Makluman
Adakah Kita Begini?
Friday, August 21, 2009
Ramadhan Wujudkan Persefahaman Ummah
*Bahagian Bawah Artikel
Nick Name : Orang Kampung Nokkota
Weblog : xizhan88.blogspot.com
DALAM pelbagai kemelut dan polemik yang kita lalui, seluruh umat Islam akan bertemu dengan bulan paling mulia, penuh barakah, keampunan dan pembebasan daripada azab neraka. Walau apa keadaan dan kesediaan kita, kitaran masa yang diatur pasti akan menemukan kita dengan Ramadan yang penuh ganjaran ini.
Persoalannya kini, adakah kita mampu menggarap kekuatan Ramadan itu lebih daripada peranannya sebagai sebuah bulan puasa, bulan ibadah dan bulan kesihatan semata-mata? Malah, ada pula yang nakal dengan melihat Ramadan sebagai bulan ‘gastrik’, bulan ‘prestasi menurun’ dan bulan ‘kedai buka separuh’.
Kita selaku rakyat yang bertamadun, Islamik dan berdaya saing harus melihat Ramadan daripada perspektif berbeza. Ramadan sebenarnya cukup berperanan sebagai pembina insan yang kita cari selama ini. Ia juga sebagai platform terbaik ke arah penyatuan hati umat Islam.
Pengajaran besar yang kita boleh ambil daripada peristiwa Perang Badar (Badr al-Kubra) menyaksikan kepada kita apa yang disebut sebagai suntikan semangat buat umat seluruhnya.
Namun, berteraskan keberkatan ketahanan puasa, dan ketaatan kepada Rasulullah SAW serta keimanan kepada Allah SWT, mereka mampu menang dan memacakkan bendera kegemilangan Islam ketika itu. Kekuatan modal insan seperti inilah yang kita mahu garap.
Pada hari ini, kita mengharapkan agar seluruh tenaga digembleng untuk memperkasakan modal insan berkualiti buat negara. Inilah aset sebenar negara. Melihat kepada indeks prestasi negara kini, kita amat berpotensi untuk maju dengan kemajuan infrastruktur setaraf Barat.
Di sinilah kita, selaku rakyat berprinsip, melihat seluruh pelaksanaan program yang dijalankan kerajaan mahupun mana-mana pihak terhadap pembangunan insan, khususnya belia sebagai program yang wajar disokong dan dibantu dengan kapasiti kita sebagai individu, keluarga, ketua masyarakat, sektor swasta, dan penggerak badan bukan kerajaan (NGO).
Persepsi negatif seperti menganggap program belia sebagai instrumen politik sesebuah pihak wajar dikikis, demi melihat maslahah (kepentingan) dan kejayaan umat seluruhnya kekal terjaga dan terbela.
Melihat kepada akar permasalahan yang melingkari umat pada hari ini, mahu atau tidak kita sangat memerlukan kepada satu wadah untuk menyatukan umat. Masyarakat Melayu Islam di negara ini harus menyemat di hati bahawa segala kemelut perbezaan prinsip dan ideologi perlu diselesaikan dengan mencari titik persamaan antara satu sama lain demi menjaga survival umat dan masa depan generasi akan datang.
Sebagai contoh, antara resolusi yang dicapai dalam Kongres Pelajar dan Teras-Teras Kenegaraan yang dianjurkan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini, betapa perlunya usaha untuk kembali semula kepada teras dan nilai agama Islam yang dapat mewujudkan persamaan serta persefahaman antara semua pihak.
Justeru, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyeru agar semua pihak bersatu dan berpadu dalam menjadikan bulan Ramadan tahun ini sebagai azam baru menggandakan program muhasabah, program kepemimpinan dan program kecemerlangan akademik, demi mengambil barakah yang melimpah-ruah pada bulan mulia ini.
Kita mohon bersama-sama agar usaha kita untuk mengangkat kembali martabat generasi muda kita hari ini kian diberi kekuatan dan bantuan Allah. Segala persengketaan politik, kekalutan persaudaraan, serta kecelaruan polemik wajar dihentikan demi memberi laluan kepada Ramadan, ‘Bulan Pembinaan Insan, Medium Penyatu Umat’.
MOHD AKMAL AFIQ MOHAMAD,
Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
No Response to "Ramadhan Wujudkan Persefahaman Ummah"
Leave A Reply