Makluman

Sesiapa yang berminat untuk menjadi sebahagian dari penymbang artikel KBloG, mudah sahaja cume ikut arahan ini

1. Hantarkan alamat emel anda ke bloggerkuis@gmail.com

2. Selepas 7 hari sila periksa emel anda

3. Jida ada maklumbalas dari kami, tekan pada mail kami dan ikut arahan yang diberi.

4. Setelah anda mengisi emel dan pasword blog anda dalam mail kami, sila periksa blog anda dan pasti kan ada ruangan KBloG pada "Dashboard anda"

Jika ada sebarang masalah sila emelkan pertanyaan kepada kami : bloggerkuis@gmail.com

Selamat mencuba :)

Mahasiswa Islam, Mahasiswa Yang Berpengetahuan dan Celik Pada isu2 Semasa


Klik Sini

Adakah Kita Begini?

Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Monday, March 8, 2010

Gerakan Menentang Subari.


Your Blog :duniaunderground.wordpress.com


Ada sebuah negara yang terletak dalam wilayah kemajuan baru mendapat seorang pemerintah baru bernama Subari. Subari, seorang lelaki kampung yang pernah mengaji Feqah, Sirah Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Rububiyah di pondok-pondok telah dilantik sebagai ulil amri di negara itu. Negara itu, wajar merasa bertuah kerana berpemimpinkan Subari yang berwawasan melangit 2020. Malangnya tidak begitu. Beberapa purnama sebelum berlangsungnya bulan Haji yang juga bulan Korban, berlaku satu unjuk rasa tidak puas hati yang dilancarkan oleh ratusan anak muda dan anak mudi yang menggelar diri mereka sebagai Gerakan Menentang Subari. Kata seorang pemimpin anak muda-anak mudi itu, yang tidak mahu didedahkan namanya kerana dibimbangi mengaibkan, "ini demokrasi apa? Benua Eropah (Sambil menunjuk ke arah barat daya) telah lama buat aksi sebegini. Kita bila lagi? Pemimpin yang bernama Subari hanya mendiamkan diri apabila diasak para pemberita kontemporari. "Dia diam, mestilah dia salah." Kata seorang lagi pemimpin sayap kiri pertubuhan ridak rasmi itu.


Subari, hanya diam melengung tak sudah.


"Sebaik-baik pemimpin ialah mereka yang mencintai kamu dan kamu mencintai mereka, juga mereka sentiasa mendoakan kamu dan kamu sentiasa mendoakan mereka. Sedangkan seburuk-seburuk pemimpin ialah mereka yang membenci kamu dan kamu pula membenci mereka, juga mereka yang melaknat kamu dan kamu melaknati mereka (Diriwayatkan Muslim dalam bab al-Imamah yang diriwayatkan dari Auf B. Malik)


Aku ni, pemimpin yang tak baik atau, mereka ini yang tak cukup cerdik?

Thursday, December 17, 2009

Bah!

Your Blog :http://pencinta-Islam.blogspot.com

Riuh rendah suara manusia-manusia di pusat penempatan mangsa-mangsa banjir memang menyakitkan telinga bagi sesiapa yang punyai migrain, begitu Azizah bersuara kepada Azizi, si sukarelawan yang amat ringan tulang walau baru hari pertama jejakkan kaki ke pusat penempatan ini.

Azizi, tersenyum sahaja mendengarkan kata Azizah si mangsa banjir yang ringan mulut dengannya, tidak dengan sukarelawan-sukarelawan yang lain. Azizi baru sahaja selesai mengangkat kotak warna koko yang berisi puluhan botol air mineral. Mengesat peluh di dahi. Azizi terasa letih benar. Azizi, belum lagi benar-benar berehat sejak sampai di sini pukul 3.00 pagi tadi.

Azizah, terus mengomel menyalahkan pihak berwajib yang lambat sekali dalam menghulurkan tangan meringankan beban. Azizi, keluh berat. Ditambah banyak lagi kerja yang perlu dilakukan, Azizah pula sentiasa mengekorinya. Asyik bercakap sahaja perempuan ini, kata hati Azizi.

Banjir besar itu kini melanda Darul Aman, negeri di utara tanah air. Sebelumnya, telah berlaku beberapa siri banjir besar yang meragut puluhan ribu nyawa. Pantai Timur sudah, Pantai Barat sudah. Dan negeri di selatan juga telah mengalaminya. Bah, besar di semua penjuru tanah air kian surut melainkan di utara. Azizi, mengelamun seorang. Azizi pasti semuanya berlaku atas kehendak Allah. Namun, tentunya tangan-tangan gatal manusia tidak boleh tidak dipersalahkan.

Surah Ar-Rum ayat 41 mafhumnya: Telah zahir kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”

Seorang berbadan besar, melambai. Melaung.

Azizi!

Sekalipun Azizi ialah presiden organisasi sukarelawan ini, dia berkeras juga mahu turun menyelamatkan mangsa-mangsa banjir walau dibantah dengan keras juga oleh majlis tertinggi organisasi sukarelawan, bimbang jika ada yang tidak elok menimpa pemimpin mereka.

" Ada orang panggillah, Azizi." Suara lembut di sisi menyapa.

Tersedar. "Kenapa?"

Azman yang berbadan besar, menghampiri.

"Hei, di sini kau ya, Cikgu Rusydi panggil. Ada operasi."

"Operasi?" Azizah dan Azizi sama-sama berkongsi tanda tanya.

................................

"Kumpulan-kumpulan kita di segenap ceruk pusat penempatan banjir di Darul Aman ada berita baik dan berita buruk." Serius sekali, Cikgu Rusydi beri taklimat.

"Berita baik dulu." Pinta seorang.

"Ramai mangsa sudah dipindahkan."

Sesekali bot penyelamat yang mereka naiki berlaga tunggul kayu. Dahan pokok sebetulnya.

"Lagi?"
"Berita buruk pula, ramai lagi orang yang enggan berpindah, bimbangkan keselamatan barang rumah mereka."

"Sekarang kita mahu ke mana?" Azizi membetulkan duduk. Mungkin tidak selesa.

"Saya agak 3 bot penyelamat kita mencukupi untuk memuatkan 11 orang lagi. Kita akan ke Kampung Jawi .. Kampung Ulu Jawi." Tegas Cikgu Rusydi yang bertindak sebagai ketua bagi operasi sukarela ini.

Bot penyelamat berwarna merah yang dinaiki Azizi menderu laju. Dan bot- bot di belakang menyusul.

.................................

Memang, kebanyakan orang yang mindanya tertanam pagi petang siang malam, duit, duit, duit, memang macam itu. Payah nak berpisah dari harta benda. Wajah-wajah mangsa-mangsa banjir ditenung Azizi satu persatu. Puas dipujuk Azizi. Dicelah juga oleh Cikgu Rusydi yang mengumpan material. Material dengan material, ah bila nak selesai.

"Pakcik, makcik ..betul tidak mahu turut serta kami, selamatkan diri?"
Pakcik yang berbaju hujan tidak mengendahkan. Cuma memerhati wajah Azizi sahaja.

"Anak pergilah dulu. Banjir ini tak lama. Hujan pun sudah lama berhenti, esok lusa keadaan ini kembali macam biasalah ..” Makcik itu bersuara.

Awan yang tadinya mendung, kian bertambah mendung. Bagai tersinggung dengan kata- kata makcik itu. Kelopak matahari, langsung tak nampak. Cuma cahaya, masih ada.
"Begitu penting sekali, harta benda itu?"

Satu soalan bodoh, sengaja ditanyakan Azizi.

"Ya, begitu penting!" Pakcik bermisai tebal itu, bersuara. Marah agaknya.
Kedengaran, nada dering polifonik. Telefon bimbit Cikgu Rusydi, yang membingit.

"Hei, kawan- kawan lain telefon beritahu, mereka sudah selesaikan operasi mereka. Kita bila lagi? Hari pun sudah gelap ni."

Azizi. berfikir ligat. Nak guna cara kekerasan? Pengsankan mereka, mungkin?

Ada, titik lembut basah menimpa ubun. Azizi, mendongak. Awan mula menangis melihat kelakuan makhluk yang materialis.

"OK! Kami terpaksa pergi dulu pakcik, makcik! Jagalah, harta benda itu meski harta benda itu tak mampu pun nak jaga pakcik makcik." Tegang sekali nada dan urat yang kelihatan di leher Azizi.

Suami isteri itu, berpandangan sesama sendiri. Mendongak ke langit. Mencari matahari. Akhirnya pandangan berpatah balik kepada Azizi.

"Hidupkan bot segera!" Azizi, melantangkan suara. Mengumpan sebenarnya.

Pakcik itu. masih teragak-agak. Di pipi si isteri, kelihatan lelehan air mata. Keluar juga air dari hidung.

Si isteri, memeluk erat belakang suaminya. Habis basah, baju suaminya.

"Tunggu!" Pekik si pakcik itu.

Azizi dan krew penyelamat buat tak endah. Bot sudah hendak meninggalkan rumah mangsa.

"Tunggu dahulu!" Laung, mereka berdua. Suami isteri sama-sama menjerit.

Bot, sudah bergerak pergi.

Agak lama kemudian, bot berpusing kembali.

"Hey, kami nak pergi ni! Tolonglah!"

Bot mula, mampir mencecah bumbung rumah.

Azizi, tersenyum.

Operasi, berjaya.

..............................

Sudah, tiga hari Azizi berkampung bersama- sama rakan sukarelawan di pusat penempatan mangsa-mangsa banjir. Banjir ini, amat dahsyat umpama filem Day After Tomorrow, banjir ini memang menakutkan. Banyak tempat sudah dibahamnya, antaranya Menara Tertinggi Negeri dan Candi Lembah Hijau. Buat masa ini, Sekolah Permatang Rambutan memang merupakan pusat penempatan yang strategik. Itu pun masih ada mangsa-mangsa yang tak bersyukur. Hendakkan penempatan yang selesalah, makanan yang enak-enaklah. Azizi, geleng kepala.

"Kedatangan, awak ke sini memang satu rahmat tahu!" Azizah datang membawa dua botol air mineral. Lembut sekali suaranya.

Apa-apalah, Azizah! Kata Azizi dalam hati. Sekalipun, gadis itu begitu ayu pada pandangan matanya, Azizi tidak peduli. Aku datang sini nak menyelamat, bukan nak mengurat, tegas Azizi dalam diri.

Azizah, terus menerus berbicara walau Azizi semacam nak terlelap.

"Hm, pihak berkuasa pun satu hal. Saya rasakan keadaan ini mungkin berlaku lagi kalau langkah-langkah berkesan tak diambil." Azizah, memberitahu pendapat.

"Apa maksud awak?" Azizi, acuh tak acuh bertanya.

Ada bunyi bising. Suara. kanak kanak menangis.

"Mengikut, apa yang saya baca dan berdasarkan pemerhatian saya, banjir di Darul Aman berkemungkinan besar berlaku kerana kelemahan infrastruktur saliran yang tidak mampu menampung hujan dalam kuantiti yang banyak.” Azizah, menerangkan.

Bersyarah pula dia, ketika-ketika ini. Geram Azizi, sambil menyembunyikan mimik muka kurang suka.

"Lagi, awak tahu, faktor- faktor lain yang menyebabkan banjir ialah kawasan takungan air seperti paya yang ditimbus untuk pembangunan, pembinaan jambatan terlalu kecil dan rendah sehingga menyebabkan sampah tersekat, air pasang yang menghalang banjir mengalir ke laut dan sungai yang terlalu cetek .. Eh. awak dengar tidak ni?" Azizah, sedikit kesal.

"Saya dengarlah, hm, itu kata awak dan mungkin betul, tapi saya yakin dan percaya ini adalah ujian dari Tuhan. Tuhan, sudah murka mungkin. Mungkin juga Tuhan nak uji mana hambaNya yang bertaqwa. Masa bala inilah baru kita nak ingat tuhan.Yang saya sedikit hairan, ada juga yang tak sedar-sedar. Teori sains, teori sains, salahkan pihak berkuasalah, kita sebagai orang Islam mesti sedar dan bermuhasabah. Sebelum saya datang ke sini, dengar cerita akan ada konsert dari artis seberang kan? Ainul, si gerudi dan Raja Rock kan? Apa betul?"

Azizah, angguk.

"Hei, mari ikut saya. Sebentar lagi kami nak buat aktiviti dengan adik-adik di sini. Marilah!" Pelawa Azizi, yang bingkas bangun dari duduk.

"Awak, ajak saya?" Azizah memandang retina Azizi.

Azizi tersenyum sambil mengangguk.
………….


Azizah, baru saja selesai sembahyang Asar secara berjemaah. Azizah belum lagi menanggalkan telekung yang dipakainya. Dia, begitu seronok sekali hari ini. “Walau awak nak jadi wartawan satu hari nanti, saya nampak awak memang berbakat besar untuk menjadi seorang guru.” Itu, kata Azizi yang masih terakam segar dalam kotak fikirannya.

“Awak tahu, saya rasa rugi benar bila tak dapat ke Darul Salam, semasa bala Tsunami tempohari. Senior-senior saya yang pergi, menceritakan banyak pihak yang mengambil kesempatan pada mangsa-mangsa banjir. Sebab itu, operasi kali ini saya tak lepaskan.” Sekali lagi kata-kata Azizi terngiang-ngiang di telinganya.

Azizah, senyum sendirian.

Telinga Azizah tertangkap bunyi bising, bunyi riuh. Dia menoleh ke belakang. Kelihatan, ramai orang sedang mengerumuni sesuatu.

“Kenapa pula mereka ini?” Azizah bertanya.
…………………………………

Azizi, gembira sekali seusai solat. Dia puas. Dapat pula dia selepas mengadakan beberapa aktiviti dengan kanak-kanak mangsa banjir, Azizi dan rakan-rakannya termasuk Azizah mengajarkan mereka cara untuk bersolat. Memang, puas.

Cikgu Rusydi dan Azman muncul. Masih lagi dengan berbaju Melayu.

“Kami, kena ke hospital.”

“Siapa sakit?” Tanya Azizi.

“Bukan kami, tapi mereka,” jari telunjuk Azman ditudingkan pada beberapa orang yang terbaring tak jauh dari tempat menunaikan solat.

“Uh, apa kenanya?” Azizi menyoal lagi.

“Entahlah, kami pun tak pasti. Tapi ada seorang perempuan kata .. alah perempuan yang selalu tolong kita tu, dia kata mereka dijangkiti ‘Leptospirosis’.” Jawab Azman.


“Leptospirosis”?

“Itu pun dia. Kau tanyalah sendiri dekat dia. Hei, kami nak pergi ni. Kami kena pergi cepat. Kamu, Ahmad dan Zaki jangan ke mana-mana tahu.” Azman dan Cikgu Rusydi memesan sebelum meminta diri untuk ke hospital.

Azizah, dekati.

“Seronok, mengajar tadi ya. Saya puas sangat!” Azizah begitu seronok.

“Yalah tu ..Hey, apa itu lestopsirosis hah?” Tanya Azizi.

“Leptospirosislah. Leptospirosis ini penyakit yang disebarkan melalui air kencing tikus. Antara, tanda terkena penyakit ini ialah demam panas. Hm, kalau kita luka atau cedera, patut segera mendapatkan suntikan antibioik ‘doxycycline’.” Azizah, jelaskan panjang lebar.

Kelihatan, dari luar jendela bot penyelamat baru saja bergerak.

“Wah, macam doktorlah!” Puji Azizi.

“Azizi, sebenarnya ada sesuatu yang saya nak beritahu awak.” Azizah bercakap perlahan semacam berbisik

Orang ramai sedang menyusun meja-meja tulis. Seolah-olah hendak dijadikan pentas.

“Apa?” Tanya Azizi.

“Mangsa-mangsa di sini, masih belum sedarkan diri. Konsert Ainul dan Raja tetap juga nak dijalankan. Para penyanyi itu akan didatangkan dengan helikopter.” Azizah, menjelaskan.

“Hah! Meja-meja itu?” Azizi separuh terbeliak.

“Ya, pentas untuk malam esok.” Kekerutan muka Azizah, menggambarkan kebimbangan.
…………………………
Kau makin disenangi sekarang, lebih senang dari kami. Kami akan ikut sahaja apa yang kau suruh. Begitu jaminan dari rakan-rakan sukarelawan yang lain saat Azizi meminta pertolongan. Ah, sudah. Malam ini juga aku akan bertindak. Uh, aku kena ubah sedikit pendekatan. Dulu aku terlalu keras, ramai yang menolak seruan aku, ramai yang lari. Kali ini, aku tak mahu berlembut langsung dengan acara yang nak dilangsungkan malam esok, tetapi aku akan berhikmah.

Dan, sebelum petang Asar itu melabuhkan tirai, Azizi terlena. Terlena di atas tikar mengkuang.
…………………………
“Insaflah kita wahai sekalian kaum muslimin.”

Azizi, yang duduk atas kerusi di pentas terus membacakan maksud surah al-A’raf, ayat 64: Mereka terus mendustakannya, Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersertanya di dalam bahtera, dan kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya daripada melihat kebenaran).

Seorang tua yang buta berjambang putih, tersedu-sedan mendengarkan butir-butir maksud dari surah al-A’raf.
“Sedarlah, kita tuan-tuan, puan-puan. Yang kita nak undang esok hari itu, adakah Allah redha atau murka? Maksud surah asy-Syuara ayat 120: Kemudian daripada itu, Kami tenggelamkan golongan kafir) yang tinggal (tidak turut bersama dalam bahtera.”

Makin, ramai yang menundukkan muka sambil beristighfar menyedari kesalahan mereka.

“Baik, saya cadangkan untuk malam esok atau baik kita mulakan segera malam ini juga, kita tukar agenda.” Azizi bersuara sambil berdiri.

“Kita, lakukan qiamullail.” Kata Azizi lagi.

Mata orang ramai yang basah dengan air mata mula berhenti. Dan Azizah yang turut sama bersimpuh dengan jemaah perempuan mula tertanya-tanya.

Apakah maksud bah yang ditanzilkan ini, sebenarnya?

Wednesday, December 16, 2009

Menanti, ketibaan mereka.

Your Blog :http://pencinta-Islam.blogspot.com

Kamu baru bangun dari tidur. Kamu sedari jam di dinding sudah tunjukkan jam pukul 5.15 pagi. Kamu tahu kamu tidur lewat malam tadi. Kamu sibuk sangat sebenarnya. Maklumlah kamu seorang bujang. Kamu mengeluh sebentar. Lampu kalimantang lupa kamu padamkan sewaktu kamu hendak tidur semalam. Kamu perasan akan sesuatu. Rak meja kamu bersepah dengan buku-buku berkenaan dengan ‘Messiah’. Uh, bilakah akan berakhir semua penderitaan umat manusia! Kamu menjerit.

Kamu mencapai tuala mandi di penyangkut. Kamu, gegas masuk ke dalam bilik air. Buff, buff, buff, air menjerit apabila ditumpahkan atas badan kamu. Kamu berasa segar. Kamu tak mahu lama di dalam bilik air. Kamu nak buat kerja lain. Ya, kerja yang orang jarang berfikir mengenainya. Kerja inilah yang menyebabkan kamu tak jadi berfikir mengenai perkahwinan. Ya, kamu lebih asyik dengan Armageddon, kamu lebih suka menggariskan sesuatu di atas Atlas. Menumpu kepada Asia Barat. Lebih terperinci kepada Al-Aqsa yang masih menjadi perebutan di tahun 200X. Tahun inilah.

Kamu selesai mandi. Burr, sejuknya. Kamu menggigil. Kamu memakai baju Melayu untuk sembahyang. Azan Subuh kemudian, memanggil kamu datang berjemaah di masjid sebelah rumah kamu. Kamu mencapai kopiah putih dan pergi ke masjid untuk menunaikan solat Fardhu Subuh.

Selesai solat, kamu bersapa dengan beberapa tetangga. Kamu sengaja singgah sebentar di kedai berhampiran. Niat kamu sebenarnya bukan nak menikmati kopi pun cuma untuk bertegur sapa namun kamu dipelawa juga untuk menyertai minum pagi oleh kawan-kawan kamu yang datang berkunjung ke kedai kopi. Kamu, yang begitu segan dengan orang pun terus menerima pelawaan itu.

“Al-Mahdi, Isa A.S , dan Dajjal. Uh.” Kamu mengeluh.
………………
Tentang Dajjal. Kamu tahu dan kamu tahu ramai orang yang tahu mengenainya. Begini, apa yang telah diberitahu mengenai Dajjal kepada kamu ialah Dajjal itu buta sebelah matanya. Ada kalimah kafir di dahinya. Membawa, kenikmatan di tangan kirinya. Membawa kesengsaraan di tangan kanannya.

Dari Nawwas bin Sam’an RA, ia berkata: Rasulullah SAW telah bersabda berkaitan sifat Dajjal: “Dia itu seorang pemuda, rambutnya pendek, matanya mengambang, seakan-akan aku menyerupakannya dengan Abdul ‘Izz bin Qathn”.

Hadis ini diriwayatkan Muslim. Seorang Ahli Hadis yang muktabar dalam dunia Islam. Maka jangan pertikailah kesahihan hadis ini. Dalam lafaz bahasa asalnya pun kamu sudah hafal.

Kamu sekarang, sudah sampai ke pejabat. Kerja kamu seperti biasa. Editor yang ‘syadid’. Bukan tiada sebab kamu berkelakuan begitu. Kamu berkelakuan begitu kerana hendak orang yang memiliki majalah kamu berasa tak rugi duit mereka. Tak sesal, duit mereka mengalir untuk membeli Majalah ‘A’.

“Hai.”

Seorang pekerja perempuan datang menyapa. Datang menyapa dengan lenggang yang menggoda.

Uh, perempuan zaman ni. Mengapa begini?

“Ya, ada apa yang saya boleh bantu?” Kamu bertanya.

“Ups, menganggu.” Pekerja perempuan itu sedari raut muka kamu mulai berubah. Pekerja perempuan itu pun mula beredar.

Perempuan sudah tidak tahu malu akhir zaman ini. Sebenarnya Nabi S.A.W sudah beritahu semua ini. Lama dulu Nabi S.A.W telah ceritakan alamat-alamatnya. Perempuan berpakaian tetapi bertelanjang. Tabarruj jahiliyyah mulai berdendang. Uh,mana silapnya? Adakah Islam ajaran pesimis? Hanya menunggu tanda-tanda tanpa berbuat apa-apa. Adakah Islam begitu? Suara skeptis mula bergaung. Kamu menjawab: Ah, skeptis yang jahil murakkab, berapa kali mahu aku beritahu pada kamu Islam itu indah cuma umatnya yang kadangkala bersikap dengan sikap yang tak sepatutnya ada pada seorang Muslim
……………………
Isa anak Maryam siapa pula? Soalan itu pernah ditanyakan oleh seorang yang mengaku berfikiran atheis padahal bukan reti pun mengungkapkan idea atheis. Suara skeptis cuba membangkitkan sesuatu pada kamu: Kau tentu seorang yang mampu mengungkapkan idea atheis kan ? Kamu menjerit: Ya! Idea atheis adalah idea yang menyangkal kewujudan Tuhan. Idea ni adalah idea seorang yang jahil dan aku bukan seorang yang jahil!

Isa anak Maryam adalah seorang lelaki yang lahir tanpa ayah. Baginda A.S boleh bercakap sewaktu bayi mempertahankan maruah ibunya yang ditohmah oleh kaumnya, Bani Israel yang celaka. Bani Israel yang merempat itu tak disangka-sangka berjaya merampas bumi Palestin.

Kamu sedang menikmati makanan tengah hari. Seorang pelayan datang menyapa. Sapaan berbalas.

“Boleh saya duduk sebentar?”

Ah, apa-apa sahajalah lelaki ni. Aku nak makanlah. Kamu marah-marah dalam hati.

“Ya. Duduklah.” Kamu memaniskan roman wajah dan mempersilakan.

“Saya tengok awak dari tadi. Asyik berkerut sahaja. Ada apa-apa masalah ke?” Pelayan itu bersuara.

Kamu mengeluh. Oh, dekat warung kecil begini pun ada kaunselor ke?
“Tak. Awak tengok saya macam ada masalah ke?” Kamu membalas.

“Yelah! Muka awak yang menunjukkan.” Pelayan itu semakin galak menyakat.

Bila agaknya awak akan beredar dari meja saya? Kamu bertanya. Namun
disebabkan keseganan kamu pada orang, kamu tak jadi meluahkannya pada si pelayan lelaki itu.

“Eh, boleh tak kamu berikan pada saya tarikh hari kamu lahir dan bulan kamu lahir? Mungkin saya boleh menolong kamu.” Pelayan lelaki itu meminta.

Pelayan lelaki itu kemudian mencapai gelas minuman kamu. Kemudian menikmati air Epal di dalamnya tanpa malu dan segan.

Oh, tolonglah. Kenapa dengan awak ni? Kamu tertanya-tanya sendirian.

Seorang mamak berbadan gempal menghampiri.

“Oh, di sini kamu ya? Saya berapa kali sudah ingatkan, jangan ganggu pelanggan-pelanggan di sini. Kenapa kamu degil?” Si mamak itu menarik telinga si pelayan lelaki itu. Semua mata di situ tertumpu pada kamu selain pada si mamak dan si pelayan.

Kamu berasa bosan dengan kelakuan manusia di situ. Segera kamu menyudahkan makan. Kamu mengambil tisu di kaunter. Mengelap mulut dan tangan.

“Pelanggan-pelanggan saya sudah lari. Nah! Ini gaji kamu setakat bulan ni. Esok kamu tak perlu datang lagi!” Jeritan mamak itu mengganggu telinga kamu. Kamu terus menapak menuju kereta Kancil bewarna Kelabu milik kamu. Kamu menghidupkan enjin kereta untuk menuju ke pejabat.

Isa A.S akan datang menyelamatkan keadaan. Umat akan diselamatkan. Kita tak akan tersesat. Panduan kita, tetap panduan yang ditinggalkan Nabi Muhammad S.A.W. Al-Quranul Karim. Masalahnya sekarang, umat Islam telah ditimpa musibah yang pelbagai. Kita yakini kita ni umat yang terbaik namun adakah realiti sekarang menunjukkan sedemikian?

Kamu memperlahankan kereta sebentar. Lampu isyarat, menyuruh.

Realiti sekarang menunjukkan kita akan terjajah untuk jangka masa yang lama jika kita masih mengamalkan sikap yang lama. Pesimis, pesimis. Optimislah banyak! Kamu menghingarkan suasana dalam diri kamu.

Kamu sudah sampai ke kawasan pejabat. Kamu turun dari kereta. Kamu berjalan menuju ke pejabat. Seekor dua burung pipit yang bertenggek di sebatang dahan pokok Ceri sedang menyanyikan sebuah lagu yang menarik . Kamu, terpesona sebentar.

Dulunya, kamu pernah berdialog dengan seorang perempuan yang cukup cantik. Namanya Mawar. Sayangnya, Mawar ini berduri. Mawar beragama Buddha. “Kalau abang nak menikahi saya, abang kena tinggalkan agama abang. Uh, abang, kasih saya pada abang ikhlas. Abang tak kasihkah pada saya?”

Kamu jadi kelu ketika itu. Kamu tak punya hujah untuk itu. Kerana apa? Kerana,dahulu Kamu mengambil diploma Usuluddin untuk bermain-main dengan masa. Sayangnya masa tak ingin pun bermain-main dengan kamu. Kamu terdiam untuk beberapa lama. Akhirnya setelah kamu mendalami Islam, kamu telah punyai hujah untuk itu. Kemudian sebulan lepas kamu menelefonnya. Kamu sengaja sebenarnya.

“Mawar, adakah tugas Maitreya sama dengan Jesus?” Soalan ni kamu bidik khas untuk membawanya kepada Islam.

“Uh, abang. Abang, yang tanya soalan ni? Saya sangkakan abang sudah melupakan saya. Abang, maaf abang. Saya tak megkaji lagi tentang tugas Maitreya.” Mawar menjawab panggilan kamu dengan suara yang seperti dulu.

“Oh, Mawar nak tahu, Maitreya pun punyai peranan mengikut ajaran
Buddha. Namun peranannya tak sama dengan Jesus. Jikalau konsep Messiah di agama
samawi (Judaisme, Kristian, Islam) adalah Saviour / juru selamat maka konsep
Boddhisatta Metteya bukanlah sebagai juru selamat kerana memang seorang Buddha
bukanlah juru selamat, melainkan seorang guru yang hanya boleh menunjukkan jalan.
Dalam konsep Buddhisme, hanya kita sendirilah yang boleh menyelamatkan diri kita.”
Begitu kamu menjelaskan pada Mawar.

“Abang, saya sudah tahu mengenai kecelaruan dalam Buddha. Saya sudah memeluk Islam abang.”

Nada Mawar begitu merintih. Tanda, mahu kamu kembali kepadanya.

Kamu bertakbir, bertahmid dan bersyukur ketika itu.

Namun tiba-tiba, tanpa disedari kamu sudah tidak mampu berfikir mengenai mimpi indah kamu dengan Mawar, gadis yang mencuri minat kamu. Kamu, jadi kosong dalam beberapa minggu. Panggilan dan sms dari Mawar tak mampu untuk kamu jawab. Kamu jadi begitu bimbang. Kamu nak menolong umat sebenarnya. Bukan kamu tak
sayangkan Mawar, namun kamu lebih sayangkan umat. Umat perlu dibangunkan.
Cukuplah tidur yang lama wahai umat Muhammad. Bangunlah!
……………………
Al-Quds akan dibebaskan. Tetapi adakah dengan orang seperti kamu? Kamu bertanya seorang diri. Kerja, di pejabat memang membosankan kalau kita tidak gemarakan kerja itu. Kamu berzikir sebentar sambil melemparkan pandangan keluar dari tingkap. Bumi Malaysia, memang aman. Terletak di dalam belahan zon yang tak dicecah oleh gempa bumi. Semua insan yang dilahirkan di bumi Malaysia patut bersyukur sangat. Kamu kemudiannya bermain-main dengan pensil pula. Bayangkan kalau tiba-tiba sahaja kamu berada di Al-Quds sekarang. Mempertahankan bumi tempat lahirnya Imam Syafie. Pensil yang kamu pegang bertukar menjadi AK- 47. Ataupun bertukar menjadi pedang tajam. Bayangkan kamu memegang senjata api atau beberapa butir batu kerikil. Menentang dajal? Kamu, mampu? Kamu bertanya seorang diri sekali lagi. Oh, kalau kamu bertanya pada remaja belia di Palestin sekarang, kamu rasa apa agaknya jawaban mereka? Bahkan dengan lidi pun kami akan lawan abang! Begitu kamu sangkakan jawapan mereka.


Satu emel datang berkunjung. Kamu, melayani emel itu. Perlahan-lahan kamu membuka emel itu.

Surat elektronik itu kamu baca penuh teliti.

“Ah, masih tak sedar-sedar, wahai pengirim yang jahil?”

Kamu berkata, dengan mimik muka sinis sekali.

Emel itu menceritakan kepada kamu beberapa alamat tak sahih tentang hari kiamat kelak. “Bersiap-siaplah manusia sekalian. Kiamat akan berlaku pada hari Rabu, 3 haribulan sembilan. Cepat, kumpulkan makanan, minuman, ubat-ubatan, pakaian dan sebagainya yang difikirkan perlu.”

Kamu, terus bosan hendak membaca sehingga habis emel itu. Kamumenutup
emel itu. Kiamat pasti akan datang. Tapi bukan datang mengikut ramalan nujum pak
belalang. Nabi, sendiri pun tak tahu. Al-Mahdi lagilah. Benar, Al-Mahdi adalah tanda-tanda akhir zaman. Tapi kenyataannya, dia bukannya mengetahui bila terjadinya hari kiamat. Al-Mahdi adalah imam berketurunan Nabi S.A.W. Al-Mahdi ada menurut mazhab Sunni. Bukan dongengan. Dia akan muncul akhir zaman ini menumpaskan Dajjal.

Dari Ibnu Mas`ud R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Bila tidak kekal dunia ini kecuali sehari saja, maka Allah akan panjangkan hari itu hingga Dia mengutus seseorang dari aku atau dari ahli baitku, namanya sesuai dengan namaku dan nama ayahnya sesuai dengan nama ayahku. Dia akan memenuhi dunia dengan keadilan dan qisth sebagaimana dunia ini sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan al-Juur.”

Kamu membelek-belek novel 1511H [Kombat] dan tertidur selepas membelek beberapa muka surat di tengahnya.
……………………
“Umat Islam, kebanyakan sudah sedar akan rahsia kecemerlangan generasi kurun yang pertama. Sekarang macam mana, kau mahu turut serta kami atau tidak?”
Seorang lelaki berseragam askar, tanya pada kamu.

Di tangan kamu, tergenggamnya T15 Thermal Weapon FLIR sight. Senjata ini kuno sebenarnya di tahun ini. Kalau di tahun 200X bolehlah dikatakan senjata ni senjata terbaik.

“Baik! Aku ingin sekali turut serta.” Kamu, menjawab lelaki itu..

“Solihin, kalau dulu bolehlah kamu mengkaji tentang ‘Messiah’, kamu mengkaji tentang ‘Armageddon’, namun selepas selesai semua kajian itu, panggilan jihad memanggil kamu. Adakah kamu masih terfikirkan tilam empuk di rumah? Terfikirkan tentang isterimu?”

Lelaki berseragam askar yang mengenali kamu. sengaja bertanya soalan itu.

Kamu, geleng.

Abang tak akan berpatah balik Mawar. Ini jalan abang. Moga, jumpa di sana .

Buum! Buum!

“Uh, mereka sudah masuk ke dalam kawasan kita!” Lelaki itu, menjerit.

Kamu tak berlengah. Seluruh, pancaindera kamu dikerah untuk mencari si penembak curi. Kamu menjumpainya. Kamu mensasarkan penuh cermat. Kamu tak mahu si penembak pergi begitu sahaja.

Buuf!

Si penembak tersungkur. Tembakan kamu tepat mengenai dadanya yang bidang.

“Allahu Akbar!” Semua pejuang Islam yang berhampiran, takbir.

“Al-Mahdi dan Nabi Isa A.S akan datang membantu kita. Tetapi adakah kita dah cukup bersedia untuk menerima bantuan Ilahi?”

Kamu, sengaja bertanya kepada lelaki yang bertanya kamu sekejap tadi.

…………………….
Kamu, terjaga dari tidur. Beberapa pekerja yang melewati kamu senyum sahaja. Kamu, tersipu. Kamu menggeliat sebentar. Kerja kamu sudah habis sebenarnya. Kamu bergegas menuju ke surau dalam pejabat. Mengambil wudhuk. Kemudian kamu bersolat. Selesai solat minda kamu beransur-ansur jernih. Kamu teringatkan Mawar yang sudah menjadi saudara kamu. Kamu, mengabaikannya sedangkan dia memerlukan kamu.

Al-Jihad, al-Jihadu sabiluna! Telefon bimbit kamu, panggil.

“Assalamualaikum.” Suara itu, berbicara dengan penuh tatasusila.

“Wa ‘alaikumussalam.” Kamu menjawab salam si pemberi salam.

“Ni, abang?” Si pemilik suara itu, bertanya.

“Ya, ini Mawar?” Kamu kenal, si empunya suara.

“Ya bang. Abang sihat?” Mawar bertanya kabar.

“Alhamdulillah Mawar. Abang sihat.” Kamu menjawab khabar.

“Abang masih tak selesai lagi, tentang ‘Messiah’?” Mawar, bertanya.

“Sudah Mawar.” Kamu menjawab.

“………..,

Diam berlarutan, agak lama. Kamu cuba menggagahi diri kamu, untuk bersuara.

“Mawar masih sama seperti dulu?” Kamu sudah berjaya bertanya.

“Seperti dulu? Maksud abang?” Mawar masih belum jelas akan soalan kamu.

“Err, maksud abang, Mawar sudah dipetik orang?” Kamu menahan nafas, kemudian melepaskan.

“Uh, siapalah Mawar? Siapalah orang yang sudi memetik Mawar? Namun, Mawar selalu bermimpi Mawar diijabkabulkan dengan orang yang selalu bercerita kepada Mawar tentang Al-Mahdi, Isa A.S dan Dajjal.” Mawar, menceritakan mimpinya kepada kamu.Kamu pula tersenyum puas.
…………
“Ayah setuju dengan pendapat Syeikh Syaltut mengenai Dajjal?” Melati bertanya.

Tanah liat yang kamu, dan anak kamu bentukkan untuk menjadi rumah belum menjadi.

“Anak ayah ni, mana anak ayah tahu pasal Dajjal ni?” Kamu bertanya anak kamu sambil mata kamu melirik pada isteri kamu yang melipat baju sambil melihat kamu bermain dengan anak kamu.

“ Ala ayah, jawablah. Ayah setuju dengan pendapat Syeikh Syaltut mengenai Dajjal?” Melati, mengulangi soalan sambil tersenyum pada isteri kamu.

“Ayah ambil pendapat guru ayah. Guru ayah, Al-Buti tak setuju dengan Syeikh Syaltut. Mereka bertiga akan datang Melati. Dajjal akan mencelakakan bumi ni dan Nabi Isa A.S dan Al-Mahdi akan menyelamatkannya.”

Anak kamu, berlari menuju ke isteri kamu. “Siapa pula Al-Buti, ibu?” Anak kamu seronok bertanya.

“Guru ayah Melati.” Isteri kamu tersenyum, sambil mendakap erat anak kamu.

Kamu, tersenyum melihatkan isteri kamu dan anak kamu. Kamu berdiri dan menuju jendela rumah kamu. Kamu lihat suasana ke arah kedatangan mereka bertiga, begitu hampir sekali. Mereka bertiga tidak akan datang dalam bentuk simbol tetapi akan muncul sebagai mana yang diceritakan.

Isteri kamu, dekati kamu. “Abang sudah nak pergi al-Quds?” Isteri kamu, bertanya.

Kamu, senyum sahaja.

“Mungkin tak lama lagi. Jangan risau Mawar. Doakan yang baik-baik untuk abang.” Begitu, kamu menenangkan isteri kamu.

Thursday, July 23, 2009

Ah Long, Tolonglah Jangan Tolong!


Cerpen: Ah Long, Tolonglah Jangan Tolong!



Nama Pengarang: Amir Hamzah Akal Ali



Ini cerpen yang saya hantar untuk sebuah majalah. Tolonglah bagi honorarium. Apa kalian ingat, para pengarang dan pemikir sepenuh masa ini makan apa?



Cerpen ini cerita benar. Bukan cerita bohong. Tetapi sudah tentulah, apabila mahu diceritakan, tidak dapat tidak adalah tokok tambah sedikit. Lagipun, saya bukanlah ahli hadis. Cerita saya masih boleh diragui. Namun, cerita saya ada mesej. Mesej moral namanya. Mesej moral ini, mungkin kalian tidak akan dapat dari novelis Ahadiat Akashah atau pengarah filem popular, Prof. Madya Razak Mohidin.



Cerpen ini bermula begini:


Satu tumbukan hinggap di perut saya. saya menyangka hanya satu tumbukan sahaja. Sangkaan saya meleset. Tumbukan kedua, tumbukan ketiga, tumbukan keempat, tumbukan kelima, ah, saya sudah sakit perut untuk mengira.



“Hang sangka, hang pandai sangat? Baca itu, baca ekonomi, baca ekonomi Islam, sosialis, kapitalis. Apa hang ingat, aku hantaq hang mengaji selama ini, suruh hang balik dok ajaq aku, buat berlagak pandai?”



Suara bapa antara dengar tak dengar di telinga saya.



Bapa memegang dagu saya yang mula ditumbuhi bulu.


“Hang ingat, hang dah nak ada janggut, hang nak besaq kepalalah?”



Pang! Bapa pergi selepas menempeleng saya.



Saya anak sulung dari tiga belas adik beradik.



“Banyaknya adik beradik kamu. Kuat betul bapa kamu?”



Seorang teman perempuan yang suka mengulangkaji bersama-sama saya sedikit teruja. Saya dan dia akan mengulangkaji bersama-sama seorang rakan lagi.



“Eh, Rais. Dari tadi lagi, saya nak tanya kamu. Kenapa ada kesan lebam dekat pipi kamu?” Maria, iaitu teman perempuan saya itu mahu memegang pipi saya. Saya elakkan.



“Kenapa kamu tak bagi saya pegang pipi kamu? Saya dapat rasakan kesakitannya. Tentulah saya tahu, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.”


“Haram, Maria. Kamu tu, perempuan. Saya ni lelaki.”



Maria mencebik. “Eh, tetapi kena apa dengan pipi kamu? Jatuh main bola lagikah?”



“Na’am.” Kata Rais pendek dalam bahasa Arab langsung mematikan perbualan petang itu. Indra Ghandi, perempuan India bermata galak termengah-mengah datang.



“Maafkan saya, maafkan saya. Saya lambat lagi hari ini.



Mereka mengulangkaji matematik, matematik tambahan, perdagangan, prinsip akaun dan ekonomi. Kipas angin di dalam bilik darjah berputar menghalau panas.



“Rais, terima kasihlah kerana sudi bimbing kami yang agak lambat pasal kira mengira ini. Terima kasih ya.” Maria berkulit putih seperti buah epal yang dikupas kulitnya berterima kasih kepada saya.



“Iya. Sama-sama kasih. Jangan lupa pula, yang kamu semua kena mengajar saya subjek sastera, bahasa dan lukisan.”



“Terima kasih Rais.” Kata Indra yang baru keluar dari kelas selepas habis menyelesaikan soalan tambahan yang diberikan saya.



Saya mengikuti Marxis, membaca Das Capital, Communist Manifesto semenjak saya di tingkatan tiga lagi. Guru-guru muda di sekolah saya tidak banyak membantu. Usia enam belas tahun barulah saya tahu, mereka mengambil kerja guru sebagai kerjaya tetap adalah disebabkan sudah tidak ada kerja lain. Banyak syarikat besar memberhentikan pekerjanya.



“Bodoh!” Keras dan kesat kata yang saya keluarkan ketika itu, ketika melewati bilik rehat para guru. “Sosialis dan kapitalis berlawan di dalam gelanggang ekonomi, semenjak zaman Union of Soviet Socialist Republics. Tahun ini, saat ini, abad ini, mereka bertempur lagi, kamu semua pedulikah?”



Bapa saya, seorang buruh. Buruh kasar. Sementara ibu, seorang suri rumah sepenuh masa. Semenjak berlaku kelembapan ekonomi dunia, ibu telah menceburkan diri di dalam perusahaan jual kuih muih.



“Rais, kamu bawa kuih muih macam biasa ya. Letak dekat meja makcik Zaiton kantin itu ya?”



Seperti biasa, saya menuruni tangga waktu pagi selepas mendengar laungan ibu di bawah. Bapa pula masih berdengkur. Dengkur bapa masih jelas kedengaran meskipun jam sudah menunjukkan pukul enam empat puluh lima pagi.



Hari-hari berlalu seperti biasa. Minggu berganti minggu, bulan berganti bulan. Banyak peristiwa besar yang berlaku dalam hidup saya.



“Abang nak buat apa dengan duit sebanyak ini?”



Suara ibu kedengaran ketika saya menanggalkan ikatan tali kasut sekolah. Saya pulang lewat ketika nak dekat Maghrib. Indra dan Maria meminta saya menubi mereka sehabi upaya. Maklumlah peperiksaan makin dekat.



“Abang nak buat perniagaan. Awak kena tolong saya.”



Ibu saya bukan orang Kedah. Ibu orang Negeri. Bapa menikah di sana sekali kenduri. Jadi, mungkin itu sebabnya saya tidak mendengar bapa panggil hang aku, hang aku dengan ibu saya meskipun bapa orang utara.



“Nak tolong apa bang? Duit abang banyak sangat. Saya, perniagaan kecik-kecik ni, bolehlah. Duit banyak macam ini, perniagaan besar, bang.”



Saya masuk. “Assalamualaykum bapa, ibu. Ada apa ibu?”



Bapa mendengus berat. Sebenarnya hubungan saya dengan bapa semakin renggang ekoran peristiwa saya dibelasah bapa hari itu.



“Rais, kamu ke mana? Lewat balik hari ini. Pergi masuk mandi. Cepat sikit. Nak masuk maghrib ni. Nanti berebut dengan adik-adik kamu pula.”



Ibu meninggalkan bapa dan saya di muka pintu. Saya bersalam dengan bapa. Mencium tangan bapa. Bapa sedikit pun tidak memandang saya. bapa menarik pantas tangannya lalu meninggalkan saya.



Sikap bapa sedikit sebanyak mencederakan hati saya. Saya masuk mandi. Suara adik-adik saya riuh kedengaran. Selepas itu senyap. Saya jangka, bapa telah keluar daripada rumah dan mencambuk mereka dengan rotan. Kerana, selepas itu saya dengar ada tangisan adik-adik saya.



“Bapa pinjam duit along.. er, ah long ke apa.” Ibu berterus terang waktu saya menyapu minyak di kaki ibu. Saya selalu mengurut ibu selepas waktu Isyak. Bapa belum pulang. Mungkin di kedai kopi lagi.



“Berapa banyak bapa pinjam?”



Ibu memandang kelopak mata saya. Ibu dengan saya, tidak lokek rahsia. Ibu tahu, saya memang expert dalam hal kira mengira ini, tetapi ibu juga sedikit terkilan dengan pegangan saya –saya tidak mahu bekerja sebagai ahli perniagaan-


“Lima puluh ribuu??” Saya terkejut besar selepas ibu memberitahu.



Kedengaran bunyi pintu dikuak. Saya dan ibu ketika itu tidak mendengar salam bapa. Tetapi saya ketika itu meluahkan perasaan tidak puas hati saya kepada ibu tentang perangai bapa.



“Inilah masalahnya ibu. Masalah Iman. Kita tidak sedar tentang diri kita sendiri. Kita berhutang untuk perkara-perkara yang tidak perlu dan kita mengaku, ia perlu.”



Hujah saya tidak dipandang ibu. Ibu memandang atas kepala saya.



“Jadi, hang mendakwa, hang lebih tahu dari aku?”



Saya diangkat bapa dan ditendang berkali-kali. Lagaknya, saya seperti barang mainan di mata bapa. Ataupun, tidak ada apa-apa di mata bapa, kerana esok hari, saya mendapati, tangan kiri saya telah bengkok.



“Bapa kamu melampau sangat ni. Kamu nak ibu laporkan kepada poliskah?”



Jururawat dalam bilik tempat saya dirawat, sudah keluar. Saya pandang wajah ibu dan wajah dua orang adik lelaki saya dan adik perempuan saya yang comel.



“Ibu, bagaimana bapa melayan ibu?” Suara saya kedengaran serak sahaja. Ibu telah menghantar saya ke hospital sebaik sahaja bapa selesai melangsaikan urusannya.



“Baik sahaja. Dengan kamu sahaja yang lain. Kamu itu pun satu. Suka sangat melawan dan berhujah.”



Ibu meninggalkan saya ketika waktu rawatan. Esoknya, ibu datang lagi berseorangan. Ibu membawa beberapa buku ekonomi dan perdagangan.



“Buku matematik tambahan, buku matematik dan buku prinsip akaun, ibu tak jumpa. Kamu letak dimana? Rais, hari ini, Ibu kena balik awal. Adik kamu buat masalah pula di sekolah.”



Beberapa minit kemudian, selepas menyuapkan bijirin HPA dalam mulut saya, ibu tergesa-gesa keluar selepas ada panggilan dari sekolah.



Saya kasihan dengan ibu. Badan saya disandarkan di besi katil. Bantal yang dua biji itu saya lapikkan di kepala saya yang masih berdenyut-denyut.



“Sebenarnya, masalah ekonomi ini berpunca dari peribadi manusia itu sendiri. Bapa, sebagai contoh tidak memperdulikan dirinya sendiri. Buta dengan kehidupan hakiki. Menyangka, lembu boleh menjaga lembu. Menyangka, benda boleh menyelesaikan masalah. Sebenarnya salah.”



“Dalam Islam, ada doruriyat. Ada hajiyyat dan ada tahsiniyat. Adakah Astro itu satu keperluan? Kalau tidak ada Astro, boleh mati tak? Motor EX5, sebagai contoh, boleh matikah kalau tidak membelinya secara riba? Secara interest, bahasa orang zaman sekarang.”



Soalan Ekonomi Asas saya tidak jawab. Bagi saya, soalan ini cuma permainan sahaja. Prinsip-prinsip dalam pelajaran kira mengira ini barulah perjuangan.



“RM 50,000, apa yang boleh dibuat dengan orang yang rapuh imannya untuk sebuah perniagaan. Padahal dia kosong langsung dalam ilmu perniagaan?”



Saya mencongak-congak sendirian.



“Dia akan rosak.” Tercetus ayat itu dari bibir saya yang mula sedikit pecah.



Ah long kurung orang, bagi pinjam duit dekat orang, kemudian seksa orang. Tetapi, kenapa orang masih tetap mahu pinjam juga?



Kenapa kena ada orang macam bapa, untuk menjadi mangsa Ah Long?



Saya beristighfar.



Soalan kenapa, kenapa tidak boleh ditanya lagi. Sudah sememangnya akan berlaku pertarungan antara yang ditindas dan yang menindas. Ini yang saya pelajari dari Ali Syariati, seorang arkitek revolusi Iran.




Teman-teman sekolah saya datang waktu petang. Selain Maria dan Indra, John, Sani, David, Muthusamy dan beberapa orang lagi rakan mereka turut datang. Mereka datang mebawakan buah epal, anggur, belimbing dan pelam.





“Untung lidah saya boleh merasa. Jikalau tak, habislah peluang saya untuk merasa kelazatan buah-buahan yang kamu semua bawa ini."




Maria yang mengupas kulit buah epal tersenyum sahaja.




“Kamu jatuh main bola lagi.” Tercetus kata itu di bibir Maria. Pipi Maria kelihatan seperti putih kulit epal yang telah dikupas kulitnya.




Maria yang mengupas kulit buah epal tersenyum sahaja.





Seorang rakan mereka yang saya tidak kenali membimbit Kosmo! Saya lihat dia sedikit menjerit.



“Mereka ini, betul-betul kejam. Tidak berperikemanusiaan!”



Rakan-rakan lain yang berada di dalam wad terkejut. Mulut mereka melopong kesemuanya. Setelah diperjelaskan, barulah kesemua mereka faham.



“Ah Long. Mereka bukan nak tolong pun. Mereka ada duit sikit, kemudian bagi pinjam dengan kenakan bunga yang berlipat-lipat kali ganda.”



Seorang lagi yang saya tidak kenal, bersuara. Kawan Indra agaknya sebab mereka kelihatan rapat. Mereka semua belum berganjak keluar dari bilik saya meskipun sudah lewat petang.



“Kami semua datang ada hajat besar, Rais.”



Indra dan Maria bersuara serentak.



“Mereka semua mahu belajar ulangkaji bersama-sama kita.”



“Baiklah, tidak ada apa-apa masalah. Dua tiga hari lagi, saya keluar, bolehlah kita mulakan. Kamu semua pun, kena kongsikanlah pengetahuan-pengetahuan kamu dalam subjek-subjek yang kamu pandai.”



Selepas kawan-kawan saya balik, saya merasakan, sistem ekonomi dunia yang telah teruk dikapitaliskan ini perlu diperbetulkan oleh orang-orang Islam. U.S.S.R akhirnya runtuh sekali dengan Lenin dan Kremlin.



“Menstruktur ekonomi dengan Islam.” Saya menggigit buah belimbing.



Pintu dikuak.



“Bapa?” Belimbing yang digigit terjatuh



***



Cerita ini berlaku beberapa waktu dahulu. Riba, ekonomi, dunia, Ah Long dan segala masalah ekonomi haruslah diselesaikan menurut cara Islam. Selain daripada cara Islam, tidak akan dapat diselesaikan.




Saya akhirnya membantu bapa menguruskan perniagaan itu. Kami urus perniagaan jual kuih muih ibu dengan lebih berkesan dan tersusun. Saya beritahu bapa dengan sopan dan beradab: Kita buat perniagaan bapa. Kita kerahkan semua anak bapa.kita akan setelkan hutang ah long,kemudian jangan pinjam lagi dekat ah long. Kalau ada barang-barang yang betul-betul perlu, baru kita beli. Kobis, sayur kangkung, bendi, kacang panjang, cili hijau, cili merah, petai, kita tanam dekat kawasan tanah belakang rumah.



Bapa bersetuju dengan saya. Ibu amat bersyukur sekali ke hadrat ilahi.




Seorang ahli akademik mengesyorkan pandangan, kena ada instituisi kewangan yang lebih kukuh untuk membantu orang yang mahu membuat pinjaman.




Saya, seorang yang telah melepasi STPM dan STAM merasakan pandangan ahli akademik itu tidak bertunjangkan worldview Islam. Saya terkesan dengan makna sebuah hadis Nabi yang pernah saya pelajari. Manusia ini, kalau beri segunung emas, pasti dia akan nak gunung emas yang kedua. Kemudian, adakah ia mengenyangkan manusia itu? Tidaklah. Sekali-kali lagi, tidak, manusia itu akan nak gunung emas ketiga, keempat, kelima. Apabila dia ditimbunkan dengan pasir dan dituangkan pasir ke dalam mulutnya, barulah dia akan kenyang.