Makluman
Adakah Kita Begini?
Thursday, May 5, 2011
Perempuan Berkalung Sorban: Sebuah filem persepsi.
Hanung Bramantyo sekali lagi mencetuskan kerisauan selepas mengarah Ayat-Ayat Cinta (AAC). Selepas AAC yang dikatakan tidak syariatik oleh peminat tegar Habibur Rahman Sherazy, Bramantyo telah mengarahkan sebuah lagi adaptasi novel, berjudul Perempuan Berkalung Sorban. Filem ini telah mendapat perhatian hangat oleh sekian ramai khalayak termasuk Dr. Faisal Tehrani dan Dr. Asri Zainul Abidin.
Siti Nurhaliza turut menyumbangkan lagunya di dalam filem ini. Revalina S. Temat yang cantik itu kelihatan agak gatal dan mengada-ngada. Adakah perangai perempuan cantik memang begitu? Atau itu kehendak tuan pengarah?
Plotnya bermula semenjak Anesah (Lakonan Revalina) kecil lagi. Anesah mendapati, Islam lebih condong dan berat sebelah kepada lelaki dan perempuan seakan merupakan beban. Seolah menjadi perempuan adalah suatu kesalahan lantas membuatkan Anesah mahu mendobrak dogma ini. Lek Khudori (Oka Antara) menjadi tempat untuk Anesah mengadu.
Tiba masanya, Lek terpaksa berpisah dengan Anesah bersebabkan ingin melanjutkan pengajian ke Cairo. Anesah berendam air mata mengenangkan perpisahan itu di pesantren Huda milik bapanya. Tawaran kemasukan ke U sampai ke tangan Anesah. Puas Anesah merayu kepada bapanya untuk dapat belajar, tetapi ayahnya bilang kena ada muhrim. Dengan muhrim, awak bisa studi. Kata bapanya yang juga merupakan kiyai.
Seorang lelaki, anak seorang kiyai yang agak kaya juga dikahwinkan dengan Anesah tanpa kerelaan Anesah. Lelaki ini bernafsu liar. Nafsunya yang amat jalang menyebabkan Anesah mengalami penderitaan mental yang cukup kronik dan traumatik sekali. Hingga menyebabkan Anesah menghunus pisau kepada suaminya.
Bertahun sudah, Lek pulang ke halaman dan terjumpa Anesah yang baharu pulang untuk ke pesantren. Anesah meluahkan rasa keterkilanannya kepada Lek yang tidak mengutus khabar berita apa selepas dia dikahwinkan.
Akibatnya, Lek mengutus surat kepada Anesah dan mereka kemudiannya berjumpa. Ditakdirkan mungkin untuk menjadikan ianya lebih dramatik, suami Anesah datang dan menyerbu masuk lantas menuduh mereka berdua bermukah. Ramai orang datang berhimpun dan bersorak rejam, rejam, rejam, rejam kepada Lek dan Anesah. Pada ketika itu juga Anesah diceraikan oleh suaminya.
Ummi Anesah menghalang dengan katanya, "hanya orang yang tidak berbuat dosa, dibenarkan merejam."
Bapa Anesah mati tidak berapa lama kemudian.
Selepas itu, Anesah telah ke berhijrah ke bandar untuk membawa diri. Di sana dia berjumpa dengan kawannya yang baru selesai berasmaradana dengan seorang jantan. Ini bukan kebebasan yang dimaksudkan Anesah. Anesah kemudiannya menjadi gila menulis. Tema penulisan Anesah, adalah kebebasan. Di sana, Lek mencarinya. Agak tawar hati pada permulaannya, tetapi akibat usaha tak henti Lek dalam nak mengurat semula jantung hatinya, maka Anesah kembali cair. Mereka disatukan kemudian.
Perubahan itu bertahap, kata Lek apabila Anesah selalu bertekad mahu mengubah pentadbiran Pesantren Al-Huda yang kini dipegang Mas Reza iaitu abang kepada Anesah.
Ayah bekas suaminya, telah memberikan sejumlah modal untuk bapa Anesah membesarkan pesantren Huda. Selepas tamat era Huda pimpinan ayahnya, kini tiba zaman anak lelakinya untuk memimpin pusat pengajian itu. Rupa-rupanya, semua ini ada timbal balas yang tidak ikhlas. Selepas perceraian dengan Anesah dan perkahwinan Lek Khudori dengan Anesah, bekas suaminya sering menganggu pesantren Huda kerana menurutnya pesantren itu maseh berhutang dengannya.
Konflik seterusnya yang berlaku adalah buku-buku pemikiran yang dibawa masuk Anesah. Terjadi satu peristiwa yang buku-buku Anesah telah dilunggukkan dan dibakar kerana didakwa mengimport pemikiran iblis. Pembakaran ini tidak mematahkan Anesah. Dia terus membawa masuk secara sembunyi-sembunyi.
Ini sebenarnya adalah naskhah persepsi. Sesiapa sahaja boleh memberi atau mengarang persepsi. Seperti juga islamofobia, ianya hanya sebuah persepsi ngeri terhadap kejahatan atau sesuatu yang tidak begitu diketahui dengan jelas atau pasti. Seperti Geert Wilders yang membikin Fitna, itu juga persepsi yang penuh bias. Berkemungkinan besar, Abidah El-Khalieqy yang berjantina feminin itu pernah mengalami penderitaan yang sama serupa sepertimana Anesah lantas membuatnya untuk mengarang novel tersebut. Tetapi adakah satu kes, sudah cukup untuk menghukum kesemua kes? Meski begitu, karekter Lek sedikit sebanyak mengubah tanggapan buruk terhadap Islam.
Dan begitulah selayaknya. Perdebatan pemikiran harus terus berlangsung dengan kawalan yang terhad. Di akhirnya, Maktabah Al-Huda berjaya dibangunkan. Meski, berkemungkinan besar buku-buku jadid yang dibawa masuk Anesah mengusung pemikiran-pemikiran syubhat, ianya harus dijawab bukan dibiarkan.
No Response to "Perempuan Berkalung Sorban: Sebuah filem persepsi."
Leave A Reply