Ini, petikan dari novel Sigaraning terbitan Jemari Seni oleh pengarang bernama Imaen. Imaen, melepaskan tembakan pengarangnya dengan nada santai tetapi penuh berisi. Membuat kita yang intelektual patut sangat berketawa.

Perhatian!

Ini bukan novel intelektual gaya abang Faisal Tehrani. Ini novel santai, santai tetapi intelektual.

VII

Nurul mengucapkan salam. Aku mengangkat muka dan menjawab salamnya. Kawan serumahku yang berpewatakan selembut namanya itu berdiri tersenyum kepadaku. Dan namanya memang mendatangkan masalah kepadanya, dan kepadaku. Mula-mula aku memberitahu ibu bahawa kawan serumahku bernama Nurul, ibu terus beristighfar panjang. Malah ketika aku memberitahu bahawa nama penuh kawan serumahku ini Nurul Husni Bin Husin, ibu masih lagi belum habis beristighfar.

Baik, ini perenggan seterusnya.

"Aku Nurul, asal dia mahu aku balik cukuplah. Aku tak kisah apa-apa lagi. Kalau satu dunia panggil dia perempuan materialistik pun aku tetap mahu dia. Aku tak peduli. Lagipun itu realiti masa kini. Kau ingat ada lagi ke cinta suci hari ini? Payah sikitlah. Budak-budak sekolah mungkin adalah kut. Kita ni, orang dewasa. Kita kena praktikallah sikit. Aku baca dalam surat khabar, orang putih dah buat kajian tau yang ikat satu-satu perkahwinan itu bukan cinta tapi duit. Semua benda lain tak penting, tapi duit yang penting. Ada statistik pula sokong, tapi aku lupalah berapa persen orang bercerai di Amerika sebab tak cukup duit."

Ini dipanggil dalam istilah kaum intelektual sebagai kritik sosial. Imaen, menulis untuk mereka yang sedia berkongsi falsafah rasa. Imaen menulis untuk anda yang menanti karya Thriller dalam bahasa nan indah.

Haha. Percayalah. Saya sungguh merasa kelakar tatkala membaca perenggan ini. Hingga terpikal-pikal dibuatnya. Ini bukanlah bodekan, rasuah pemikiran, tulisan suapan atau apa. Ini cuma kekaguman seorang intelektual terhadap intelektual lain yang berjaya membuat dunia intelektual dimasuki oleh orang lain yang ingin menghirup nafas intelektual. Kisahnya bermula dengan seorang lelaki normal yang baru diputuskan cinta.

Kemudian, ayah lelaki normal itu pula kata tanah yang dipajak sudah hampir tamat tempoh lupusnya. Lantas, semuanya menjadi rancak apabila lelaki normal itu berjumpa dengan duit yang banyak di satu kemalangan jalanraya. Rupa-rupanya duit itu adalah milik kumpulang gangster dadah. Balik semula ke lelaki itu, malam itu juga dalam beberapa minit dia terpaksa berperang dengan perasaannya sendiri dan akhirnya atas nama darurat :) dia pun terambil duit itu.

Selamat membaca Sigaraning!

Wednesday, April 7, 2010

Mati tetap Mati


"Tiap-tiap jiwa pasti akan merasi mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami-lah kamu akan dikembalikan." [Al-Anbia' 21:35]

Lihat sahaja sekeliling kita pastinya bertemu tentang satu hakikat nyata atas dunia ini. Yang muda akan tua dan yang hidup akan mati.

Dulu di belakang rumah ada pokok Durian Tembaga. Sedap dan cantik isinya. Sekarang pokok itu sudah tiada lagi. Dulu ada dari kita yang asyik mendengar datuk atau nenek bercerita kisah-kisah rakyat dan teladan. Masa itu memang seronok kerana kasih-sayang mereka kita merasa. Tapi itu dulu. Sekarang bukan kata mendengar cerita, jasad mereka pun sudah tiada.

Mati tetap mati.

Takut macam mana pun, mati tetap bertamu. Kalau berani tahap gaban pun, mati juga. Ke utara, selatan, timur dan barat tidak ada satu tempat untuk lari dari kematian.

Manusia, jin, malaikat, tumbuhan, binatang semuanya pasti merasa mati. Hatta batu dan tanah sekalipun. Selagimana ia bernama makhluk, yang dicipta dia takkan lari ke mana.

Kehidupan dan kematian memang dicipta silih berganti. Asal mula mati. Kemudian hidup atas dunia. Selesai urusannya mati bertandang. Seterusnya dihidupkan semula di Mahsyar sana. Maka di situlah kehidupan yang kekal abadi. Cuma bezanya ke syurga atau ke neraka.

Cerita bab mati, disiplin ilmu Sains pun tak mampu membongkar rahsia alam ini. Perbincangan tentangnya tidak pernah habis. Dari satu kajian kepada satu kajian, dari satu eksperimen kepada satu eksperimen. Semuanya tidak bertemu jawapan.

Memang Allah sembunyikan sebagai satu ujian untuk kita semua. Kematian adalah misteri dan hanya dalam pengetahuan Allah sahaja.

Soalnya sekarang bukan mati atau hidup, takut atau berani tetapi adakah kita sudah mengurus kematian yang datangnya tidak beralamat itu.

Baru-baru ini saya berkesempatan pulang ke kampung halaman bertemu keluarga tercinta. Masa cuti Sabtu dan Ahad saya habiskan di sana.

Kebetulan kepulangan saya beriring dengan kematian bapa mertua kak Long. Perkhabaran itu membuatkan setiap jiwa yang kenal dengannya tertanya-tanya. Di saat kawan-kawan seusianya (60an)menderita penyakit darah tinggi, kencing manis, sakit buah pinggang dan lain-lain, dia nyata masih gagah menebang balak, bercucuk tanam.

Menziarah jenazah sebagai penghormatan terakhir adalah satu amalan yang menginsafkan. Saya menatap wajah pucat itu sedang saya berfikir jika yang terbaring kaku itu adalah diri ini.

Sungguh saya tidak punya jawapan yang kuat untuk berdepan dengan Sang Pencipta.

"Iya, mati memang sakit sebab itu orang takut. Tapi yang lebih patut digerunkan ialah tentatif selepas mati!" bisik hatiku.

Bersediakan kita dipanggil oleh-Nya?




*Penulis adalah bekas penuntut Jabatan Usuluddin, Akademi Islam KUIS. Kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Perhubungan dan Pemasaran Aman Palestin Berhad. Beliau aktif dalam penulisan di blognya, GEMA MAHASISWA.

Peranan Seorang Pendidik.

By : Penganalisis Minda

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Menteri Perdana Negara Malaysia telah mengarahkan satu jawatankuasa untuk mengkaji tekanan terhadap kerja yang perlu dilakukan oleh guru-guru.

Guru-guru dikatakan tidak bekerja hanya sebagai pendidik malah turut dikatakan berperanan melakukan kerja-kerja pengkeranian yang pelbagai itu dan ini. Apatah lagi bagi sekolah-sekolah yang terlalu mengejar glamour dan kemasyhuran...

Dalam hal sebegini guru besar dan pengetua (kepala sekolah) berperanan tinggi dalam menangani tekanan guru terhadap kerja-kerja sebegini yang mana akhirnya seolah-olah memperjudikan nasib pelajar-pelajar yang akan terabai dari aspek pembelajaran. Mudahnya pelajar hanya diberi kerja yang banyak, lalu ditanda di dalam kelas bersama-sama pelajar dan menghukum pelajar yang tidak melakukan kerja.

Akhirnya aktiviti sedemikian akan memenuhi ruang dan masa yang diperuntukkan untuk sesi pembelajaran. Jadi di manakah letaknya sesi penerangan dari guru? Anda nilai sendiri...



Kekreatifan guru dikatakan amat penting dalam mengawal kelas pembelajaran agar ia nampak menarik dan menghasilkan suasana yang penuh minat, masalahnya (maaf berkata) tidak ramai guru-guru yang kreatif sebegini, bahkan puluhan tahun pengalaman dalam mengajar juga tidak mampu untuk menghasilkan guru-guru sebegini. Puncanya, (sensitif untuk dikatakan)

Saya pernah memasuki dunia perguruan dengan mengajar pada 3 situasi yang berbeza.

1. Pelajar pendidikan khas yang bermasalah dalam pembelajaran (kematangan berfikir tidak sama dengan umur, contohnya umur 12 tahun tetapi tahap pembelajarannya ialah untuk 9-10 tahun). Hyperaktif, pasif, disleksia termasuklah yang terencat akal.

2. Kelas perdana seperti kelas harian biasa.

3. Kelas pembelajaran agama untuk Sek. Ren Agama.

Pengalaman yang saya fikir cukup berharga sebelum memasuki dunia trainer dan consultancy. Dalam kes tekanan kerja guru saya berpendapat bahawa ia bergantung hebat kepada kepala sekolah. Salah sebuah sekolah ditempat saya mengajar cukup menyibukkan saya dengan kerja-kerja pengkeranian dan akhirnya saya akui ada masanya saya terlepas pandang untuk menumpukan penuh pada sesi pembelajaran dalam kelas (kesibukan sehingga terlupa untuk masuk ke kelas (",))



Antaranya, fail meja, fail guru, fail kelas, rekod keluar masuk kelas, rekod kehadiran pelajar, catitan bayaran dan ini tidak termasuk lagi untuk urusan program, tanda buku latihan, kretif modul pembelajaran dan aktiviti, kehadiran harian, rekod jumlah kehadiran pelajar, dan mungkin ada lagi yang tidak tersenari di sini. Ini yang menyebabkan terdapat kes yang menetapkan guru-guru sesi persekolahan petang 'punch out' pada pukul 7.00 petang. Kasihannya mereka.



Terdapat juga sekolah yang membuatkan saya cukup tenang untuk mengajar, kerja tidaklah terlalu banyak sehingga berlakunya tekanan bahkan keseronokkan mengajar membuatkan saya terasa sedih untuk meninggalkan sekolah tersebut. Tetapi saya terfikir bahawa begitulah kerja sebenar seorang guru, penumpuan penuh dapat dilakukan pada sesi pembelajaran, modul dicari untuk melakukan sedikit aktiviti bagi melahirkan susana kelas yang menyeronokkan sehingga meninggalkan kesan pada diri pelajar untuk tidak melupakan kelas tersebut.

Dari aspek yang lain kita sedar akan beberapa kepentingan tertentu, contohnya terdapat sebuah sekolah yang terlalu mengejar glamour sehingga guru-guru dipaksa untuk memikirkan caranya untuk mempromosikan sekolah. Pelik tetapi inilah hakikat yang berlaku pada sesetengah sekolah di Negara Satu Malaysia malah terdapat segelintir guru-guru yang terpaksa memikirkan cara dan urusan bagi mendapatkan dana untuk sesuatu program. (Belum lagi memikirkan masalah disiplin pelajar)

Jika dinilai semula, di sinilah juga bermulanya peranan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG). PIBG yang sebenar bukan sekadar hadir meeting dan memberi pendapat dan memohon kelulusan untuk membenarkan anak-anak mengikuti program tambahan anjuran pihak sekolah. Bahkan jika benar terdapat sekolah-sekolah yang ingin mendapatkan tempat dan nama di mata negara kerja-kerja sebegini seharusnya dibantu oleh pihak PIBG dan mungkin turut dibantu oleh alumnai sekolah. Jika kerja-kerja pencarian dana, urusan program pun dilakukan guru maka jangan marahlah kalau anak-anak kita terabai.



Sepakat membawa berkat. Orang tua-tua dulu memang pandai berkata-kata kerana zaman dahulu ibu bapa turut membantu guru-guru menangani masalah anak-anak, kalau palajar ponteng sekolah ibubapa yang hukum, tidaklah pening untuk guru-guru memikirkan masalah disiplin pelajar.

Kini guru-guru tidak sahaja dibebankan oleh masalah pelajar, pengurusan sekolah malah masalah ibubapa juga tidak terkecuali termasuklah campurtangan mereka yang adakalanya memberi tekanan kepada guru-guru. Kes ibubapa tampar guru? banyak yang berlaku tetapi disunyikan, lalu berlakulah dendam, 'anak kau diabaikan'. Pada pandangan anda mungkin atau tidak hal sebegini akan berlaku?



Sedihnya, anak-anak akan terkapai-kapai mencari arah dan jalan hidup sedangkan kita pula masih terus berkelahi sesama sendiri yang akhirnya akan merugikan bangsa kita sendiri.

"Lantaklah anak cucu aku, aku dah mati nanti pandai-pandailah mereka hidup"

Andai semuanya berfikir sebegini, logiklah zaman kemusnahan dan bala akan berlaku.

Sama-samalah kita mohon perlindungan dan rahmat dari Allah SWT, mengapa perlu sombong dan angkuh dengan Allah? sedangkan mendidik, mengajar, memelihara anak-anak dan remaja perlu disertakan bantuan dan pertolongan dari Allah SWT.

"Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang"

Surah Yusuf : 64

Saturday, April 3, 2010

Kisah Kasih Hingga Ke Syurga....

KUANTAN(HMetro): “Arwah ayah pernah bergurau dia akan ikut sama jika emak ‘pergi’ dulu, namun saya tidak menyangka gurauannya itu menjadi kenyataan apabila mereka ditemui mati bersama dalam keadaan berpelukan,” kata Suriati Musa, 23, anak bongsu pasangan warga emas yang ditemui mati di dapur rumah mereka di Kampung Peramu di sini, semalam.

Mayat pasangan romantik hingga akhir hayat itu, Musa Daud, 64, dan Aminah Ngah, 65, dipercayai sudah meninggal dunia lebih 48 jam ketika ditemui dalam keadaan berpelukan dan sudah berbau.

Sebelum ditemui, Allahyarham Musa dipercayai cuba mengangkat isterinya yang lumpuh untuk dimandikan.

Kejadian itu hanya disedari Suriati ketika mahu menziarahi ibu bapanya kira-kira jam 3 petang semalam.
SEDIH...Suriati (kiri) bersama kakaknya di rumah ibu bapa mereka, semalam.

Menurut Suriati, ibu bapanya duduk berdua di rumah berkenaan berikutan dia dan adik-beradiknya tinggal berjauhan, namun dia sering menziarahi mereka setiap minggu.

“Sebaik tiba hari ini (semalam), saya dapati rumah senyap sunyi manakala semua pintu dan tingkap tertutup rapat dan berkunci,” katanya ketika ditemui.

Berikutan itu, Suriati cuba memanggil bapanya, namun tiada jawapan menyebabkan dia curiga sebelum meminta bantuan seorang jiran untuk masuk ke dalam rumah melalui tingkap.

“Kali terakhir saya menziarahi arwah ayah dan emak pada Khamis lalu dan ketika itu ayah merungut sakit pinggang,” katanya yang sudah berkahwin dan tinggal di Kampung Kempadang.

“Saya percaya mereka mungkin mati akibat terjatuh ketika ayah cuba mengangkat emak untuk memandikannya kerana selama ini ayah yang menguruskan emak yang lumpuh akibat serangan angin ahmar, lebih setahun lalu.

“Arwah ayah dan emak memang pasangan bahagia terutama ayah yang sering bergurau menyebabkan saya tak mengesyaki apa-apa ketika dia memberitahu mahu ‘pergi’ bersama andai emak meninggal dunia,” katanya.

Suriati berkata, dia tidak menyangka gurauan bapanya itu benar-benar menjadi kenyataan, tetapi tetap reda dengan kejadian itu.

Jenazah pasangan itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peramu di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha, berkata polis menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang dan siasatan mengenai kejadian itu masih dijalankan.

“Setakat ini, kami mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut dan menolak sebarang unsur jenayah, namun siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kematian pasangan itu.

“Yang pasti tiada kesan rumah berkenaan dipecah masuk atau kecederaan pada badan mereka,” katanya.

Oleh Khairulmizan Yahya
am@hmetro.com.my
2010/04/03