Makluman
Adakah Kita Begini?
Wednesday, July 27, 2011
Halal Haram: Bila Pemikiran Celaru
Posted on 11:20 PM by Arrazzi Alhafiz Alattas
Your Blog : http://arrazzialhafiz.blogspot.com
"Kita cari tempat lainlah. Tak lalu ana nak makan kat kawasan sini!. Macam mana orang boleh berselera makan ana tak tau lah" sungut sahabat saya ketika kami mundar-mandir ke sana ke sini mencari warung makan.
"Islam, Islam dah. Tapi kotornya, masyaAllah!" balas saya yang perut pun sudah berkeroncong.
Situasi seperti ini amat menyecewakan. Malu pun ia juga.
Saya perhatikan, sebahagian besar umat Islam hanya memahami makanan halal ialah makanan yang bersumberkan binatang halal yang disembelih dan tidak ada lemak babi. Cukup sekadar itu sahaja. Maka tak peliklah bila ada yang mencuri ayam atau lembu tapi tahu pula nak disembelih. Padahal apa bezanya sembelih atau tidak. Yang haram tetap haram. Pemahaman yang sangat celaru.
Kita juga dapat melihat akibat kecelaruan ini, ada orang Islam menjual makanan yang halal sedang premis perniagaannya kotor. Pinggan mangkuk, dapur, tempat mencuci, stor dan yang lainnya tidak bersih dan menjijikkan. Peniaga di warung-warung makan abai kebersihan diri. Kalau bersihpun ambil mudah, nak harap kemas apatah lagi. Keadaan sebegini memang tidak selari dengan Islam dan tersasar dari konsep Halalan Thayyiban. Sepatutnya tiang yang lurus, bayangnyapun pasti lurus.
"Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (Al-Baqarah: 168)
Makanan dari sumber yang halal, bersih lagi selamat untuk dimakan barulah dinamakan Halalan Thayyiban. Islam mengambil kira semua aspek dalam pembuatan atau pemprosesan makanan. Lebih dari itu, Islam bukan sekadar memelihara sumber dan penyediaan. Bahkan Islam turut mengambil kira akibat selepas itu.
Agak biasa media massa melaporkan orang ramai dan pelajar sekolah yang memakan makanan yang halal di restoran dan kantin sekolah mengalami keracunan makanan.
Bagaimana mungkin konsep Halalan Thayyiban yang dibawa oleh Islam boleh memudaratkan? Pelik bukan?
Tapi inilah yang berlaku apabila konsep ini tidak difahami dengan baik oleh umat Islam itu sendiri. Halal mesti diikuti dengan thayyiban (baik, elok) dan ia sentiasa begitu.
"Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani “. (Al-Baqarah: 172-173)
Firman tersebut jelas menuntut agar memastikan makanan dan minuman kita sumbernya mestilah halal.
Mencari yang halal adalah satu bentuk ketaatan seorang hamba kepada Tuhannya. Ini bukan soal kenyang atau lapar. Ini merupakan persediaan berubudiyyah kepada Allah swt.
Rasulullah saw bersabda:
"Wahai Kaab bin ‘Ujrah Sesungguhnya seseorang tidak akan masuk syurga jika terdapat daging yang tumbuh di dalam tubuh badannya daripada sumber yang haram." (Riwayat Al-Darimi)
Lihatlah betapa Islam memandang serius aspek pemakanan halal sehingga turut menjadi penentu ke syurga atu neraka. Semoga kita lebih berhati-hati dalam apa juga yang kita makan dan minum agar aturan yang telah digariskan oleh Islam tidak dilanggar begitu sahaja.
Saya risau sebenarnya dengan gaya pemakanan kita masa kini. Dek kerana mahu memenuhi nafsu tekak dan perut, semua ditelan bersih. Berapa ramai hari ini yang lebih suka makan di restoran-restoran makanan ringan terkemuka walaupun kita sudah dibentangkan dengan kes-kes kesihatan. Obesiti dan darah tinggi. Sedikit sahaja lagi kencing manis masuk senarai terbaru penyakit yang hinggap generasi muda. Nampak gayanya makanan hari ini sudah menjadi seperti bom. Tunggu masa saja untuk meledak
Penyelesaiaannya mudah, ayuh kembali kepada konsep Halalan Thayyiban anjuran Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No Response to "Halal Haram: Bila Pemikiran Celaru"
Leave A Reply