Makluman

Sesiapa yang berminat untuk menjadi sebahagian dari penymbang artikel KBloG, mudah sahaja cume ikut arahan ini

1. Hantarkan alamat emel anda ke bloggerkuis@gmail.com

2. Selepas 7 hari sila periksa emel anda

3. Jida ada maklumbalas dari kami, tekan pada mail kami dan ikut arahan yang diberi.

4. Setelah anda mengisi emel dan pasword blog anda dalam mail kami, sila periksa blog anda dan pasti kan ada ruangan KBloG pada "Dashboard anda"

Jika ada sebarang masalah sila emelkan pertanyaan kepada kami : bloggerkuis@gmail.com

Selamat mencuba :)

Mahasiswa Islam, Mahasiswa Yang Berpengetahuan dan Celik Pada isu2 Semasa


Klik Sini

Adakah Kita Begini?

Thursday, June 11, 2009

My Jawi Games bukti keseriusan KUIS martabatkan tulisan Jawi

Posted on 11:35 PM by Admin KBloG

MENGIKUT catatan sejarah, tulisan Jawi wujud di Nusantara sejak abad ke-14. Pembangunannya dikaitkan dengan penyebaran Islam dari tanah Arab. Di Tanah Melayu, dan kemudiannya Malaysia, apabila tulisan Jawi sedikit demi sedikit kehilangan pengaruh berikutan perkembangan tulisan Rumi, isu memartabatkan tulisan Jawi mula diperkata.

Bagi masyarakat Islam, kepentingan tulisan Jawi dilatari kewajipan mempelajari ilmu agama, yang dituntut ke atas setiap penganutnya. Namun begitu, keistimewaan tulisan Jawi membuatkan ia mampu menarik pengikut dan penggemar dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Justeru, sebarang usaha dalam mengetengahkan penggunaan tulisan Jawi tentunya berbaloi.

Barubaru ini Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) melakar kejayaan dengan penghasilan permainan komputer berasaskan tulisan Jawi yang dinamakan 'My Jawi Games'.

Dicipta oleh pensyarah di Fakulti Teknologi dan Sains Informasi KUIS, Noor Azli Mohamed Masrop, 37, permainan ini boleh dikategorikan sebagai satu aplikasi 'mobile learning' atau kaedah pembelajaran cara mudah alih.

Pada Pameran Penciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa Ke-20 (20th International Invention , Innovation and Technology Exhibition ITEX 2009) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 15 hingga 17 Mei lepas, My Jawi Games memenangi Anugerah Pingat Emas.

Pameran itu melibatkan penyertaan institusi pengajian tinggi, pertubuhan, syarikat dan individu dari dalam dan luar negara.

Cerita rakyat

My Jawi Games direkabentuk berasaskan cerita rakyat Pahang iaitu 'Azimat Awang Miskin' dengan menggunakan platform animasi multimedia Adobe Flash sepenuhnya.

Cerita Azimat Awang Miskin mengisahkan seorang anak yatim piatu, Awang, yang merantau untuk menuntut ilmu. Dalam pengembaraannya, Awang perlu menghadapi pelbagai cabaran.

Melalui tujuh modul, pengguna dicabar dengan pelbagai aktiviti seperti mengutip dan mengira buah-buahan, mendaki bukit, menyeberang sungai yang penuh buaya, memasak dan menangkap ikan.

"Alhamdulillah, permainan ini dapat disiapkan dalam lebih kurang setahun," kata Noor Azli, yang telah berkhidmat di KUIS selama 13 tahun.

"Saya amat berterima kasih kepada KUIS kerana memberikan kerjasama dan bantuan, termasuk cuti bergaji penuh," tambahnya.

Projek ini juga mendapat sokongan daripada pelajar serta guru sekolah, yang memberikan maklum balas dan nasihat berkenaan pendekatan pembelajaran di sekolah.

Permainan ini telah diuji di beberapa buah sekolah di sekitar Bangi dan mendapat sambutan yang amat baik. Hasilnya, ada murid sekolah terlibat yang sebelum ini tidak cekap membaca tulisan Jawi kini dapat membacanya dengan lancar.

Objektif dan sasaran

My Jawi Games dihasilkan bertujuan memperkasa dan memartabat tulisan Jawi bermula di peringkat kanak-kanak.

Dengan menggabungkan pembelajaran tulisan Jawi bersama cerita rakyat, penghasilan My Jawi Games dilihat sebagai menyahut saranan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang mahu menjadikan tulisan Jawi serta cerita rakyat sebagai warisan negara yang sentiasa diguna pakai dalam kehidupan seharian.

Pada masa yang sama, My Jawi Games memberi pendedahan kepada pengguna, iaitu kanak-kanak, kepada teknologi maklumat dan multimedia dengan cara yang menyeronokkan.

Idea untuk menghasilkan permainan ini bermula apabila bapa kepada lima anak ini sering mendengar kes pelajar ponteng sekolah dan mengunjungi pusat permainan video.

Bertolak dari rasa tanggungjawab yang menebal, Noor Azli berusaha mencari alternatif yang dapat membendung gejala tersebut.

"Lumrah kanak-kanak sukakan permainan yang menggembirakan, saya membina permainan Jawi yang sekali gus dapat memberi motivasi dan nilainilai murni kepada mereka," kata Noor Azli.

Menurut Noor Azli, projek ini dihasilkan bagi melengkapi sebahagian daripada kajian beliau di peringkat kedoktoran di Universiti Kebangsaan Malaysia yang dijangka selesai pada tahun hadapan.

Rancangan masa hadapan

Harapan Noor Azli, My Jawi Games dapat diterima ramai.

Anak kelahiran Selangor ini berkata, permainan ini belum dipatenkan lagi kerana masih dalam peringkat percubaan.

Beliau ingin terus menjalankan percubaan di mana-mana pusat pendidikan untuk memenuhi syarat permohonan paten bagi permainan ini.

Noor Azli, yang pernah mendapat tempat pertama dalam pertandingan mencipta logo pertandingan Kemahiran Asean, berhasrat menaik taraf dan mempelbagaikan lagi ciptaannya agar penggunaannya tidak terhad kepada peringkat awal pembelajaran (beginners) sahaja malah sesuai untuk semua peringkat umur.

Contohnya, pendekatan Jawi boleh digunakan dalam permainan komputer berunsur aksi lasak yang digemari oleh golongan remaja, katanya.

Melihat lebih jauh ke hadapan, Noor Azli juga mengimpikan untuk menerapkan penggunaan tulisan Jawi dalam pembelajaran matematik dan sains, sebagaimana ia boleh diajar dalam bahasa Inggeris pada masa ini.

Dalam semangat yang sama, jika tulisan Jawi dapat diangkat sebagai satu daripada komponen dalam mata pelajaran Pendidikan Islam yang dinilai dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), berkemungkinan murid akan lebih bersungguhsungguh untuk mempelajari Jawi, kata Noor Azli.

Menurutnya, pelbagai usaha penyelidikan melibatkan tulisan Jawi sememangnya telah dan sedang dijalankan di beberapa institusi pengajian tinggi; antaranya seperti penciptaan pemproses perkataan Jawi, penukar RumiJawi, pengimbas Jawi, penukar laman web Rumi ke Jawi dan perisian pembelajaran Jawi.

My Jawi Games pula sebagai permainan komputer diharap akan menjadi permulaan kepada satu lagi sumbangan ke arah memartabatkan tulisan Jawi.

Rektor KUIS Datuk Adanan Isman turut mengakui kepentingan usaha membangunkan permainan Jawi ini.

"My Jawi Games merupakan satu penemuan inovasi yang baik. Dahulu, kita mendapat sumber bacaan Jawi daripada kitab-kitab, surat khabar serta makalah-makalah, tetapi (kini bahan-bahan ini) kurang mendapat sambutan," katanya kepada Bernama.

"Penemuan teknologi yang sangat menarik ini diharapkan dapat memberi suntikan baru kepada pembangunan tulisan Jawi.

"Pihak KUIS amat mengalu-alukan usaha sebegini. Jika ada antara para pensyarah KUIS atau para pelajar yang ingin menghasilkan penemuan baru seperti ini, kami sedia memberi kerjasama dan bantuan kepada mereka," katanya. BERNAMA


http://mstar.com.my/

No Response to "My Jawi Games bukti keseriusan KUIS martabatkan tulisan Jawi"

Leave A Reply