Makluman
Adakah Kita Begini?
Thursday, July 23, 2009
Ah Long, Tolonglah Jangan Tolong!
Posted on 7:05 PM by Unknown
Cerpen: Ah Long, Tolonglah Jangan Tolong!
Nama Pengarang: Amir Hamzah Akal Ali
Ini cerpen yang saya hantar untuk sebuah majalah. Tolonglah bagi honorarium. Apa kalian ingat, para pengarang dan pemikir sepenuh masa ini makan apa?
Cerpen ini cerita benar. Bukan cerita bohong. Tetapi sudah tentulah, apabila mahu diceritakan, tidak dapat tidak adalah tokok tambah sedikit. Lagipun, saya bukanlah ahli hadis. Cerita saya masih boleh diragui. Namun, cerita saya ada mesej. Mesej moral namanya. Mesej moral ini, mungkin kalian tidak akan dapat dari novelis Ahadiat Akashah atau pengarah filem popular, Prof. Madya Razak Mohidin.
Cerpen ini bermula begini:
Satu tumbukan hinggap di perut saya. saya menyangka hanya satu tumbukan sahaja. Sangkaan saya meleset. Tumbukan kedua, tumbukan ketiga, tumbukan keempat, tumbukan kelima, ah, saya sudah sakit perut untuk mengira.
“Hang sangka, hang pandai sangat? Baca itu, baca ekonomi, baca ekonomi Islam, sosialis, kapitalis. Apa hang ingat, aku hantaq hang mengaji selama ini, suruh hang balik dok ajaq aku, buat berlagak pandai?”
Suara bapa antara dengar tak dengar di telinga saya.
Bapa memegang dagu saya yang mula ditumbuhi bulu.
“Hang ingat, hang dah nak ada janggut, hang nak besaq kepalalah?”
Pang! Bapa pergi selepas menempeleng saya.
Saya anak sulung dari tiga belas adik beradik.
“Banyaknya adik beradik kamu. Kuat betul bapa kamu?”
Seorang teman perempuan yang suka mengulangkaji bersama-sama saya sedikit teruja. Saya dan dia akan mengulangkaji bersama-sama seorang rakan lagi.
“Eh, Rais. Dari tadi lagi, saya nak tanya kamu. Kenapa ada kesan lebam dekat pipi kamu?” Maria, iaitu teman perempuan saya itu mahu memegang pipi saya. Saya elakkan.
“Kenapa kamu tak bagi saya pegang pipi kamu? Saya dapat rasakan kesakitannya. Tentulah saya tahu, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.”
“Haram, Maria. Kamu tu, perempuan. Saya ni lelaki.”
Maria mencebik. “Eh, tetapi kena apa dengan pipi kamu? Jatuh main bola lagikah?”
“Na’am.” Kata Rais pendek dalam bahasa Arab langsung mematikan perbualan petang itu. Indra Ghandi, perempuan India bermata galak termengah-mengah datang.
“Maafkan saya, maafkan saya. Saya lambat lagi hari ini.
Mereka mengulangkaji matematik, matematik tambahan, perdagangan, prinsip akaun dan ekonomi. Kipas angin di dalam bilik darjah berputar menghalau panas.
“Rais, terima kasihlah kerana sudi bimbing kami yang agak lambat pasal kira mengira ini. Terima kasih ya.” Maria berkulit putih seperti buah epal yang dikupas kulitnya berterima kasih kepada saya.
“Iya. Sama-sama kasih. Jangan lupa pula, yang kamu semua kena mengajar saya subjek sastera, bahasa dan lukisan.”
“Terima kasih Rais.” Kata Indra yang baru keluar dari kelas selepas habis menyelesaikan soalan tambahan yang diberikan saya.
Saya mengikuti Marxis, membaca Das Capital, Communist Manifesto semenjak saya di tingkatan tiga lagi. Guru-guru muda di sekolah saya tidak banyak membantu. Usia enam belas tahun barulah saya tahu, mereka mengambil kerja guru sebagai kerjaya tetap adalah disebabkan sudah tidak ada kerja lain. Banyak syarikat besar memberhentikan pekerjanya.
“Bodoh!” Keras dan kesat kata yang saya keluarkan ketika itu, ketika melewati bilik rehat para guru. “Sosialis dan kapitalis berlawan di dalam gelanggang ekonomi, semenjak zaman Union of Soviet Socialist Republics. Tahun ini, saat ini, abad ini, mereka bertempur lagi, kamu semua pedulikah?”
Bapa saya, seorang buruh. Buruh kasar. Sementara ibu, seorang suri rumah sepenuh masa. Semenjak berlaku kelembapan ekonomi dunia, ibu telah menceburkan diri di dalam perusahaan jual kuih muih.
“Rais, kamu bawa kuih muih macam biasa ya. Letak dekat meja makcik Zaiton kantin itu ya?”
Seperti biasa, saya menuruni tangga waktu pagi selepas mendengar laungan ibu di bawah. Bapa pula masih berdengkur. Dengkur bapa masih jelas kedengaran meskipun jam sudah menunjukkan pukul enam empat puluh lima pagi.
Hari-hari berlalu seperti biasa. Minggu berganti minggu, bulan berganti bulan. Banyak peristiwa besar yang berlaku dalam hidup saya.
“Abang nak buat apa dengan duit sebanyak ini?”
Suara ibu kedengaran ketika saya menanggalkan ikatan tali kasut sekolah. Saya pulang lewat ketika nak dekat Maghrib. Indra dan Maria meminta saya menubi mereka sehabi upaya. Maklumlah peperiksaan makin dekat.
“Abang nak buat perniagaan. Awak kena tolong saya.”
Ibu saya bukan orang Kedah. Ibu orang Negeri. Bapa menikah di sana sekali kenduri. Jadi, mungkin itu sebabnya saya tidak mendengar bapa panggil hang aku, hang aku dengan ibu saya meskipun bapa orang utara.
“Nak tolong apa bang? Duit abang banyak sangat. Saya, perniagaan kecik-kecik ni, bolehlah. Duit banyak macam ini, perniagaan besar, bang.”
Saya masuk. “Assalamualaykum bapa, ibu. Ada apa ibu?”
Bapa mendengus berat. Sebenarnya hubungan saya dengan bapa semakin renggang ekoran peristiwa saya dibelasah bapa hari itu.
“Rais, kamu ke mana? Lewat balik hari ini. Pergi masuk mandi. Cepat sikit. Nak masuk maghrib ni. Nanti berebut dengan adik-adik kamu pula.”
Ibu meninggalkan bapa dan saya di muka pintu. Saya bersalam dengan bapa. Mencium tangan bapa. Bapa sedikit pun tidak memandang saya. bapa menarik pantas tangannya lalu meninggalkan saya.
Sikap bapa sedikit sebanyak mencederakan hati saya. Saya masuk mandi. Suara adik-adik saya riuh kedengaran. Selepas itu senyap. Saya jangka, bapa telah keluar daripada rumah dan mencambuk mereka dengan rotan. Kerana, selepas itu saya dengar ada tangisan adik-adik saya.
“Bapa pinjam duit along.. er, ah long ke apa.” Ibu berterus terang waktu saya menyapu minyak di kaki ibu. Saya selalu mengurut ibu selepas waktu Isyak. Bapa belum pulang. Mungkin di kedai kopi lagi.
“Berapa banyak bapa pinjam?”
Ibu memandang kelopak mata saya. Ibu dengan saya, tidak lokek rahsia. Ibu tahu, saya memang expert dalam hal kira mengira ini, tetapi ibu juga sedikit terkilan dengan pegangan saya –saya tidak mahu bekerja sebagai ahli perniagaan-
“Lima puluh ribuu??” Saya terkejut besar selepas ibu memberitahu.
Kedengaran bunyi pintu dikuak. Saya dan ibu ketika itu tidak mendengar salam bapa. Tetapi saya ketika itu meluahkan perasaan tidak puas hati saya kepada ibu tentang perangai bapa.
“Inilah masalahnya ibu. Masalah Iman. Kita tidak sedar tentang diri kita sendiri. Kita berhutang untuk perkara-perkara yang tidak perlu dan kita mengaku, ia perlu.”
Hujah saya tidak dipandang ibu. Ibu memandang atas kepala saya.
“Jadi, hang mendakwa, hang lebih tahu dari aku?”
Saya diangkat bapa dan ditendang berkali-kali. Lagaknya, saya seperti barang mainan di mata bapa. Ataupun, tidak ada apa-apa di mata bapa, kerana esok hari, saya mendapati, tangan kiri saya telah bengkok.
“Bapa kamu melampau sangat ni. Kamu nak ibu laporkan kepada poliskah?”
Jururawat dalam bilik tempat saya dirawat, sudah keluar. Saya pandang wajah ibu dan wajah dua orang adik lelaki saya dan adik perempuan saya yang comel.
“Ibu, bagaimana bapa melayan ibu?” Suara saya kedengaran serak sahaja. Ibu telah menghantar saya ke hospital sebaik sahaja bapa selesai melangsaikan urusannya.
“Baik sahaja. Dengan kamu sahaja yang lain. Kamu itu pun satu. Suka sangat melawan dan berhujah.”
Ibu meninggalkan saya ketika waktu rawatan. Esoknya, ibu datang lagi berseorangan. Ibu membawa beberapa buku ekonomi dan perdagangan.
“Buku matematik tambahan, buku matematik dan buku prinsip akaun, ibu tak jumpa. Kamu letak dimana? Rais, hari ini, Ibu kena balik awal. Adik kamu buat masalah pula di sekolah.”
Beberapa minit kemudian, selepas menyuapkan bijirin HPA dalam mulut saya, ibu tergesa-gesa keluar selepas ada panggilan dari sekolah.
Saya kasihan dengan ibu. Badan saya disandarkan di besi katil. Bantal yang dua biji itu saya lapikkan di kepala saya yang masih berdenyut-denyut.
“Sebenarnya, masalah ekonomi ini berpunca dari peribadi manusia itu sendiri. Bapa, sebagai contoh tidak memperdulikan dirinya sendiri. Buta dengan kehidupan hakiki. Menyangka, lembu boleh menjaga lembu. Menyangka, benda boleh menyelesaikan masalah. Sebenarnya salah.”
“Dalam Islam, ada doruriyat. Ada hajiyyat dan ada tahsiniyat. Adakah Astro itu satu keperluan? Kalau tidak ada Astro, boleh mati tak? Motor EX5, sebagai contoh, boleh matikah kalau tidak membelinya secara riba? Secara interest, bahasa orang zaman sekarang.”
Soalan Ekonomi Asas saya tidak jawab. Bagi saya, soalan ini cuma permainan sahaja. Prinsip-prinsip dalam pelajaran kira mengira ini barulah perjuangan.
“RM 50,000, apa yang boleh dibuat dengan orang yang rapuh imannya untuk sebuah perniagaan. Padahal dia kosong langsung dalam ilmu perniagaan?”
Saya mencongak-congak sendirian.
“Dia akan rosak.” Tercetus ayat itu dari bibir saya yang mula sedikit pecah.
Ah long kurung orang, bagi pinjam duit dekat orang, kemudian seksa orang. Tetapi, kenapa orang masih tetap mahu pinjam juga?
Kenapa kena ada orang macam bapa, untuk menjadi mangsa Ah Long?
Saya beristighfar.
Soalan kenapa, kenapa tidak boleh ditanya lagi. Sudah sememangnya akan berlaku pertarungan antara yang ditindas dan yang menindas. Ini yang saya pelajari dari Ali Syariati, seorang arkitek revolusi Iran.
Teman-teman sekolah saya datang waktu petang. Selain Maria dan Indra, John, Sani, David, Muthusamy dan beberapa orang lagi rakan mereka turut datang. Mereka datang mebawakan buah epal, anggur, belimbing dan pelam.
“Untung lidah saya boleh merasa. Jikalau tak, habislah peluang saya untuk merasa kelazatan buah-buahan yang kamu semua bawa ini."
Maria yang mengupas kulit buah epal tersenyum sahaja.
“Kamu jatuh main bola lagi.” Tercetus kata itu di bibir Maria. Pipi Maria kelihatan seperti putih kulit epal yang telah dikupas kulitnya.
Maria yang mengupas kulit buah epal tersenyum sahaja.
Seorang rakan mereka yang saya tidak kenali membimbit Kosmo! Saya lihat dia sedikit menjerit.
“Mereka ini, betul-betul kejam. Tidak berperikemanusiaan!”
Rakan-rakan lain yang berada di dalam wad terkejut. Mulut mereka melopong kesemuanya. Setelah diperjelaskan, barulah kesemua mereka faham.
“Ah Long. Mereka bukan nak tolong pun. Mereka ada duit sikit, kemudian bagi pinjam dengan kenakan bunga yang berlipat-lipat kali ganda.”
Seorang lagi yang saya tidak kenal, bersuara. Kawan Indra agaknya sebab mereka kelihatan rapat. Mereka semua belum berganjak keluar dari bilik saya meskipun sudah lewat petang.
“Kami semua datang ada hajat besar, Rais.”
Indra dan Maria bersuara serentak.
“Mereka semua mahu belajar ulangkaji bersama-sama kita.”
“Baiklah, tidak ada apa-apa masalah. Dua tiga hari lagi, saya keluar, bolehlah kita mulakan. Kamu semua pun, kena kongsikanlah pengetahuan-pengetahuan kamu dalam subjek-subjek yang kamu pandai.”
Selepas kawan-kawan saya balik, saya merasakan, sistem ekonomi dunia yang telah teruk dikapitaliskan ini perlu diperbetulkan oleh orang-orang Islam. U.S.S.R akhirnya runtuh sekali dengan Lenin dan Kremlin.
“Menstruktur ekonomi dengan Islam.” Saya menggigit buah belimbing.
Pintu dikuak.
“Bapa?” Belimbing yang digigit terjatuh
***
Cerita ini berlaku beberapa waktu dahulu. Riba, ekonomi, dunia, Ah Long dan segala masalah ekonomi haruslah diselesaikan menurut cara Islam. Selain daripada cara Islam, tidak akan dapat diselesaikan.
Saya akhirnya membantu bapa menguruskan perniagaan itu. Kami urus perniagaan jual kuih muih ibu dengan lebih berkesan dan tersusun. Saya beritahu bapa dengan sopan dan beradab: Kita buat perniagaan bapa. Kita kerahkan semua anak bapa.kita akan setelkan hutang ah long,kemudian jangan pinjam lagi dekat ah long. Kalau ada barang-barang yang betul-betul perlu, baru kita beli. Kobis, sayur kangkung, bendi, kacang panjang, cili hijau, cili merah, petai, kita tanam dekat kawasan tanah belakang rumah.
Bapa bersetuju dengan saya. Ibu amat bersyukur sekali ke hadrat ilahi.
Seorang ahli akademik mengesyorkan pandangan, kena ada instituisi kewangan yang lebih kukuh untuk membantu orang yang mahu membuat pinjaman.
Saya, seorang yang telah melepasi STPM dan STAM merasakan pandangan ahli akademik itu tidak bertunjangkan worldview Islam. Saya terkesan dengan makna sebuah hadis Nabi yang pernah saya pelajari. Manusia ini, kalau beri segunung emas, pasti dia akan nak gunung emas yang kedua. Kemudian, adakah ia mengenyangkan manusia itu? Tidaklah. Sekali-kali lagi, tidak, manusia itu akan nak gunung emas ketiga, keempat, kelima. Apabila dia ditimbunkan dengan pasir dan dituangkan pasir ke dalam mulutnya, barulah dia akan kenyang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No Response to "Ah Long, Tolonglah Jangan Tolong!"
Leave A Reply