Makluman
Adakah Kita Begini?
Monday, April 19, 2010
Kerana Sepotong Alasan 1.
Your Blog : Penganalisis Minda
Salam sejahtera didoakan kita semua berada di bawah rahmat dan lindungan Allah SWT hendaknya...
Minggu ini khutbah Jumaat di kawasan saya membincangkan mengenai tajuk 'Jaga Tepi Kain Orang'. Sebuah ulasan yang mantap buat mereka yang khusyuk mendengar dan mungkin tiada kesan buat mereka yang terlentok tunduk untuk menunjukkan betapa tawaduknya mereka...
Tertarik dengan pepatah melayu ini ingin saya ingatkan diri saya dan anda mengenai salah faham terhadap istilah ini, terdapat segelintir masyarakat yang menyalahkan penggunaan pepatah 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'.
Mereka beranggapan bahawa istilah ini tidak boleh diguna pakai berikutan sikap masyarakat yang semakin rosak keutuhan dalam hidup bermasyarakat kerana sikap tiada tegur-menegur dan mengambil endah tidak endah dengan keadaan sekeliling menyebabkan berlakunya kes-kes seperti dera dan zina berikutan memegang teguh pada pepatah ini.
Saya berpendapat bahawa pepatah ini tidak salah. Orang dahulu menggunakan istilah ini untuk mengelakkan umpatan dan fitnah. Dahulu waktu sosial isi rumah terutama wanita akan berkelompok dan bersembang-sembang lalu mengungkit hal-hal rumah tangga orang dan menimbulkan fitnah, lalu istilah ini mungkin lahir berikutan kisah umpatan mereka yang tidak sudah.
Saya beri contoh A menghadapi masalah rumah tangga, lalu B yang berjiran dengan A akan menyebarkan berita ini sesama jiran tetangga yang lain dan mereka akan mengumpat. Lalu kawan mereka yang C pun berkata 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'.
Maksudnya istilah ini amat sesuai supaya kelompok tersebut tidak meneruskan hasrat mereka untuk mengumpat kerana mengumpat ini pasti akan mendatangkan tokoh-tambah dalam cerita yang sebenar, lalu cerita dari B lain, sampai telinga C jadi cerita lain, sampai telinga D jadi cerita lain dan seterusnya. Jadi istilah ini amat sesuai buat mereka 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'.
Itu orang dahulu-kala, tetapi orang zaman sekarang gunakan pepatah ini untuk beralasan supaya tidak menyibuk dalam hal-hal masyarakat. Mana mungkin hal-hal kezaliman pun kita hendak gunakan pepatah tersebut. Nampak sangat kita pada masa ini hanya menggunakan pepatah tersebut semata-mata untuk beralasan agar tidak menyusahkan diri.
Kerosakan yang berlaku pada hari ini adalah akibat daripada tiada sikap tegur- menegur. Benar, semua akui perkara tersebut tetapi sejauh manakah sikap cakna yang kita ambil?. Seru kepada kebaikan maka 'mengajak' kepada kebaikan dan bukannya sekadar bercakap belakang sembang-sembang dengan jiran-jiran lain dan mengumpat. Dalam erti kata lain kita perlu tegur dan bukannya mencanang cerita hebah ke sana-sini akan keburukan tersebut.
Dua perkara penting yang Allah peringatkan kepada hambaNya ialah (1) ajak buat baik, dan (2) cegah kemungkaran.
Jadi pada waktu ini sama-sama kita tanya pada diri masing-masing adakah kita telah mengajak kepada kebaikan? Jawapannya mungkin Ya...
Cegah kemungkaran? Jawapannya mungkin tidak.
Apakah kita masih ingin beralasan dengan pepatah 'Jangan Jaga Tepi Kain Orang'?
Zaman sekarang kita takut untuk menegur kesilapan kerana kadang-kala masyarakat kita sendiri memberi jawapan yang tidak munasabah.
"apa kau sibuk, kau pun sama saja"
Ironinya mengajak buat baik susah bagi kita kerana kita sendiri pun tidak buat perkara yang baik, hendak cegah mungkar, kita juga yang buat mungkar. Jadi kesudahannya orang pun beranggapan bahawa amalan tegur menegur itu adalah kerja pendakwah? Siapa? Ustaz ustazahlah...
Saya tergelak sinis, sedar atau tidak kita semua adalah pendakwah. Tanya diri kita dan beritahu pada Allah apakah kita tidak pernah menegur kesilapan dalam keluarga, adik-beradik? Atau tidak pernah ke kita mengajak orang untuk berbuat baik walau sekecil zarah?
Maka kita semua memang seorang pendakwah...
"ustaz, sudah ramai ustaz, ustazah yang berceramah, dalam TV, dekat Surau, Masjid dan merata-rata tempat, mengapa masih lagi ada kerosakan pada masyarakat kita terutama remaja dan orang muda?"
Jawapannya mudah, kerana tiada amalan menyampaikan, kita dengar untuk diri kita dan tidak menyampaikan, kita belajar untuk diri kita dan tidak menympaikan, kita tahu tetapi kita buat-buat tidak tahu.
Pada pandangan anda apakah sikap itu akan membantu masyarakat kita?
Firman Allah SWT:
”Dan hendaklah di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, mereka adalah orang-orang yang berjaya”.
Ali-Imran : 104
Saya mohon pada diri saya dan anda agar kita sama-sama berdoa untuk kesejahteraan muslim sedunia khasnya Malaysia,
Bersambung...
No Response to "Kerana Sepotong Alasan 1."
Leave A Reply