Makluman

Sesiapa yang berminat untuk menjadi sebahagian dari penymbang artikel KBloG, mudah sahaja cume ikut arahan ini

1. Hantarkan alamat emel anda ke bloggerkuis@gmail.com

2. Selepas 7 hari sila periksa emel anda

3. Jida ada maklumbalas dari kami, tekan pada mail kami dan ikut arahan yang diberi.

4. Setelah anda mengisi emel dan pasword blog anda dalam mail kami, sila periksa blog anda dan pasti kan ada ruangan KBloG pada "Dashboard anda"

Jika ada sebarang masalah sila emelkan pertanyaan kepada kami : bloggerkuis@gmail.com

Selamat mencuba :)

Mahasiswa Islam, Mahasiswa Yang Berpengetahuan dan Celik Pada isu2 Semasa


Klik Sini

Adakah Kita Begini?

Tuesday, February 22, 2011

Orang muda.

Your Blog : benzcinta-islam.blogspot.com

Beeb beeb!

Joseph mendongak. Telefon berbunyi. Selimut ditarik ke bawah. "Awal lagi ni?"
"Tak bangun lagikah?"
Mesej dari Ali Jinnah.
Mata dipaksa bugar. Tangan menaip ligat.
"Baru, Tuan Presiden. Kenapakah?"
"Jom jumpa."
"Di?"
"Tempat biasa. Nak?"
"OTW."
Motor menderam 15 minit kemudian. Bukan senang dilayan sebegini ramah oleh pemimpin-pemimpin FI. Nampaknya Ali Jinnah begitu menghargainya. Semua ni jasa Rauf yang mengenalkan antara dia dan Ali Jinnah tidak berapa lama dahulu.

Di kafe kampus tempat zaujah Ali Jinnah mengajar, Joseph tongkatkan Motojet RX1. Motor berkuasa super teknologi buatan tempatan itu diletak penuh cermat. Tak perlu dikunci secara manual. Secara automatik, kenderaan itu boleh mengunci dirinya sendiri kerana telah disetkan lebih awal oleh pemiliknya.

Ali Jinnah melambai. Tempat sama. Tempat lepak Ali Jinnah waktu muda.
"Amboi. Tunggu binikah?"
"Enta dengki. Orang suruh kahwin awal tak nak."
"So, apa cerita? Cecite, cecite....,"
"Motojet tu, kalau tak ada tongkat lagi catchy kan?" Ali Jinnah tunjuk pada Motojet. Di tasek, para pelawat mula mendayung sampan, flying fox, menyelam, berenang, memancing dan lain lagi. Semuanya maseh dilakukan secara klasik. Tanpa bantuan mesin dan kelebihan teknologi sangat,

"Idea enta bernas. Tuan Presiden tertarik dengan blueprint enta mengenai ni. Itu yang dia minta umumkan di TVFI tentang kahwin bajet tu. Semua ni jasa enta. Baik, hari ni enta makanlah banyak mana pun. Ana belanja."

"Ceh, enta ni kan pandai sahaja pilih time untuk belanja makan.... Siapalah yang makan banyak pagi-pagi begini?" Joseph mendirikan tangan memanggil pelayan.

"Bekerja dengan ana, mahu?" Tanya Ali Jinnah pasca pelayan menghantar pesan ke tukang masak.
Ketawa Joseph.
"Haha..," Ketawa Joseph maseh tak habis.
Ish ish, geleng Ali Jinnah.
"Eh, kerja sekarang susah nak dapat tau.... Jangan tolak mentah-mentah tawaran ana ni..," Ali Jinnah mengelap mulut. Tisu diletak kemudian. Joseph termangu sekejap.

"Menarik tawaran enta, Tuan Ali Jinnah. Bangga sangat dapat kerja dengan tuan."
"Kira jadi la ni?" Soal Ali Jinnah.
Joseph menggeleng.
"Ana tolak Tuan Ali Jinnah."
"Sebab?" Ali Jinnah tanya penuh ramah.
"Lebih selesa begini."
"Freelancer begini?" Senyum Ali Jinnah.
"Ya." Senyum juga, Joseph.
"Baik. Kalau begitu minta enta carikan sekumpulan anak-anak muda yang kritis macam enta. Untuk tolong pasukan ana."
"Proses melobikah ini?"
"Muka ana ada jenis yang macam itukah?"
Pantas Joseph geleng. "No sir, as u wish sir!"

Ringkas Eagle Eye.

Your Blog : benzcinta-islam.blogspot.com


Eagle Eye, bercerita tentang komplot sistem. Tema yang agak sama dengan The Terminator tetapi bukan stereotaip klasik. Keganasan teknologi. Jikalau di dalam Terminator, sebuah robot ganas dan brutal dari masa depan diutuskan ke masa sekarang untuk menghapuskan John Connor supaya John Connor tidak datang untuk menyelamatkan bangsa manusia di masa mendatang. Suatu tentang Terminator ini mengingatkan tentang usaha-usaha yang dilaksanakan regim Abbasiah dalam menghapuskan bakal Mehdi Muntazar untuk tidak menjadiMehdi yang ditunggu-tunggu. Tidak tahulah pula jikalau James Cameron ada terbaca Nahjul Balaghah atau lain-lain kitab daripada ayatollah-ayatollah Syiah yang lain.

Walaupun begitu, filem Eagle Eye ini terlalu propaganda.... Lihat sahaja pada MQ-9 Reaper dan UCAV yang dipakai untuk memburu Jerry (Lakonan Shia.) dan Tom Morgan (Lakonan Billy Bob Thornton.) seorang FBI yang mahu meloloskan diri dari pengejaran. Ternyata, Hollywood adalah jentera propaganda militari yang cukup baik. Rasanya RTMkena belajar lebih dengan produk-produk kafir ini.

Shia Labeouf selalu sahaja berlakon tentang filem-filem propaganda seperti ini. Lihat semula saga filem Transformers yang berterus terang kepada setiap jelata dunia yang kepesatan dan kecanggihan teknologi perang Amerika sudah semakin ganas dan terlalu mencabar untuk dicabar balas. Sayyid Qutb, yang pemikirannya telah melangkaui zaman itu pun ada berkata bahawa kita tidak akan mampu sekurang-kurangnya buat masa ini untuk melawan mesin-mesin robot jentera-jentera perang dari Amerika atau negara-negara Eropah lain.

Teramat susah nak berjumpa dengan filem Hollywood yang sunyi dari propaganda. Semuanya ada. Suatu masa dahulu, VHS (Violence, horror & sex.) yang menjadi tema kejelikan bangsa bermaruah kita untuk menonton filem-filem hasilan bharat akan tetapi kini VHS yang sama itu jugalah modal besar Hollywood untuk mengembangkan apa sahaja yang mereka percaya.

Technophobia - dan Michelle Monaghan antara bunganya - Ketakutan terhadap teknologi.... Sebenarnya salah jika kita pun turut teracun dengan dogma-dogma mereka. Kata kementerian pertahanan yang turut berlakon dalam Eagle Eye, "Sometimes the very measures we put into place to safeguard our liberty become threats to liberty itself," Bukan. Yang salah bukannya teknologi itu. Sejarah, telah membuktikan yang teknologi itu cumalah satu alat. Yang merosakkan manusia adalah tangan-tangan manusia itu sendiri. Nuklear, di tangan
Iran menjadi kuasa penjanaan sumber tenaga. Akan tetapi di tangan daulah Amerika menjadi neraka untuk Nagasaki dan Hiroshima.

Filem ini, berkisar tentang kejahatan keganasan atau betapa kesyaitanan teknologi. Ada mata, yang sedang mengawasi. Helang, adalah simbol kepada negara polis koboi Amerika moden hari ini. Suatu masa dahulu, penulis agak ketakutan kerana memberikan banyak maklumat penting ke dunia netizen. Bimbang, kerana diceroboh masuk dan akan dipanah petir halilintar dari satelit agung kepunyaan agensi perisikan kerajaan atau daulah Amerika tadi.

Tetapi setelah bertahun-tahun, sebelum abad Facebook tercipta penulis merasa amat lenguh dan tidak larat untuk melayan ketakutan yang terlalu membebankan ini. Bayangkanlah penulis terpaksa mengubah-ubah password dan mempunyai banyak jenis alamat emel dan merancang untuk mengguna lagi berbelas-belas emel dan kata kunci yang pelik-pelik untuk mengelirukan pihak musuh yang mempunyai sistem yang canggih lagi efisyen. Maklum sahajalah ketika itu Amerika laknat tengah mendajal bumi Afghanistan sebelum berangkat ke Iraq untuk mengebom kepala Saddam yang keras kepala dan merompak royalti minyak bisa sahaja membikin panas setiap anak-anak muda Islam yang ranggi dan berkepala metal.

Enemy of the State - lakonanWill Smith agak menyamai filem ini meskipun aksi-aksi kekuatan teknologi di dalam filem lakonan Will Smith itu tidaklah seganas yang ditonjolkan dalam sci fi thriller Eagle Eye penuh berbahaya ini.

Bagi penulis, yang berdarah merah, berkulit sedikit putih dan bermata agak sepet seperti cina dan tidak pernah ke daulah Amerika, keterujaan penulis dengan material pop yang dipasungkan di dalam Eagle Eye ini amatlah bagus meski tidaklah sama persepsi penulis dengan komentar-komentar orang putih yang mengkritik dengan lancang sekali tentang filem blockbuster ini. Sekurang-kurangnya filem arahan D. J. Caruso ini tidak begitu klise dan antiklimaks sepertimana cereka-cereka rama-rama filem-filem dan drama-drama Melayu. Mungkin, inilah penyebabnya filem-filem Hollywood terus memukau dan menyihir segenap massa dari pelbagai lapisan dan masuk ke setiap lorong dan ceruk hasil kritik demi kritik yang merekonstruksikan semula filem-filem yang akan dibuat pada masa-masa seterusnya.

Meski filem ini dibantai dengan agak teruk oleh pengkritik-pengkritik separa masa dan amatur, tetapi filem ini tidaklah cakap sahaja lebih sepertimana sebuah karya agung Dr Rozmey dalam kebanyakan akhbar-akhbar rasmi kerajaan tentang 2 Alam yang akan meletupkan persada filem tempatan. Eagle Eye mengutip $29.1 million dolar (Bukan Rupiah atau Ringgit.) di 3,510 pawagam US dan Kanada, termasuk dalam rangking rekod pecah panggung! November 30, tahun 2008 kutipan satu dunia $173.2 million - $100.2 million di US dan Kanada baki $73 million lagi di lain-lain kawasan.

Sumber kacukan:-

http://www.rottentomatoes.com/m/eagle_eye/
http://en.wikipedia.org/wiki/Enemy_of_the_State_%28film%29
http://en.wikipedia.org/wiki/Eagle_Eye
http://sundaytimes.lk/081207/TV/sundaytvtimes_06.html

Wednesday, February 16, 2011

WARKAH : Mahasiswa, Iblis & ‘PemBENGONGan

WARKAH

(Siri 1 : Mahasiswa, Iblis & ‘PemBENGONGan’)



“aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di atas muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayat-Ku (yang menunjukkan kekuasaan-Ku); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.”
(Qs. Al-A’raf : 146)

SAUDARA-SAUDARI YANG BUDIMAN,
Ivan Illich dalam karyanya, “Deschooling Society”, dengan keras mengkritik institusi pendidikan yang telah hilang fungsi ‘mendidik’. Malah, fungsi ‘mendidik’ itu telah bertukar kepada ‘mengelirukan’. Menurut beliau:

“the pupil is thereby ‘schooled’ to confuse teaching with learning, great advancement with education, a diploma with competence, a fluency and the ability to say something new. His imagination is ‘schooled’ to accept service in place of value”


Kebobrokan (kerosakan) “bawah sedar” berlaku dalam sosio-intelek masyarakat kampus. Mahasiswa selaku ‘watak utama’ dalam perbenturan (clash) dengan puak yang menjadi ‘penguasa (authority) institusi pendidikan’; tetapi mereka (authority) mempunyai niat buruk yang dimanifestasikan melalui tindakan-tindakan mereka yang menindas mahasiswa demi mencapai cita-citadiablotis (ke-iblis-an) mereka. Golongan penguasa berjiwa haiwan ini akan kita kenali selepas ini sebagai al-Mustakbirun.

SAUDARA-SAUDARI; YANG MERUPAKAN WATAK UTAMA MAKALAH INI,
Tanpa sedar, pelajar atau mahasiswa, disogok dengan nilai-nilai ‘yang dianggap sah’ oleh golongan al-Mustakbirun (iaitu segelintir kelompok elit dalam masyarakat yang menyombongkan diri). Mahasiswa menjadi kelompok yang ‘dilemahkan’ (al-Mustadh ‘afun); dibenam sisi kekuatannya dan sebaliknya, sisi kelemahannya dibangkitkan. Masyarakat mahasiswa yang kini seakan-akan“robotized and machinized society” sudah lama lupa dan lalai (al-ghaflah) akan tanggungjawabnya sebagai ‘kelompok intelektual berfungsi’ yang menjadi agen perubahan yang signifikan. Dalam kata lain, masyarakat mahasiswa hari ini sudah mula terkesan dengan program pembengongan sistematik oleh golongan al-Mustakbirun yang punya kepentingan diablotisnya. Maka, tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa golongan al-Mustakbirun ini sedang merancang suatu bentuk transformasi social-intelek ke atas golongan mahasiswa, menjadikan mereka (mahasiswa) golongan lalai dan membentuk mereka menjadi sebuah “masyarakat bengong”.

Secara psikologinya, ‘masyarakat bengong’ mengalami penyakit jiwa (korupsi psycho-spritual-intelektual) yang kronik. Penyakit jiwa ini menghalang mereka daripada menyaksikan hakikat kebenaran. Akal dan daya intelek mereka menjadi songsang menyebabkan mereka menilai ‘kebenaran sebagai kebatilan dan kebatilan sebagai kebenaran’. Perkara ini disentuh melalui analisa sufistik oleh Ibn Qayyim yang terakam dalam karyanya “al-Wabilu s-Sayyib mina l-kalimi t-Tayyib

“…kalau sekiranya hati berkarat, maka gambaran-gambaran maklumat yang terakam padanya tidak akan menepati realitinya yang sebenar, justeru, ia akan melihat kebatilan sebagai benar dan kebenaran sebagai kebatilan…. Maka, ia tidak lagi menerima kebenaran dan tidak mahu menafikan kebatilan. Ini merupakan sebesar-besar hukuman bagi hati (a’ zami ‘uqubat al-qalbi). Puncanya ialah kelalaian dan mengikut hawa nafsu, maka kedua-duanya memadamkan cahaya hati dan membutakan pandangannya…”

Allah Ta’ala berfirman,
“… dan janganlah kamu mematuhi orang yang lalai hatinya daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran…” (surah al-Kahfi : ayat 28)

Itulah antara ciri-ciri masyarakat yang telah dilemahkan. Cuba saudara-saudari buat penilaian ciri-ciri yang tersebut dengan masyarakat mahasiswa hari ini. Saudara-saudari nilaikannya sendiri.

SAUDARA-SAUDARI YANG PRIHATIN,
Beralih pula kepada kelompok elit lagi sombong yang lalai dan mengikut hawa nafsu ini; dikenali sebagai al-Mustakbirun. Mereka cuba menjadikanpendidikan sebagai suatu wahana keuntungan fizikal(education as a tool for physical beneficial) melalui institusi pendidikan. Proses‘komersialisasi’ yang beranak dari fahaman sesat kapitalisme ini sudah pasti merobah keseluruhan pandangan tentang makna, tujuan dan fungsi pendidikan. Pendidikan sebagai ‘sumber menjana kekayaan’ ini diakui oleh perspektif pendidikan Teori Konflik;

“Pendidikan dipersepsikan sebagai sebahagian super-struktur yang digunakan oleh kaum kapitalis bagi tujuan-tujuan ekonomi. Persaingan dalam memperoleh kedudukan ekonomi menjadi punca konflik dalam masyarakat”

Jadi, menurut Teori Konflik, pendidikan adalah proses langsung re-produksi sistem yang sedia wujud dan yang paling utama, pendidikan membantu mengekalkan pengembangan sistem ekonomi kapitalis yang menindas.

Segalanya berkenaan ‘duit’ (everything is about money). Kaum Mustakbirun yang biadab ini sanggup mengorbankan segalanya termasuk Agama, Bangsa dan Tanah Air demi entiti yang namanya ‘duit’. Aspirasi dan cita-cita besar ummat yang berusaha membina semula Tamadun Khayra Ummah (ummat yang terbaik:/ Rujuk al-Quran surah ali-‘Imran; ayat 110) melaluipenubuhan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bertaraf antarabangsa yang Islamik habis punah dengan penguasaan manusia-manusia rakus berjiwa syaitan.

SAUDARA-SAUDARI YANG PERCAYA KEPADA KEBENARAN,
Apakah saudara-saudari selaku mahasiswa (yang merupakan watak utama dalam makalah ini) sanggup berdiam diri dan terus menjalani proses pembodohan dan pembengongan oleh Kaum Mustakbirun syaitan ini? IPT Islami yang sebenarnya ditubuhkan hasil perjuangan mahasiswa dan rakyat ini perlu dipertahankan! (rujuk sejarah perjuangan mahasiswa dalam menuntut penubuhan IPT Islami di Malaysia) Apakah saudara-saudari mahu melihat IPT hasil pengorbanan, suka-duka, titik peluh, dan air mata rakyat ini terus menderita kesakitan dan menjadi bebanan kepada Ummat Islam keseluruhannya? Apakah saudara-saudari mahu bersubahat dengan Para Syaitan Mustakbirun untuk meruntuhkan agama demi tujuan diablotis mereka?

Ah! Sudah! Kami tak rela dibodohkan! Kami tak rela dirobotkan! Kami tak mahu diperalatkan! Kami tak sanggup bersubahat! Kami cintakan keadilan! Kami cintakan KEBENARAN! Kami akan berjuang sehingga datang janji Allah. Kami akan sepenuh hati berusaha mengeluarkan manusia daripada dzulumat (kegelapan-kegelapan) kepada Nur (cahaya) dengan izin dan bantuan Ilahi.

Seorang tokoh intelektual Muslim, al-Marhum Prof. Ismail Faruqi pernah menyebut,
“The person with a role that is relevant to us here is the person with a cause. The person with a cause is a person who have vision (idealism)….”

Kami akan bertindak, berbekalkan idealisme mahasiswa yang sejati. Idealisme yang menyedari hakikat kewujudannya dan kewajipannya dalam menunaikan Hak Ta’ala dan hak selain-Nya, memperjuangkan kebenaran tanpa mengharap habuan material-duniawi : seperti pangkat & sanjungan, harta & kemewahan melainkan redha dan janji-janji-Nya. (berhati-hati; jangan terpedaya dengan seruan palsu yang ber-atas-nama-kan ‘mahasiswa’) Seruan penulis kepada saudara-saudari; fikir-fikirkan! Dan bertindak mengikut kemampuan masing-masing. Kerana semua orang punya potensi tersendiri dan penulis yakin dengan potensi manusia kerana ia salah satu anugerah Tuhan.

WalLahu Ta’ala A’lam

Tuesday, February 1, 2011

Rakyat vs Kerajaan; Fitrah...

Your Blog : penganalisis minda

Kekecohan di Mesir menjadi seribu satu pengajaran kepada semua penduduk dunia tidak kira apa jua label kita sama ada kita adalah pemimpin mahupun yang dipimpin. Rakyat Tunisia telah melakukan perubahan awal sebelum diikuti oleh rakyat Mesir, mereka hanya mahukan satu, iaitu menukar pimpinan yang memimpin kerajaan dan negara mereka.

Perkaara lumrah ini pasti terjadi di mana-mana sahaja bahkan sudah meneliti sejarah bahawa zaman dahulu kala lagi sudah menunjukkan pelbagai pemberontakkan dan cabaran secara 'letusan' rakyat hanya kerana tidak berpuas hati dengan pemimpin mereka.

Benar, mungkin pemberontakkan ini akan menyebabkan berlakunya kelumpuhan negara untuk jangka masa yang tertentu mengikut kepada keadaan. Namun kongkongan dan pemikiran pemimpin yang memandang rendah dengan kuasa rakyat hanya akan memakan diri mereka.

Semuanya satu, iaitu FITRAH.

Adalah menjadi satu fitrah kepada manusia untuk memberontak apabila fitrah mereka diganggu dan diuji dengan perkara-perkara yang tidak mengikut fitrah.

Pemimpin negara lain perlu cakna dengan fitrah rakyat ini, inilah fitrah yang terbesar yang dimiliki oleh rakyat dan perlu dijaga untuk menjaga keharmonian negara dalam konsep hidup bermasyarakat.

Apabila fitrah ini diganggu maka janganlah hairan jika ada sebarang tentangan daripada rakyat yang memiliki fitrah kemanusiaan.

Tidak ada pemberontakkan bukan beerti fitrah terjaga, Awas! cara rakyat berbeza, tetapi kuasa mereka ada, wujud dan kuat.

Di mesir sebagai contoh, keganasan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin boleh dianggap sebagai melanggar fitrah kemanusiaan, maka apabila Israel dijadikan rakan oleh Mubarak pastinya ia juga melanggar fitrah rakyat.

Penindasan, ketidakadilan terhadap rakyat, ini semua adalah perkara yang melanggar fitrah dan boleh menyebabkan kebangkitan suara rakyat untuk mengembalikan fitrah ke tempatnya.

Barangan keperluan seperti makanan, pakaian, petrol dan lain-lain lagi juga merupakan fitrah manusia, jika ini pun tergugat seperti kenaikan harga melampau dan kekurangan bahan, sudah tentu fitrah ini diganggu sekaligus menyebabkan karisma pemimpin tercabar dengan gangguan fitrah ini.

Apa yang dijaga bukan rakyat yang didahulukan, tetapi fitrah kemanusiaan menjadi keutamaan, peristiwa di Tunisia dan Mesir harus menjadi pengajaran terbesar kepada semua pemimpin-pemimpin di negara masing-masing untuk tidak memulakan gangguan terhadap fitrah kemanusiaan.

Tidak percaya dengan fitrah rakyat? cubalah ganggu untuk melihat siapa sebenarnya yang keramat...

Cukuplah sekadar itu, saya tidak mahu bercakap panjang lebar, nanti kena gam pula, apa-apa pun,

Menjaga fitrah itulah kunci utama kepimpinan.

WaAllahu a'alam...

_________________________


p/s: perkara larangan juga merupakan nafsu untuk diikuti oleh manusia...