Makluman
Adakah Kita Begini?
Sunday, June 14, 2009
Atas Nama Cinta: Catatan Emosi Yang Terluka
Atas Nama Cinta: Catatan Emosi Yang Terluka.
Suatu ketika dahulu, di Tanah Melayu, lebih tepat di Singapura, berlaku sebuah pancaroba terhadap Islam dan para penganutnya. Natrah, seorang perempuan Belanda telah menjadi polemik yang cukup dahsyat. Ledakan isu ini masih terasa hingga ke hari ini, saat ini.
Atas Nama Cinta, karya Isa Kamari penerima S.E.A Write Award 2006 kembali menggarap sebuah kisah epik sejarah yang telah lama dilupakan massa Malaysia dan Singapura. Atas Nama Cinta, novel sejarah, mencatitkan emosi yang masih terluka.
Sinopsis, seorang wanita bernama Adelaine telah meninggalkan anaknya kepada seorang wanita Muslim Melayu bernama Aminah. Adelaine, wanita Belanda itu meninggalkan anak perempuannya bernama Maria, kerana di zaman itu, kawasan Tjimahi Indonesia, dikacau Jepun.
Selepas Jepun pergi meninggalkan tanah yang telah dijajah, cerita cinta ini terus bergolak di Kemaman. Ayah dan ibu Maria yang sudah pulang ke Belanda, mahukan semula anaknya, Maria yang telah bertukar nama menjadi Nadra. Walaubagaimanapun, Aminah, si ibu angkat Maria lebih selesa memanggil Maria dengan nama Putih. Putih dan ibunya akhirnya terpergi ke Singapura yang ketika itu di bawah kuasa British akibat diperdaya seorang putih, Tuan Locke yang ada niat jahat.
Apabila terperginya Maria ke Singapura bersama-sama ibunya, bermulalah episod tragis satu demi satu. Saat mengetahui dirinya telah ditipu hidup-hidup oleh orang putih keparat di Kemaman, Aminah terpaksa pasrah dengan keadaan.
Muncul karekter yang berjiwa budiman seperti Majid, Mansoor serta ibunya Wok Adabi. Mereka memberi pertolongan seperti tempat tinggal serta sokongan moral kepada Aminah. Si Putih atau Nadra atau Maria ini akhirnya dinikahkan dengan Mansoor yang bekerja sebagai guru sebuah sekolah.
Selepas perkahwinan, Adelaine berangkat ke Singapura untuk merampas anaknya yang pernah diserahi kepada Aminah suatu ketika dahulu. Berlakulah seterusnya naik mahkamah dan turun mahkamah, yang pastinya, Adelaine telah banyak menipu untuk mendapatkan semula anaknya.
Akhirnya, setelah banyak berlaku usaha untuk memaksa mahkamah supaya berlaku tidak adil, Nadra akhirnya menjadi Maria Hertough semula di tangan Adelaine. Aminah meratap tidak sudah, Mansoor yang belum sempat menikmati malam pertama dengan isterinya yang sah agak kecewa.
Jadi, apa yang emosi terlukanya?
Kisah ini, diambil dari sebuah cerita benar. Sebuah cerita yang benar-benar berlaku pada suatu ketika dahulu. Kepedihan hati amat terasa jika kita menghabiskan pembacaan novel Atas Nama Cinta ini hingga ke sudah meskipun permulaan cerita ini agak hambar.
Benarlah, seorang sasterawan yang terulung itu adalah seorang yang melangkaui zaman. Hampir, cerita Lina Joy berputar-putar di isu yang agak sama, tetapi tidak serupa. Jika Nadra direbut secara paksa oleh keluarga Hertough, Lina Joy yang mencengangkan rakyat Malaysia pula mahukan simpulan ‘aqidah Islam terlerai dari dirinya. Kita perturunkan sedikit kata-kata semangat yang dikatakan Prof Dr. Nik Abdul Aziz (UKM): “Peristiwa tragis Nadra bagaikan mimpi seram yang boleh berulang jika pertembungan budaya dalam meraih kasih sayang seseorang insan ditentukan oleh kuasa pemerintah sahaja. Tambah-tambah lagi pemerintah yang tidak mahu memberi tempat kepada syariat Islam.”
Bukankah ia memang serupa? Bukan sekadar Lina Joy atau Azlina Jailani, bahkan sebelum itu juga kita mendengar kes Hartina Kamarudin, Aisyah Bukhari, dan lain-lain lagi kes yang hampir serupa. Melihatkan hal ini, Islam sama ada mahu atau tidak mahu tidak dapat ditegakkan melalui mahkamah.
Pergolakan antara sekularisma dan Islam bergolak di Mahkamah. Antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, siapa yang lebih berhak ke atas Nadra? Apabila sekularisma dinobatkan sebagai pemerintah utama, sekularisma mengatakan: Nadra adalah hak milik Belanda.
Kesepakatan antara syaitan dan ketidaksepakatan antara manusia.
Kuasa kolonial penjajah seperti Belanda, Inggeris, Portugis, Jepun memang diketahui ada hasrat peribadi. Ini jelas melalui slogan lama kebanyakan mereka tidak termasuk Jepun iaitu 3 G: Gold, Gospel and Glory. Walaubagaimanapun untuk kes-kes yang tententu, berdepan dengan bangsa yang dijajah, yang dianggap primitif, tidak bertamadun, makhluq asing, mereka akan bersepakat dengan erat seperti tali yang disimpul dengan ikatan yang amat-amat kuat.
Sebaliknya pula yang berlaku antara manusia-manusia. Manusia-manusia yang dijajah kebanyakannya tidak sedar yang mereka ini telah dijajah, sedang dijajah dan akan dijajah. Lihat halaman 242: Kemudian Tunku Abdul Rahman telah mencuba memujuknya tetapi Dato Onn pula bertanya mengapa Cik Aminah mahu mengambil anak orang Eropah sebagai anak angkat. “Perkara yang sebenar ialah pemerintah British telah memperkecilkan kita orang Melayu dan Islam. Mereka mengambil anak itu daripada Cik Aminah. Anak itu beragama Islam. Dia ditempatkan di sebuah biara, kemudian tersiar berita dia telah memeluk agama Kristian. Oleh kerana itu Dato’ mesti campur tangan,” jelas Tunku.
Dato’ Onn tetap dengan pendiriannya. Tunku menyambung lagi, “Pihak British telah bertindak ke atas masyarakat Islam dan seorang kanak-kanak Muslim…”
Intelektual Rausyan Fikir Itu Melakukan Kerja Para Nabi!
Muncul lelaki-lelaki yang pada hari ini telah ditenggelamkan teks sejarah. Karim Ghani, Dr.Burhanudin Helmi, Taha Kalu, Syed Ali Al-Attas dan lain-lain. Yang paling ditonjolkan di dalam cerita ini adalah Karim Ghani.
Sosok ini muncul di tengah-tengah umat ketandusan orang yang boleh bercakap dengan bahasa rakyat. Kadang-kadang sesetengah intelektual itu terlebih berlagak kerana ilmu mereka berada di puncak awan manakala ilmu umat cuma berada di atas tanah, manakan sama! Sebaliknya Karim Ghani mengumandangkan kesatuan umat di tengah kekecohan. Laung Karim Ghani: “Baiklah. Kita semua sudah sepakat dalam hal ini. Saya berucap dengan penuh rasa tanggungjawab tentang perkara ini. Jika saya yang memimpin, disiplin daripada kamu sekalian adalah penting dan mesti dipelihara. Kita sedang berhadapan dengan keadaan yang sangat rumit dan berbahaya…,”
Kesimpulan Atas Nama Cinta: Catatan Emosi Yang Terluka.
Nadra telah menjadi Maria bersama keluarga Hertough selepas pulang ke Belanda. Selang beberapa tahun kemudian Maria berkahwin. Maria kekal Kristian. Maria kemudian disisihkan ibunya atas alasan kemiskinan. Maria bernikah dengan Johan Geradus Wolkenfelt, seorang pegawai tentera berbangsa Belanda. Anak yang terlahir dari rahim Maria seramai tiga belas orang. Suatu ketika Maria mencuba membunuh Johan. Maria akhirnya tertanya-tanya: Kenapa aku diambil suatu ketika dahulu dari ibuku, jika sekarang aku disisihkan sedemikian teruk? Keluarga Hertough menyesali tindakan Maria. Anak-anak Maria menjauhkan diri daripada Maria, bukankah ia begitu melukakan?
Sementara di bumi Singapura, tempat Mansoor dan Nadra (Nama lain Maria) bercinta, telah ditimpa rusuhan, cinta hari-hari rusuhan. Anasir-anasir komunis menyelinap masuk, membaham orang-orang putih. Palang kayu, palang besi, botol, petrol digunakan sepenuhnya untuk menyimbah api kemarahan kepada kuasa kolonial. Singapura terbakar waktu itu, akibat pergelutan atas nama cinta. Atas Nama Cinta, sungguh banyak yang terluka.
No Response to "Atas Nama Cinta: Catatan Emosi Yang Terluka"
Leave A Reply