Makluman

Sesiapa yang berminat untuk menjadi sebahagian dari penymbang artikel KBloG, mudah sahaja cume ikut arahan ini

1. Hantarkan alamat emel anda ke bloggerkuis@gmail.com

2. Selepas 7 hari sila periksa emel anda

3. Jida ada maklumbalas dari kami, tekan pada mail kami dan ikut arahan yang diberi.

4. Setelah anda mengisi emel dan pasword blog anda dalam mail kami, sila periksa blog anda dan pasti kan ada ruangan KBloG pada "Dashboard anda"

Jika ada sebarang masalah sila emelkan pertanyaan kepada kami : bloggerkuis@gmail.com

Selamat mencuba :)

Mahasiswa Islam, Mahasiswa Yang Berpengetahuan dan Celik Pada isu2 Semasa


Klik Sini

Adakah Kita Begini?

Monday, May 11, 2009

jangan hidup sambil mati

Posted on 11:25 PM by hani khalisya





"oo, waa bisnes you sudah makin besar ya, nanti sudah jadi kaya jangan lupa sama kami ya" kata tauke kedai fotostat yang sering menjadi pilihan saya untuk memfotostat kertas kerja kursus kewangan Islam saya.
"semua big big company pun you sudah masuk, Brunei pun sudah aa, waa manyak hebat ni, good luck good luck aaa" isteri tauke yang berumur sekitar 50-an pula menyampuk.
PELANGGAN DAN PENDAKWAH?
Hasil kerja yang bersih, cepat dan murah serta bijak berinteraksi dengan pelanggan antara punca saya memilih menjadi pelanggan tetapnya. Di samping faktor ketiadaan kedai fotostat lain di sekitar kawasan tersebut, khususnya milik orang Islam.
"no worries, you jangan bimbang, tapi kalau i umur panjang dan sihat badan" saya membalas ringkas.
"aya..you jangan cakap pasal mati oo..banyak susah hati la..jangan fikir mati lagi, hilang mood maa. Kerja kerja kerja dulu, nanti hidup baru senang" kata tauke Cina ini dengan bahasa Melayu pelat tionghua.
Isterinya turut mengangguk-angguk tanda setuju dengan saranan suaminya.
"Aiya tauke, tak fikir mati hidup senang ka? " duga saya selanjutnya, cuba meninjau ‘dalam kepala' sang tauke dan isteri.
"ya laaa, kalau fikir mati, buat itu ini pun boleh jadi malas ma, sebab rasa mahu mati aja la" ujar tauke nampak yakin sambil tangannya ligat menulis bil fotostat saya. Wajahnya masih tersenyum, mungkin gembira menerima sejumlah wang yang saya hulurkan secara tunai. Dua orang pekerjanya adalah anak gadis melayu, mungkin lepasan SPM. Mereka turut tersengih mendengar celoteh kami.
"tapi tauke, kerja cari duit saja tanpa fikir mati, salah satu punca utama orang ceroboh hak orang lain, menipu, merompak dan samun, semua sebab tarak fikir pasal mati. Orang buat jahat dan tamak kerana lupa pasal mati la tauke, nanti mati semua pun tinggal" jawab saya sebagai balasan logik yang diberinya tadi.
"Kami orang Islam yakin mati adalah waktu terima ganjaran kebaikan waktu kerja di dunia. Atau balasan siksa kalau tipu tipu waktu kerja. Ha.. sebab tu jika orang tu adalah orang Islam tulen, mereka kerja kuat dan tak da tipu punya, sebab mereka mahu selamat dan terima ganjaran." Tambah saya lagi.
"ok ok la you betul" kata tauke dan isterinya hanya mengangguk sambil tersenyum dan tangan menghulur resit saya.
Entahlah, sama ada difahami atau tidak oleh tauke, tiada dapat saya duga. Namun cukup sebagai pembukaan awal satu dakwah kepada individu bukan Islam. Bukankah molek jika semua kita ambil peluang kita sebagai pelanggan. Mereka hormat pelanggan, lalu saya gunakan penghormatan itu untuk meraih sesuatu untuk Islam. Sudah tentu anda juga boleh. Namun lebih tepat jika anda sudah agak kenal lama dan sang tauke sudah sedikit sebanyak mengenal hati budi dan amanahnya anda.
Saya sudah lama kenal tauke dan isterinya ini, sehingga boleh saya katakan, saya amat dipercayai oleh mereka.
Manakan tidak, sehingga pada hari Ahad, saya masih boleh meminta tauke datang untuk menyiapkan satu kerja fotostat emergency untuk kursus saya kegunaan pagi Isnin. Konfirmasi pihak penganjur secara last minute pasti membebankan urusan persiapan. Alhamdulillah sang tauke sanggup datang dan membuka kedainya khas untuk saya.
Bab pembayaran, tidak pernah saya culas atau lewat sehingga meresahkan tauke. Bila janji tempoh bayaran, saya akan pastikan ia ditepati. Ini menyebabkan saya dicop sebagai excellent regular customer yang dipercayai dan sering pula diberi diskaun. Diskaun serng diberi sebagai penggalak dan penambat hati secara psikologi, memang bijak.
Teringat sikap seorang peniaga langsir Pakistan di Leicester, mulanya cukup baik bersembang, namun bila saya minta sedikit diskaun, hanya GBP 2, lalu dibentaknya :
"la kamu ni, aku sudah beri harga terbaik, dan boleh beli apa sangat dengan GBP 2?" katanya.
"itulah kamu, sebagai peniaga kamu kena tahu, adakalanya pelanggan meminta diskaun bukan kerana ingin jimat tetapi sekadar kepuasan dan memberi keyakinan untuk membuat keputusan dan membeli, kena faham tu" bentak saya semula, dia kelihatan tersenyum pahit dan akhirnya memberikan saya diskaun lebih dari GBP 2. Namun saya telah pun membatalkan pembelian alas meja kerana sikapnya tadi dan hati saya juga sudah tawar dengannya, walaupun dia cuba memulihkan semula dengan sembangan berkenaan Malaysia selepas itu.
Kembali kepada kisah tauke Cina Malaysia tadi, benarlah kata sahabat dan rakan-rakan saya
"orang Cina, sekali sudah mempercayai kita, ia akan terus percaya sehinggalah terbukti sekali kita bersifat sebaliknya. Tatkala itu hilang punah seluruh kepercayaan yang lalu"
Saya memanfaatkan kepercayaan ini untuk memulakan idea-idea Islam di dalam minda mereka. Benar, memang sukar untuk anda terus pergi ke bertemu rakan bukan Islam dan mengempen idea berkenaan Islam secara tiba-tiba. Sama seperti mengempen untuk parti tertentu secara tiba-tiba dan di waktu pilihanraya semata-mata, pasti ia membiakkan rasa meluat.
Sewajarnya, kita menggunapakai cara yang ditunjuk oleh Allah swt melalui RasulNya, Nabi Muhammad s.a.w, baginda digelar al-amin atas sifat amanah baginda oleh seluruh penduduk Mekah termasuk sang kafir. Dengan imej demikian dan izin Allah swt, baginda mampu mempengaruhi sejumlah besar penduduk Mekah untuk menerima Islam di awal kebangkitannya.

FIKIR MATI AKAN SENANG ATAU SUSAH

Inilah pertentangan antara keyakinan seorang bukan Islam dan seorang mukmin.
Idea bukan Islam sering menjauhkan seseorang dari berfikir tentang kematian, kerana sangkanya ia hanya akan melambat kemajuan diri seseorang.
Malang, kepercayaan ini semakin meresap dalam diri kebanyakkan umat Islam, khususnya mereka yang sedang mabuk dilambung oleh ketamakan wang, pangkat dan harta. Kematian semakin dilupai, membawa sama kelupaan terhadap redha dan cinta Allah dan Rasul, turut lupa dan lalai terhadap larangan, tegahan dan arahan ilahi.
Kejauhan daripada Allah swt semakin terbukti apabila disebut berkenaan hukum perniagaan, mereka melenting dan tergesa-gesa menempelak :-
"kalau asyik haram, haram, haram aja, sampai bila kita nak maju!!, bukankah Islam suruh kita maju!"
Ini idea jahiliyah, yang sepatutnya hanya tersemat kukuh dalam hati dan minda seseorang yang sepatutnya berpakaian ‘kafir' bukan dari seseorang bernama Muslim. Moga kita dijauhi dari minda buruk ini. Islam menyuruh kita maju hati dengan kekayaan yang halal.
Allah swt berfirman :-

قَالَ كَذَلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَلِكَ الْيَوْمَ تُنسَى

Ertinya : "Allah berfirman: ""Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan" ( Toha : 126 )

ZIKIRAN KEMATIAN YANG MENGHIDUP

Ya Allah, NabiMu menangis deras mengingatkan nasib kami yang lemah ini. Ingin sahaja Nabi berdoa kepada Allah agar dapat diperdengarkan bunyi manusia yang sedang diazab di kubur. Catatan Imam Muslim menyebutkan kalam Rasulullah s.a.w :-

إن هذه الأمة تبتلى في قبورها ، فلولا أن لا تدافنوا ؛ لدعوت الله أن يسمعكم من عذاب القبر الذي أسمع منه

Ertinya : Sesungguhnya umat ini akan diazab di dalam kubur mereka, nescaya jika sekiranya ia tidak sampai terlalu menakutkan kamu (sehingga takut untuk dikafankan dan dikebumikan) , sudah tentu akan aku berdoa kepada Allah swt agar diperdengarkan bunyian azab kubur sebagaimana yang aku dengari ini" (Hadis riwayat Muslim)
Itulah salah satu mu'jizat Nabi s.a.w yang diizinkan oleh Allah untuk mendengari bunyian pukulan azab seseorang hamba. Ingin sahaja Nabi berkongsi kesedaran itu dengan kita..
Ya dengan kita, untuk apa ?
Agar kita tersedar dari dodoian indah dunia dan harta sementara yang melupakan dari tugas dan tanggungjawab hakiki di muka bumi sementara ini.
Azab atau nikmat di barzakh akan kekal sehingga kita dibangkitkan, jika ia enak, akan enaklah sepanjang penungguan dan selepasnya, jika pedih akan pedih jualah perjalanannya bermula dari diletaknya ia di ruang kecil lagi sempit yang bernama liang lahad.
Nabi bersabda :-

إن أحدكم إذا مات عرض عليه مقعده بالغداة والعشي إن كان من أهل الجنة فمن أهل الجنة وإن كان من أهل النار فمن أهل النار يقال هذا مقعدك حتى يبعثك الله إليه يوم القيامة

Ertinya : Apabila seorang kamu telah mati, dibentangkan tempat tinggalnya di pagi dan petang hari, sekiranya ia dari kalangan ahli syurga, maka ia akan menikmati tempat tinggal seperti ahli syurga, sekiranya ia dari kalangan ahli neraka, nescaya ia akan merasakan tempat duduk ahli neraka dan dikatakan kepada mereka : Inilah tempat tinggal kamu sehinggalah kamu akan dibangkitkan di hari kiamat kelak (Riwayat Bukhari dan Muslim)
BILAKAH ?
Wahai diriku dan teman-teman, apakah kehidupan kita hari ini sudah akan melayakkan kita untuk disenaraikan sebagai penghuni neraka atau syurga?
Sedarkah kita, kematian sentiasa mengintai dan malang bagi diri yang masih sering melupakannya, kehidupan dan hartanya disirami unsur haram lagi terlarang. Tubuhnya disaluti pekakas haram, pergerakannya sentiasa melanggar sempadan kemurkaan Allah dan dukacita Rasul. Keluarga ditadbir mengikut telunjuk nafsu.
Adakah sudah kita tempah ruangan barzakh yang luas sebagaimana kita tempahi kereta mewah idaman kalbu?
Bilakah lagi mahu tiba rasa ghairah dan kesungguhan untuk pahala besar sebagaimana rakusnya kita dalam mendapatkan kontrak dan tender besar?
Apakah kita sudah mampu tersenyum puas kerana usaha kita mentaati Allah, sebagaimana mereka yang tersenyum bangga memasuki rumah baru dibelinya yang luas lagi indah, bagaimana nasib rumah kuburnya kelak?
Jikalau kita masih belum, mengapa harus kita berlengah lagi?. Masih belum sedarkah dari lena dunia dan isinya?
Kematian seharusnya menjadi satu waktu yang dinanti kerana ia permulaan nikmat hakiki, bukan ditakuti dan dirisaukan. Namun jangan sampai enggan berubat apabila sakit, berubat adalah tuntutan Islam yang ditegaskan oleh baginda Nabi s.a.w.
Bilakah kesediaan itu akan tiba wahai diri, bila lagi?
Ya Allah, kami berdoa agar kami tidak tergolong dalam kategori mereka yang melupaimu, berikan kami sekelumit rasa cinta dan kasih kepadaMu, moga ia mampu mencetus getaran hati yang merubah diri lalu menyelamatkan kami dari azabMu. Jadikan kematian sebagai satu garisan yang tidak digeruni kami, tetapi ditunggu oleh kami dek kerana keghairahan untuk bertemuMu dan RasulMu yang membawa sinar dan rahmat kepada seluruh alam.
Memperbanyak fikir berkenaan mati akan menghidupkan seseorang, kegagalan berifkir tentangnya akan mematikannya.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

17 Rabiul Thani 1430 H
13 April 2009
dipetik dari halaman http://www.zaharuddin.net/

No Response to "jangan hidup sambil mati"

Leave A Reply