Makluman

Sesiapa yang berminat untuk menjadi sebahagian dari penymbang artikel KBloG, mudah sahaja cume ikut arahan ini

1. Hantarkan alamat emel anda ke bloggerkuis@gmail.com

2. Selepas 7 hari sila periksa emel anda

3. Jida ada maklumbalas dari kami, tekan pada mail kami dan ikut arahan yang diberi.

4. Setelah anda mengisi emel dan pasword blog anda dalam mail kami, sila periksa blog anda dan pasti kan ada ruangan KBloG pada "Dashboard anda"

Jika ada sebarang masalah sila emelkan pertanyaan kepada kami : bloggerkuis@gmail.com

Selamat mencuba :)

Mahasiswa Islam, Mahasiswa Yang Berpengetahuan dan Celik Pada isu2 Semasa


Klik Sini

Adakah Kita Begini?

Sunday, June 14, 2009

Atas Nama Cinta: Catatan Emosi Yang Terluka




Atas Nama Cinta: Catatan Emosi Yang Terluka.



Oleh: Amir Hamzah Akal Ali

Suatu ketika dahulu, di Tanah Melayu, lebih tepat di Singapura, berlaku sebuah pancaroba terhadap Islam dan para penganutnya. Natrah, seorang perempuan Belanda telah menjadi polemik yang cukup dahsyat. Ledakan isu ini masih terasa hingga ke hari ini, saat ini.


Atas Nama Cinta, karya Isa Kamari penerima S.E.A Write Award 2006 kembali menggarap sebuah kisah epik sejarah yang telah lama dilupakan massa Malaysia dan Singapura. Atas Nama Cinta, novel sejarah, mencatitkan emosi yang masih terluka.


Sinopsis, seorang wanita bernama Adelaine telah meninggalkan anaknya kepada seorang wanita Muslim Melayu bernama Aminah. Adelaine, wanita Belanda itu meninggalkan anak perempuannya bernama Maria, kerana di zaman itu, kawasan Tjimahi Indonesia, dikacau Jepun.



Selepas Jepun pergi meninggalkan tanah yang telah dijajah, cerita cinta ini terus bergolak di Kemaman. Ayah dan ibu Maria yang sudah pulang ke Belanda, mahukan semula anaknya, Maria yang telah bertukar nama menjadi Nadra. Walaubagaimanapun, Aminah, si ibu angkat Maria lebih selesa memanggil Maria dengan nama Putih. Putih dan ibunya akhirnya terpergi ke Singapura yang ketika itu di bawah kuasa British akibat diperdaya seorang putih, Tuan Locke yang ada niat jahat.


Apabila terperginya Maria ke Singapura bersama-sama ibunya, bermulalah episod tragis satu demi satu. Saat mengetahui dirinya telah ditipu hidup-hidup oleh orang putih keparat di Kemaman, Aminah terpaksa pasrah dengan keadaan.



Muncul karekter yang berjiwa budiman seperti Majid, Mansoor serta ibunya Wok Adabi. Mereka memberi pertolongan seperti tempat tinggal serta sokongan moral kepada Aminah. Si Putih atau Nadra atau Maria ini akhirnya dinikahkan dengan Mansoor yang bekerja sebagai guru sebuah sekolah.


Selepas perkahwinan, Adelaine berangkat ke Singapura untuk merampas anaknya yang pernah diserahi kepada Aminah suatu ketika dahulu. Berlakulah seterusnya naik mahkamah dan turun mahkamah, yang pastinya, Adelaine telah banyak menipu untuk mendapatkan semula anaknya.



Akhirnya, setelah banyak berlaku usaha untuk memaksa mahkamah supaya berlaku tidak adil, Nadra akhirnya menjadi Maria Hertough semula di tangan Adelaine. Aminah meratap tidak sudah, Mansoor yang belum sempat menikmati malam pertama dengan isterinya yang sah agak kecewa.



Jadi, apa yang emosi terlukanya?



Kisah ini, diambil dari sebuah cerita benar. Sebuah cerita yang benar-benar berlaku pada suatu ketika dahulu. Kepedihan hati amat terasa jika kita menghabiskan pembacaan novel Atas Nama Cinta ini hingga ke sudah meskipun permulaan cerita ini agak hambar.


Benarlah, seorang sasterawan yang terulung itu adalah seorang yang melangkaui zaman. Hampir, cerita Lina Joy berputar-putar di isu yang agak sama, tetapi tidak serupa. Jika Nadra direbut secara paksa oleh keluarga Hertough, Lina Joy yang mencengangkan rakyat Malaysia pula mahukan simpulan ‘aqidah Islam terlerai dari dirinya. Kita perturunkan sedikit kata-kata semangat yang dikatakan Prof Dr. Nik Abdul Aziz (UKM): “Peristiwa tragis Nadra bagaikan mimpi seram yang boleh berulang jika pertembungan budaya dalam meraih kasih sayang seseorang insan ditentukan oleh kuasa pemerintah sahaja. Tambah-tambah lagi pemerintah yang tidak mahu memberi tempat kepada syariat Islam.”



Bukankah ia memang serupa? Bukan sekadar Lina Joy atau Azlina Jailani, bahkan sebelum itu juga kita mendengar kes Hartina Kamarudin, Aisyah Bukhari, dan lain-lain lagi kes yang hampir serupa. Melihatkan hal ini, Islam sama ada mahu atau tidak mahu tidak dapat ditegakkan melalui mahkamah.


Pergolakan antara sekularisma dan Islam bergolak di Mahkamah. Antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, siapa yang lebih berhak ke atas Nadra? Apabila sekularisma dinobatkan sebagai pemerintah utama, sekularisma mengatakan: Nadra adalah hak milik Belanda.



Kesepakatan antara syaitan dan ketidaksepakatan antara manusia.



Kuasa kolonial penjajah seperti Belanda, Inggeris, Portugis, Jepun memang diketahui ada hasrat peribadi. Ini jelas melalui slogan lama kebanyakan mereka tidak termasuk Jepun iaitu 3 G: Gold, Gospel and Glory. Walaubagaimanapun untuk kes-kes yang tententu, berdepan dengan bangsa yang dijajah, yang dianggap primitif, tidak bertamadun, makhluq asing, mereka akan bersepakat dengan erat seperti tali yang disimpul dengan ikatan yang amat-amat kuat.



Sebaliknya pula yang berlaku antara manusia-manusia. Manusia-manusia yang dijajah kebanyakannya tidak sedar yang mereka ini telah dijajah, sedang dijajah dan akan dijajah. Lihat halaman 242: Kemudian Tunku Abdul Rahman telah mencuba memujuknya tetapi Dato Onn pula bertanya mengapa Cik Aminah mahu mengambil anak orang Eropah sebagai anak angkat. “Perkara yang sebenar ialah pemerintah British telah memperkecilkan kita orang Melayu dan Islam. Mereka mengambil anak itu daripada Cik Aminah. Anak itu beragama Islam. Dia ditempatkan di sebuah biara, kemudian tersiar berita dia telah memeluk agama Kristian. Oleh kerana itu Dato’ mesti campur tangan,” jelas Tunku.



Dato’ Onn tetap dengan pendiriannya. Tunku menyambung lagi, “Pihak British telah bertindak ke atas masyarakat Islam dan seorang kanak-kanak Muslim…”



Intelektual Rausyan Fikir Itu Melakukan Kerja Para Nabi!



Muncul lelaki-lelaki yang pada hari ini telah ditenggelamkan teks sejarah. Karim Ghani, Dr.Burhanudin Helmi, Taha Kalu, Syed Ali Al-Attas dan lain-lain. Yang paling ditonjolkan di dalam cerita ini adalah Karim Ghani.



Sosok ini muncul di tengah-tengah umat ketandusan orang yang boleh bercakap dengan bahasa rakyat. Kadang-kadang sesetengah intelektual itu terlebih berlagak kerana ilmu mereka berada di puncak awan manakala ilmu umat cuma berada di atas tanah, manakan sama! Sebaliknya Karim Ghani mengumandangkan kesatuan umat di tengah kekecohan. Laung Karim Ghani: “Baiklah. Kita semua sudah sepakat dalam hal ini. Saya berucap dengan penuh rasa tanggungjawab tentang perkara ini. Jika saya yang memimpin, disiplin daripada kamu sekalian adalah penting dan mesti dipelihara. Kita sedang berhadapan dengan keadaan yang sangat rumit dan berbahaya…,”


Kesimpulan Atas Nama Cinta: Catatan Emosi Yang Terluka.



Nadra telah menjadi Maria bersama keluarga Hertough selepas pulang ke Belanda. Selang beberapa tahun kemudian Maria berkahwin. Maria kekal Kristian. Maria kemudian disisihkan ibunya atas alasan kemiskinan. Maria bernikah dengan Johan Geradus Wolkenfelt, seorang pegawai tentera berbangsa Belanda. Anak yang terlahir dari rahim Maria seramai tiga belas orang. Suatu ketika Maria mencuba membunuh Johan. Maria akhirnya tertanya-tanya: Kenapa aku diambil suatu ketika dahulu dari ibuku, jika sekarang aku disisihkan sedemikian teruk? Keluarga Hertough menyesali tindakan Maria. Anak-anak Maria menjauhkan diri daripada Maria, bukankah ia begitu melukakan?



Sementara di bumi Singapura, tempat Mansoor dan Nadra (Nama lain Maria) bercinta, telah ditimpa rusuhan, cinta hari-hari rusuhan. Anasir-anasir komunis menyelinap masuk, membaham orang-orang putih. Palang kayu, palang besi, botol, petrol digunakan sepenuhnya untuk menyimbah api kemarahan kepada kuasa kolonial. Singapura terbakar waktu itu, akibat pergelutan atas nama cinta. Atas Nama Cinta, sungguh banyak yang terluka.



Thursday, June 11, 2009

My Jawi Games bukti keseriusan KUIS martabatkan tulisan Jawi

MENGIKUT catatan sejarah, tulisan Jawi wujud di Nusantara sejak abad ke-14. Pembangunannya dikaitkan dengan penyebaran Islam dari tanah Arab. Di Tanah Melayu, dan kemudiannya Malaysia, apabila tulisan Jawi sedikit demi sedikit kehilangan pengaruh berikutan perkembangan tulisan Rumi, isu memartabatkan tulisan Jawi mula diperkata.

Bagi masyarakat Islam, kepentingan tulisan Jawi dilatari kewajipan mempelajari ilmu agama, yang dituntut ke atas setiap penganutnya. Namun begitu, keistimewaan tulisan Jawi membuatkan ia mampu menarik pengikut dan penggemar dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Justeru, sebarang usaha dalam mengetengahkan penggunaan tulisan Jawi tentunya berbaloi.

Barubaru ini Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) melakar kejayaan dengan penghasilan permainan komputer berasaskan tulisan Jawi yang dinamakan 'My Jawi Games'.

Dicipta oleh pensyarah di Fakulti Teknologi dan Sains Informasi KUIS, Noor Azli Mohamed Masrop, 37, permainan ini boleh dikategorikan sebagai satu aplikasi 'mobile learning' atau kaedah pembelajaran cara mudah alih.

Pada Pameran Penciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa Ke-20 (20th International Invention , Innovation and Technology Exhibition ITEX 2009) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 15 hingga 17 Mei lepas, My Jawi Games memenangi Anugerah Pingat Emas.

Pameran itu melibatkan penyertaan institusi pengajian tinggi, pertubuhan, syarikat dan individu dari dalam dan luar negara.

Cerita rakyat

My Jawi Games direkabentuk berasaskan cerita rakyat Pahang iaitu 'Azimat Awang Miskin' dengan menggunakan platform animasi multimedia Adobe Flash sepenuhnya.

Cerita Azimat Awang Miskin mengisahkan seorang anak yatim piatu, Awang, yang merantau untuk menuntut ilmu. Dalam pengembaraannya, Awang perlu menghadapi pelbagai cabaran.

Melalui tujuh modul, pengguna dicabar dengan pelbagai aktiviti seperti mengutip dan mengira buah-buahan, mendaki bukit, menyeberang sungai yang penuh buaya, memasak dan menangkap ikan.

"Alhamdulillah, permainan ini dapat disiapkan dalam lebih kurang setahun," kata Noor Azli, yang telah berkhidmat di KUIS selama 13 tahun.

"Saya amat berterima kasih kepada KUIS kerana memberikan kerjasama dan bantuan, termasuk cuti bergaji penuh," tambahnya.

Projek ini juga mendapat sokongan daripada pelajar serta guru sekolah, yang memberikan maklum balas dan nasihat berkenaan pendekatan pembelajaran di sekolah.

Permainan ini telah diuji di beberapa buah sekolah di sekitar Bangi dan mendapat sambutan yang amat baik. Hasilnya, ada murid sekolah terlibat yang sebelum ini tidak cekap membaca tulisan Jawi kini dapat membacanya dengan lancar.

Objektif dan sasaran

My Jawi Games dihasilkan bertujuan memperkasa dan memartabat tulisan Jawi bermula di peringkat kanak-kanak.

Dengan menggabungkan pembelajaran tulisan Jawi bersama cerita rakyat, penghasilan My Jawi Games dilihat sebagai menyahut saranan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang mahu menjadikan tulisan Jawi serta cerita rakyat sebagai warisan negara yang sentiasa diguna pakai dalam kehidupan seharian.

Pada masa yang sama, My Jawi Games memberi pendedahan kepada pengguna, iaitu kanak-kanak, kepada teknologi maklumat dan multimedia dengan cara yang menyeronokkan.

Idea untuk menghasilkan permainan ini bermula apabila bapa kepada lima anak ini sering mendengar kes pelajar ponteng sekolah dan mengunjungi pusat permainan video.

Bertolak dari rasa tanggungjawab yang menebal, Noor Azli berusaha mencari alternatif yang dapat membendung gejala tersebut.

"Lumrah kanak-kanak sukakan permainan yang menggembirakan, saya membina permainan Jawi yang sekali gus dapat memberi motivasi dan nilainilai murni kepada mereka," kata Noor Azli.

Menurut Noor Azli, projek ini dihasilkan bagi melengkapi sebahagian daripada kajian beliau di peringkat kedoktoran di Universiti Kebangsaan Malaysia yang dijangka selesai pada tahun hadapan.

Rancangan masa hadapan

Harapan Noor Azli, My Jawi Games dapat diterima ramai.

Anak kelahiran Selangor ini berkata, permainan ini belum dipatenkan lagi kerana masih dalam peringkat percubaan.

Beliau ingin terus menjalankan percubaan di mana-mana pusat pendidikan untuk memenuhi syarat permohonan paten bagi permainan ini.

Noor Azli, yang pernah mendapat tempat pertama dalam pertandingan mencipta logo pertandingan Kemahiran Asean, berhasrat menaik taraf dan mempelbagaikan lagi ciptaannya agar penggunaannya tidak terhad kepada peringkat awal pembelajaran (beginners) sahaja malah sesuai untuk semua peringkat umur.

Contohnya, pendekatan Jawi boleh digunakan dalam permainan komputer berunsur aksi lasak yang digemari oleh golongan remaja, katanya.

Melihat lebih jauh ke hadapan, Noor Azli juga mengimpikan untuk menerapkan penggunaan tulisan Jawi dalam pembelajaran matematik dan sains, sebagaimana ia boleh diajar dalam bahasa Inggeris pada masa ini.

Dalam semangat yang sama, jika tulisan Jawi dapat diangkat sebagai satu daripada komponen dalam mata pelajaran Pendidikan Islam yang dinilai dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), berkemungkinan murid akan lebih bersungguhsungguh untuk mempelajari Jawi, kata Noor Azli.

Menurutnya, pelbagai usaha penyelidikan melibatkan tulisan Jawi sememangnya telah dan sedang dijalankan di beberapa institusi pengajian tinggi; antaranya seperti penciptaan pemproses perkataan Jawi, penukar RumiJawi, pengimbas Jawi, penukar laman web Rumi ke Jawi dan perisian pembelajaran Jawi.

My Jawi Games pula sebagai permainan komputer diharap akan menjadi permulaan kepada satu lagi sumbangan ke arah memartabatkan tulisan Jawi.

Rektor KUIS Datuk Adanan Isman turut mengakui kepentingan usaha membangunkan permainan Jawi ini.

"My Jawi Games merupakan satu penemuan inovasi yang baik. Dahulu, kita mendapat sumber bacaan Jawi daripada kitab-kitab, surat khabar serta makalah-makalah, tetapi (kini bahan-bahan ini) kurang mendapat sambutan," katanya kepada Bernama.

"Penemuan teknologi yang sangat menarik ini diharapkan dapat memberi suntikan baru kepada pembangunan tulisan Jawi.

"Pihak KUIS amat mengalu-alukan usaha sebegini. Jika ada antara para pensyarah KUIS atau para pelajar yang ingin menghasilkan penemuan baru seperti ini, kami sedia memberi kerjasama dan bantuan kepada mereka," katanya. BERNAMA


http://mstar.com.my/

Tuesday, June 9, 2009

Ayat-Ayat Cinta: Atas Nama Cinta?





Ayat-Ayat Cinta: Atas Nama Cinta?



Oleh: Amir Hamzah Akal Ali


Cinta itu satu perasaan yang suci jernih yang diturunkan oleh Tuhan yang bersifat dengan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Fiksyen Ayat-ayat Cinta bikinan Habibur-Rahman Al-Syirazi melakarkan sebuah cerita cinta yang tidak berlandaskan hawa nafsu. Cerita cinta yang digarap Habibur Rahman Al-Syirazi ini yang turut dikenali dengan nama Kang Abik berlatarbelakangkan bumi Mesir.



Bumi Mesir, adalah bumi para anbiya’. Bumi para Nabi ini juga pernah melakar cerita cinta lebih ratusan abad yang lampau antara para Nabi dan insan-insan yang bukan Nabi. Asiah, atas nama cinta telah menyelamatkan seorang bayi lelaki yang comel yang mahu dicengcang tentera Firaun. Lebih awal daripada itu, berlaku kisah cinta romantika antara Yusuf A. S dan Zulaikha.



Mari kita tinjau fiksi Ayat-ayat Cinta ini menggunakan kalimah atas nama cinta. Ini kerana didapati, sama ada Ayat-Ayat Cinta (AAC) versi novel dan (AAC) versi filem sendiri mengutarakan dengan baik persoalan tentang cinta.



Atas Nama Cinta.



Aisyah memberikan tempat duduknya kepada perempuan kafir Amerika atas sebab kefahaman dan kecintaan Aisyah dalam menghayati ajaran Islam. Maka tempat duduk diberikan.



Manakala seorang lelaki separuh umur yang mengherdik Aisyah atas sebab memberi tempat duduk kepada perempuan kafir Amerika juga, mengherdik atas nama cinta. Lelaki separuh umur itu, mencintai umat Islam Afghanistan, Palestin, dan Iraq yang darah-darah mereka sedang ditumpahkan oleh Amerika yang dibencinya. Cinta lelaki ini, sedikit tersasar dan terkasar.



Fahri pula, membela si perempuan bernama Aisyah atas kejelasannya dengan ajaran Islam tentang konsep zimmah. Seseorang itu tidak boleh dijustifikasi atas pelaku lain. Boleh jadi, jurnalis perempuan yang kafir itu tidak bersetuju dengan peperangan yang ditaja oleh Amerika.



Cinta Intelektual, cinta al’ilm.



Perempuan kafir bercermin mata yang menjadi jurnalis itu juga mengalami cinta, cinta intelektual. Saat Islam dimomokkan dengan terrorisma, jurnalis perempuan itu tidak mengiyakan sahaja. Apabila aqal telah diberi, dengan aqal juga harus mencari. Apabila Islam dilabelkan mundur dan jauh dari peradaban, atas nama cinta intelektual dan sikap ingin tahu, jurnalis perempuan ini mencari.



Fahri yang juga mencintai intelektual atau dalam bahasa Melayunya disebut al-‘Ilm, telah mendatangi Al-Azhar Mesir yang terletak lebih beribu-ribu kilometer dari tanah tumpah darahnya, Indonesia.




Ada suatu diskusi intelektual yang berada di dalam ayat-ayat Cinta yang jarang diketengahkan, iaitu Islam mencintai perempuan. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Bahkan, Islam mengatakan keredoan ibu itu satu perkara yang penting sekali. Jurnalis perempuan kafir itu pun tertegun dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Sebenarnya, Islam tidak menyakiti perempuan.


Cinta Rumi dan Juli?



Cinta tidak semestinya bertepuk kedua belah tangan. Ada juga orang yang tidak mempunyai dua tangan. Bagaimana mahu bertepuk kedua belah tangan jika satu tangan lagi kudung atau dipotong? Cinta si Nurul kepada Fahri sebagai contoh. Nurul mencintai si Fahri, namun si Fahri tidak mencintai Nurul. Walaubagaimanapun, berpegang dengan konsep ukhuwah Islamiyah, kasih sayang persaudaraan dalam silaturrahim sesama saudara seaqidah tidak pernah putus, seperti kata pepatah Melayu, air dicencang tidak putus.



Cinta Berbeza Ugama.



Antara Maria dan Fahri, berlaku cinta berbeza ugama. Maka adakah tali ugama harus dilepaskan kerana mahu bercinta? Tidak. Jika tali ugama diputuskan semata-mata kerana kalimah cinta, sebenarnya itu bukanlah cinta. Itu adalah hawa nafsu yang membelakangi Tuhan yang membekalkan cinta.



Cinta Hawa Nafsu VS Cinta Ibu Ayah.



Samalah juga dengan mengabaikan ibu bapa atas nama cinta. Kerana cinta, sanggup menderhakai ibu bapa. Itu adalah hawa nafsu. Sebenarnya ibu bapalah yang mengajarkan kepada kita erti cinta secara tidak langsung. Saat ibu mengandungkan kita, ibu mengandungkan kita di dalam perutnya selama sembilan bulan dengan perasaan cinta dan mawaddah. Sementara bapa pula dengan perasaan sayang dan cinta kepada anaknya telah memerah tulang empat keratnya untuk mencari rezeki, untuk membesarkan anaknya apabila anaknya dilahirkan kelak. Fahri, atas nama cinta kepada ibu bapa telah melanjutkan pelajarannya di bumi Kinanah, Mesir iaitu di Universiti Al-Azhar. Amanat ibu bapanya telah diusung dengan baik atas nama cinta.



Kasih cinta ibu bapa tidak pernah surut dalam lautan kasih sayang. Meskipun lebih bertahun lamanya tidak bersua dengan anak kandung mereka, ibu bapa Noura tetap menerima Noura apabila Noura ditemukan semula oleh projek jejak kasih yang diupayakan oleh Fahri dan rakan-rakan dengan izin Allah. Ibu bapa Noura juga tetap mencintai anak perempuan yang bukan anak mereka.



Benci Cinta?



Penolakan terhadap cinta telah melahirkan natijah yang buruk. Bahadur sebagai contoh, telah merompak seorang bayi kecil perempuan atas penolakannya terhadap cinta. Seterusnya, dengan lebih keji lagi, Bahadur telah memperkosa bayi kecil yang telah membesar menjadi rupawan itu. Dengan lebih kejam lagi, Bahadur begitu bersemangat menuduh Fahri yang memperkosa.



Kejinya Bahadur akibat menolak cinta bukan terhenti sekadar itu. Bahadur juga mahu menjual Noura. Jika Bahadur mencintai anak perempuan yang dicurinya dahulu, tergamakkah Bahadur sebagai bapa, menjual anaknya?



Cinta juga ada menghadapi saat-saat pengkhianatan. Selalunya, apabila cinta dikhianati, maka pedihlah jiwa yang dikhianati. Noura telah mengkhianati cintanya terhadap Fahri apabila bersama-sama dalam komplot menuduh Fahri sebagai pemerkosanya. Walhal Fahri adalah penyelamatnya. Seharusnya, cinta itu tidak dikhianati meskipun insan yang dicintai memilih orang lain.



Atas nama cinta yan diajarkan Islam, Fahri, Nurul, seorang ustaz, berpadu tenaga mencari keluarga asal Noura. Menyelamatkan hidup mati Noura dari binatang buas bernama Bahadur, bukankah ia atas nama cinta yang diajarkan Islam?



Sesungguhnya, apabla ditinjau-tinjau semula dengan semangat iman, ilmu, dan keadilan, kita akan dapati sebenarnya Islamlah yang terlebih dahulu mengajar tentang cinta dan maksud cinta yang sebenar. Cinta yang diajarkan Islam langsung tidak mengenal hawa nafsu, sebaliknya menekankan konsep tanggungjawab, belas kasihan antara lelaki dan perempuan, kasih saying antara ibu bapa dan anak, dan yang paling penting sekali, Islam memberitahu, atas nama cinta, Tuhanlah yang paling utama untuk dicintai.



Friday, June 5, 2009

PROGRAM PENGURUSAN JENAZAH & TEKNIK DAN ETIKA PENYEMBELIHAN MENGIKUT SYARAK

Hayatilah perbualan dua sahabat ahli PEPIAS ini...:

Fandey : Assalamualaikum

Afiq : W'slm. Dari mana? Eh ni nak bagi tau tentang program PEPIAS. Takut tak sempat bagi
tau kat rumah.

Fandey : Dari meeting KAC. Program apa pulak? Dah lama aku tidak pergi program
PEPIAS ni. Rindu plak rasa nya ngn keluarga PEPIAS ni.

Afiq : Ni cek nak habaq mai la ni. Kite nak wat Program Pengurusan Jenazah dan
Teknik & Etika Penyembelihan.

Fandey : Menarik program tu. Bila nye program tu? Program lain dari lain ni. harap-harap tidak
ade halangan untuk aku sertainya sekali.

Afiq : Oh tarikhnya bersesuaian la. 10 hingga 12 Julai. Waktu tu cuti semester la.

Fandey : Alhamdulillah. Eh tapi dimana tempatnye erk? Dan macam mana pengakutannya?
Naik komuter ke?

Afiq : Oooo tempatnya di Kem Bina At-Taqwa, Bukit Changgang, Banting. Tempat tu
sungguh menarik dan sesuai sekali untuk kita semua. Kita akan sediakan dua
buah bas. Pergerakannya nanti akan dimaklumkan kemudian

Fandey : Oh begitu ke..Harap2 Allah permudahkan urusan kita. Tapi kan program ni
kene bayar ke? Kalau kene, maknanya aku kene kumpul duit dari sekarang la.

Afiq : Kene la bayar sket. Ala dalam RM30. Murah je kan. Ilmu yang kita nak
perolehi ni lagi bernilai. Bukan senang nak dapat kat mane-mane. Hah lupa
nak bagitau, perasmi penutup nanti YB Dato' Dr Hassan Bin Ali, Exco
Kerajaan Selangor.

Fandey : Pasal bayaran aku tidak kisah la. Kita kene ikhlas kn. Hehe. Wah gempak dan
hebat erk porgram ni. Aku mesti sertainya. Boleh tak aku ajak kawan-kawan
dan adik-adik aku?

Afiq : Boleh tapi cepat sket kerana tempat terhad la. Hanya untuk 80 orang. Kamu
leh daftarkan nama pada Muzakkir ( 017 5086339/ 013 2005672 ). Hubungi dia
segera untuk pendaftran. Program ini terbuka untuk remaja berumur 15 tahun
ke atas tau.

Fandey : Baiklah. tidak sabar rasanya nak belajar macam mane nak menguruskan jenazah. Yela
mane tau satu hari nanti, aku terpaksa uruskan jenazah keluarga aku sendiri. So aku
sudah ade sedikit asasnya. Sudah lama juga aku nak tau dan beljar tentang sembelihan
ni. Yela nanti leh la aku sembelih sendiri. Haha.

Afiq : Betul tu fandey. Wah bukan main lagi kau sekarang. Yela ni mesti hasil pergi ke
program-program anjuran PEPIAS. Huhu. Betul cakap kamu tadi. Sekarang ni ramai
remaja tidak tahu melakukan dan menguruskan jenazah dan bab penyembelihan ni.
Jadi PEPIAS ambil inesetif dengan menganjurkan program ni agar tidak memberi
kesan yang besar pada masa akan datang.

Fandey : Baiklah. terima kasih. Aku kene pulang ni. Kamu tak nak balik sekali ke?
Kita kan satu rumah. Malam ni kan ada usrah PEPIAS Cawangan Bangi. Apa kata
kamu promote pula kat usrah malam ni. Mesti ramai lagi nak ikut. Lagi ramai lagi
meriah.

Afiq : Ok. Jom kita pulang sama-sama. Cepat sket. Nanti nak bersiap tuk malam ni. Aku nak
jadi orang istiqamah dalam usrah ni.

Begitulah kisah dua sahabat PEPIAS yang menceritakan tentang PROGRAM PENGURUSAN JENAZAH & TEKNIK DAN ETIKA PENYEMBELIHAN MENGIKUT SYARAK anjuran PEPIAS. Jadi bagi sahabat-sahabt semua yang berminat dengan program ini, boleh lah daftar kepada nama yang disebut dalam dialog diatas. Siapa cepat dia dapat. Semoga tidak lepas peluang yang berharga ini.

Saturday, May 30, 2009

Usmaniyah: The Great Empire



Islam pernah menguasai dua pertiga dunia. Kerajaan-kerajaan yang menguasainya juga bersilih ganti seperti Umaiyah, Abbasiyah, Usmaniyah. Malangnya yang paling kedengaran di telinga kita hanyalah beberapa kerat sahaja.



Buku ini menceritakan beberapa kerajaan besar yang sering ditinggalkan kita apabila kita bercakap tentang kerajaan-kerajaan Islam: Kerajaan-kerajaan besar yang dimaksudkan adalah: Kerajaan Islam Mughal, Kerajaan Safavid, Kerajaan Islam Usmaniyah.



Sementara itu kerajaan-kerajaan kecil lain yang turut diceritakan di dalam buku ini adalah: Kerajaan Idrisi, Aghlabi, Tuluni, Ikhsidi, Hamdani, Tahiri, Saffari, Samani, Kerajaan Bani Buwaih dan Kerajaan Bani Seljuq.



Nampak tidak? Islam dan kekuasaan pemerintahan seakan-akan tidak dapat dipisahkan kerana hubungan yang begitu kuat sejak zaman berzaman. Maka amat malanglah bagi sesiapa yang mendakwa, tali kendali pemerintahan urusan dunia tiada ada kena mengena dengan ugama. Telah tersekularlah dia. Telah tertolaklah pandangan Ali Abdur Raziq yang mengarang sebuah karya bertajuk Al-Islam Wal Hukum. Karya Ali Abdur Raziq ini mengatakan Islam tidak ada kena mengena dengan sistem pemerintahan, sejarah menolak pandangan jahat Ali Abdur Raziq ini.



Setiap ubat ada tarikh luputnya. Sama juga dengan alam ini ada tarikh binasanya yang cuma diketahui Allah SWT. Begitu juga dengan kerajaan-kerajaan ini, telah lama tertulis di Luh Mahfuz akan bilakah tercabutnya satu demi satu kekuasaan pemerintahan yang diberikan kepada kerajaan-kerajaan ini,



Umaiyah jatuh, naik Abbasiyah. Bukanlah bermaksud Abbasiyah kerajaan haram tetapi ini membawa maksud kerajaan Umaiyah telah gagal untuk berfungsi menternak rakyat dan berperilaku adil (Wa la yanalu ‘ahduz Zolimin.) maka telah dipergantikan Umaiyah dengan Abbasiyah.



Menurut Malik Bennabi, seorang pemikir Muslim Algeria yang tersohor dan juga Ibn Khaldun seorang sosiologis Islam, ada tiga tahapan sesuatu kerajaan itu iaitu, umur muda, pertengahan dan tua, (Nyanyuk.) di saat nyanyuk itulah muncul pihak-pihak yang melancarkan serangan membebaskan negeri



Abbasiyah di Baghdad akhirnya jatuh di kaki Monggol.



Buku ini menyorot secara baik dan jujur punca-punca kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam yang lepas. Hanya Kerajaan Baginda Muhammad S.A.W sahaja yang stabil dan tidak ternoda.




Antara sebab-sebab utama jatuhnya sesebuah kerajaan adalah kerajaan itu terlampau korup dan tidak mampu mengawal penentang-penentangnya. Ini seharusnya menjadi ibrah kepada orang-orang yang masih hidup dan berjalan di atas muka bumi yang memikirkan untuk menubuhkan kerajaan-kerajaan hari esok supaya memikirkan cara agar tidak berulangnya episod-episod malang yang serupa ataupun sekurang-kurangnya episod-episod malang yang menimpa adalah sedikit.



Usmaniyah Yang Dilupakan.



Buku-buku sejarah yang dimesin dan disiapkan untuk pelajar-pelajar sekolah menengah di negeri kita amat jarang sekali mengetengahkan tentang ketokohan Sultan Murad, ayahanda kepada Sultan Muhammad Al-Fateh, penakluk Konstantinopel yang unggul itu. Bahkan silibus-silibus sejarah yang diedarkan melalui skim pinjaman buku teks juga gagal menceritakan betapa gagah dan perwiranya tentera-tentera tanpa nama yang membelah air di waktu malam membuka pintu kota Konstantinopel. Silibus-silibus sejarah yang diedarkan melalui skim pinjaman buku teks melalui Menteri Pendidikan Malaysia juga kelihatan tertakut-tekut menceritakan kehebatan Sulayman The Magnificent, Sultan Abdul Hamid yang begitu tegas dalam melawan Herzl si yahudi.



Lebih seratus tahun yang lepas, setelah jatuhnya Kota Baghdad di kaki monggol dan Tartar, Islam telah kembali menunjukkan kegagahan dan keperwiraannya di bawah bendera Khilafah Usmaniyah. Lebih seratus tahun yang lampau, negeri-negeri Eropah Timur (Balkan) adalah kerajaan-kerajaan yang bernaung di bawah Kerajaan Islam Usmaniyah. Kekuasaan Kerajaan Islam Usmaniyah ini meluas ke menara-menara menjulang langit di bekas kekuasaan Kerajaan Byzantium (Constantinopel.) Bagaimana? Bukankah kita lebih cemerlang, gemilang dan terbilang lama dahulu?




"antara pengalaman dan musyawarah..yang mana penting dalam melunaskan tanggungjawab"

Salam ukhwah pada pengunjung yang sudi singgah ke laman saya ini.

Kali ini saya rasa ingin menyentuh sedikit berkaitan "attitude" atau sikap.

"antara pengalaman dan musyawarah..yang mana penting dalam melunaskan tanggungjawab"

Sebenarnya saya terdetik untuk mengutarakan isu ini berdasarkan kepada pengalaman sendiri dan juga pemerhatian saya pada segelintir individu yang saya kenal. Juga lebih kepada luahan rasa hati. Bukan kerana merasakan diri ini hebat tetapi sekadar berkongsi dengan pengunjung sekalian untuk ditimbangkan sejauh mana kebenarannya.

"Adakah cukup dengan pengalaman menjadi tiket untuk mendabik dada mengatakan diri sudah cukup hebat untuk mengendalikan satu2 perkara tanpa perlu bermusyawarah".

Apakah yang anda rasa? Bukankah jika ada pandangan dan suara ramai, suatu perkara atau satu2 keputusan itu akan menjadi lebih mudah dan sekaligus mengelakkan ketidakpuasan hati mana2 pihak.

Saya berikan satu contoh....
Hanya kerana individu ini lebih berpengalaman dan boleh dikatakan berkedudukan, mereka menidakkan pandangan ramai dalam satu program untuk organisasi. Keputusan yang dicapai hanya dari pihak yang sekutu sahaja. Penyudah keadaan jadi tidak teratur dan kelam kabut. Apakah pandangan hadirin yang datang? Dimanakah hendak diletakkan kredibiliti organisasi dan keyakinan hadirin pada organisasi itu?

Sepatutnya individu ini memikirkan "first impression" hadirin dan ahli yang datang. pada saya dalam satu2 organisasi first impression dari ahli atau hadirin adalah penentu kepada kelancaran perjalanan satu2 organisasi itu. Andai ahli sudah hilang keyakinan pada organisasi maka apalah yang ada pada organisasi itu. Aktiviti yang dijalankan tidak mendapat sambutan. Arahan tidak dipatuhi. Natijahnya organisasi menjadi suram. Oleh itu, bak kata pepatah "hidup segan, mati tak mahu".

Pada saya, untuk menjamin kelangsungan perjalanan samada pada organisasi mahupun satu2 program, individu2 yang terlibat perlulah duduk semeja dan sama2 berbincang. Dapatkan satu kata putus yang mantap agar apa2 yang dirancang akan berjalan dengan lancar. Tidak dinafikan pengalaman adalah penting namun pada saya tiap orang punya pengalaman dan pendapat tersendiri. Tidak semua pengalaman dan pandangan itu boleh digunakan untuk selesaikan semua masalah dan semua perkara.

Alangkah molek sekiranya semua pengalaman dan pendapat ini dapat di gabung, ditambah dengan rencah yang baru dan diadun menjadi satu solusi yang mana dapat menyelesaikan serta melancarkan sesuatu perkara, masalah mahupun menjalankan satu2 program dan organisasi.

Pada mana-mana pihak yang merasakan diri terlibat atau pun terpalit sedikit dengan isu ini, fikir-fikirkan dan renung-renungkan lah.

"suara yang ramai adalah lebih baik dari suara yang satu".

~diri yang naif dan dhaif~