Makluman

Sesiapa yang berminat untuk menjadi sebahagian dari penymbang artikel KBloG, mudah sahaja cume ikut arahan ini

1. Hantarkan alamat emel anda ke bloggerkuis@gmail.com

2. Selepas 7 hari sila periksa emel anda

3. Jida ada maklumbalas dari kami, tekan pada mail kami dan ikut arahan yang diberi.

4. Setelah anda mengisi emel dan pasword blog anda dalam mail kami, sila periksa blog anda dan pasti kan ada ruangan KBloG pada "Dashboard anda"

Jika ada sebarang masalah sila emelkan pertanyaan kepada kami : bloggerkuis@gmail.com

Selamat mencuba :)

Mahasiswa Islam, Mahasiswa Yang Berpengetahuan dan Celik Pada isu2 Semasa


Klik Sini

Adakah Kita Begini?

Monday, May 4, 2009

Hantu Tu Ya (Antara cerpen saya yang tidak bergenrekan tauhid.)

Posted on 1:18 PM by Benz Ali



Cerpen: Hantu Tu Ya.

Nama Pengarang: Amir Hamzah Akal Ali

Mahkamah bersidang. Hantu Buku, seekor hantu yang setiap hari membaca buku menjadi peguambela kepada Hantu Tu Ya, seekor hantu betina yang didakwa cuba membunuh seekor menteri hantu.

“Saya tidak bersalah…” Linangan air mata keluar meleleh dari kelopak mata Hantu Tu Ya. Hantu Tu Ya merayu bersungguh-sungguh kepada Hantu Buku supaya melepaskan dia dari perbicaraan yang tidak adil ini.

“Saya akan bawa kamu keluar.” Hantu Buku optimis seperti datuk neneknya yang lampau. Keturunan Hantu Buku memang terkenal sebagai ahli perundangan dunia hantu yang terkenal hebat dan terbilang.

Hakim Hantu mengetuk martil. “Aku tidak percaya kepada Hakim Hantu, banyak sangat menipu.” Kata seekor hantu gemuk kepada seekor hantu kurus. Mereka adalah antara ribuan hantu yang menghadirkan diri ke kes perbicaraan ini. Ramai hantu yang mengambil cuti pada hari ini untuk melihat sendiri kes perbicaraan yang berprofil tinggi ini.

“Saya harap semua hantu dapat bertenang, agar tidak timbul sebarang kekecohan.” Hakim Hantu meminta semua gelodak perasaan hantu dikawal agar tidak merosakkan perjalanan kes perbicaraan ini.

“Hari ini sudah masuk hari yang ke seratus sembilan puluh dua hari perbicaraan. Namun keputusan yang sebenar masih belum dapat diketahui, apa semua ini?” Seekor hantu yang bekerja sebagai pemandu teksi menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Ada beberapa ekor hantu mengangguk bersetuju dan ada lagi beberapa ekor hantu yang menggeleng-geleng, bersimpati dengan Hantu Tu Ya. “Hantu Tu Ya adalah seekor hantu betina yang jelita. Sayangnya, dia telah bermain dengan api. Menteri adalah api, api sifatnya membakar.”

“Hakim Hantu, telah saya dapati. dan telah saya teliti, terdapat begitu banyak keraguan dalam kes ini. Saya merasakan seolah-olahnya terdapat konspirasi peringkat tertinggi untuk mengenakan yang tertuduh.”

Hujah pembelaan Hantu Buku menjengkelkan dua tiga ekor hantu yang juga rajin membaca buku dan gigih mengulangkaji falsafah. “Bodoh. Ini memang sebuah konspirasi pun. Sebuah komplot jahat. Bahkan, ada bukti yang cukup kuat memperlihatkan Hakim Hantu pernah makan malam dengan menteri hantu yang mendakwa kononnya dia cuba dibunuh Hantu Tu Ya.”

Suara dua tiga hantu yang juga rajin membaca buku dan rajin mengulangkaji falsafah itu perlahan, begitu perlahan sekali tetapi tetap dapat ditangkap oleh deria pendengaran Hantu Buku.

Hantu Buku berjalan, berpusing-pusing di hadapan kandang hantu kena tuduh. Hujah demi hujah pembelaan dikeluarkan. Hantu Tu Ya, air matanya masih mengalir. Hantu Buku meneruskan hujahnya.

“Memang, Hantu Tu Ya berada di dalam kondo mewah milik menteri pertahanan hantu, tetapi adakah dengan sebab, Hantu Tu Ya berada di dalam kondo mewah milik menteri pertahanan hantu, menjadikan Hantu Tu Ya seekor pembunuh yang cuba membunuh menteri pertahanan hantu? Sepatutnya yang kena menjadi persoalan adalah, bagaimana Hantu Tu Ya yang jelita ini, boleh dapat masuk ke dalam kondo mewah milik menteri pertahanan hantu? Adakah terdapat sebuah komplot yang diatur?”

Setiap ekor hantu yang duduk dan berdiri di dalam dan di luar mahkamah hantu bersorak. Ada yang menjerit, ada yang bertepuk kerana hujah Hantu Buku kuat dan ampuh untuk mengenakan semula hantu-hantu jahat yang menjadi menteri. Wakil-wakil serta pihak-pihak yang ada kepentingan dengan menteri-menteri hantu terasa sakit perut seperti ada duri daging yang mencucuk-cucuk perut.

Hantu Tu Ya, hantu jelita yang berasal dari sebuah Negara hantu monggol. Ayah Hantu Tu Ya, professor kimia. Ayahnyalah yang mengupah Hantu Buku yang sudi menjadi peguambela anaknya setelah seratus ekor hantu peguambela yang ditemui ayah Hantu Tu Ya menolak untuk menjadi peguambela kepada anaknya.

“Saya fikir, mereka semua sudah dibeli.” Ayah Hantu Tu Ya berkata kepada Hantu Buku lebih seratus sembilan puluh dua hari yang lepas ketika Hantu Buku sudi menawarkan diri menjadi peguambela anaknya.

Hantu Buku diam sambil mencicip kopi. Mata Hantu Buku tidak lekang memerhatikan perenggan demi perenggan buku yang dihadiahkan kepadanya oleh ayah Hantu Tu Ya.

Selepas ayah Hantu Tu Ya pulang, baharulah Hantu Buku tersedar. Apabila Hantu Buku bangun di tengah malam ketika loceng pintu rumahnya berbunyi dua tiga empat kali, rumahnya telah disimbah darah. Darah anjing.

Ugutan, ancaman datang berpuluh-puluh, bahkan mungkin juga lebih beratus-ratus kali. Hantu Buku diam sahaja tidak menggeletar apabila digertak mahu dibunuh kedua orang tuanya.

Hantu Buku berjuang bergelandangan seorang diri di kota metropolitan hantu. Hantu Buku sudah lama tidak menghubungi kedua orang tuanya, lebih setahun meskipun Hantu Buku baharu sahaja membeli sebuah telefon genggam.

Kisah Hantu Tu Ya, hantu jelita dari Negara hantu monggol menarik minat Hantu Buku. “Kisah kamu hampir sama seperti aku. Namun, kejelitaan kamu hampir sahaja membunuh kamu. Kenapa kamu bermain dengan api?”

Ketuk-ketuk-ketuk.

Hantu Buku teringat perbualan lamanya dengan anak guamnya, Hantu Tu Ya tidak berapa lama sebelum kes perbicaraan dimulakan. Benar, Hantu Tu Ya memang jelita, ayu, rambutnya panjang, harum mewangi.

Ketuk-ketuk-ketuk.

Ketukan Hakim Hantu membingitkan kedua belah telinga Hantu Buku. Baharulah Hantu Buku tersedar, dia sekarang berada di dalam mahkamah hantu. “Saya minta maaf.”

“Kalau mahu tidur, sila tidur di rumah.” Sinis sekali kata-kata yang keluar dari bibir tebal Hakim Hantu. Hantu Buku diam. Matanya melirik kepada Hantu Tu Ya. Di Wajah Hantu Tu Ya terpancar sejuta harapan.

Hantu Buku duduk. Giliran hantu yang menjadi pendakwa-raya, iaitu hantu raya pula berhujah, bersoal jawab dengan Hantu Tu Ya. Hantu raya yang menjadi pendakwa raya itu menyeringai terlebih dahulu kepada hadirin.

Hantu Buku tidak berapa memperdulikan sangat tentang hantu raya yang menjadi pendakwa raya. Hujah hantu raya yang menjadi pendakwa raya bukan kuat pun. Hantu raya yang menjadi pendakwa raya cuma pandai menyeringai.

Yang menjadi permasalahan sekarang ini adalah Hakim Hantu. Hakim Hantu adalah masalah sebenarnya. Hakim Hantu adalah watak utama dalam kes ini selain dirinya sendiri dan juga Hantu Tu Ya.

“Hakim Hantu…” Hantu Buku memandang wajah Hakim Hantu yang berkulit hitam, berparut di leher dan berbibir tebal. Hakim Hantu, menurut apa yang diperoleh Hantu Buku hasil dari penyiasatannya, adalah seekor hantu yang sebelum ini bekerja sebagai penjaga rel kereta-api. Namun apabila sebuah parti politik hantu menawarkan sejuta duit hantu kepada hantu-hantu yang berminat mahu menjadi ahli perundangan parti politik hantu, terus Hakim Hantu meninggalkan rel kereta-api dan mengaji di sebuah kolej universiti hantu di luar negeri Perlis. Hakim Hantu akhirnya mendapat pembiayaan seekor menteri hantu untuk meneruskan pengajiannya. Dan lagi, satu perkara yang perlu disahihkan lagi, khabarnya, Hakim Hantu gagal lulus dalam sebuah peperiksaan hantu kerana didapati meniru yang akhirnya membuatkan Hakim Hantu membeli ijazah. Ijazah Hantu yang diperolehnya itulah yang menyebabkan Hakim Hantu diterima menjadi ahli perundangan parti politik hantu.

“Mahkamah Hantu ditangguhkan sepuluh hari dari sekarang.” Hakim Hantu mengetuk martil dua tiga empat kali. Beberapa hadirin masih tidak berpuas hati. Sanak saudara Hantu Tu Ya mula mendendami.

Masa tidak banyak. Siang pergi datanglah malam. Malam pergi datanglah siang. Dalam tempoh yang semakin suntuk itu, Hantu Buku bekerja menyiasat dan mengumpulkan bukti untuk menumbangkan sebuah komplot.

“Kamu tidak sihat? Tidak cukup tidur?” Petang sebelum esoknya hari perbicaraan, Hantu Buku melawat anak guamnya di penjara. Hantu Tu Ya diam, mengangguk-angguk sahaja.

“Jangan bersedih. Setiap makhluq, mati, binasa. Kamu takut mati?” Wajah Hantu Buku cukup tenang, cukup mendamaikan. Hantu Tu Ya tersentak. Hantu Tu Ya menggeleng-geleng, tetapi mulutnya masih tetap diam.

“Bercakaplah sesuatu. Aku datang mahu berbual-bual dengan kamu, Hantu Tu Ya. Jujur aku beritahu, aku berasa beruntung dapat mewakili hantu betina yang bijak seperti kamu, Hantu Tu Ya.”

Hantu Tu Ya tersenyum, terhibur. Hantu Buku sedikit gembira.

Bibir Hantu Tu Ya bergerak-gerak.

“Kamu sudah ada kekasih, Hantu Buku?”

***

Ruang perbicaraan penuh sesak. Sanak saudara Hantu Tu Ya yang jauh pun turut datang sekali. Mereka sudah merancangkan sesuatu jika ada apa-apa berlaku kepada Hantu Tu Ya. Hantu-hantu yang datang lambat terpaksa duduk berhimpit-himpit di atas bangku yang disediakan. Kebanyakan hantu-hantu yang hadir telah membaca perihal kes tersebut di akhbar dan menonton kes itu di TV.

“Wah, Hantu Tu Ya sudah keluar!” Seekor hantu yang berperut sedikit buncit menjerit. Hantu Tu Ya telah memakai baju bercorak bunga. Rambut Hantu Tu Ya diikat tocang dua dan dikemaskan dengan dua klip rambut berwarna merah hati. Hantu Tu Ya juga memakai anting-anting dan loket emas yang dihadiahkan Hantu Buku, semalam.

Hantu Buku tersenyum mekar ketika duduk dan melihat Hantu Tu Ya. “Akhirnya…” Hakim Hantu yang datang awal berasa sedikit berahi kepada Hantu Tu Ya yang semakin menawan itu.

Udara di dalam ruang perbicaraan tersebut terasa panas kerana terlalu ramai hantu yang menjadi hadirin. Meskipun kipas siling masih berputar dengan laju sekali, panas masih tidak mahu pergi. Seolah-olahnya panas mahu bersama-sama menyaksikan perbicaraan penuh konspirasi ini. Ramai hantu yang tidak tahan panas mengibas sapu tangan, kertas, atau buku yang dibawa.

Muka hantu-hantu polis yang berkawal kelihatan resah. Hantu-hantu polis berdiri di muka pintu dan sudut ruang untuk mengawal keadaan. Pagi tadi, mereka mendapat tahu tentang rancangan sebuah rusuhan.

Mahkamah hantu bermula tepat pukul sebelas empat puluh lima pagi. Hakim Hantu membacakan kes seperti selalu. Hantu Tu Ya dipanggil untuk duduk di kandang hantu kena tuduh.

“Panggil pelayan yang bertugas malam itu!” Hakim Hantu mengetuk martil.

“Saya pulang lambat malam itu. Kerja saya belum dibereskan lagi. Tiba-tiba waktu sebelas satu minit malam, saya terdengar jeritan. Jeritan menteri pertahanan hantu. Saya berlari masuk ke dalam bilik menteri pertahanan Hantu, saya nampak Hantu Tu Ya memegang sebilah pisau yang tajam berkilat. Saya terus berlari keluar, mendail nombor pengawal keselamatan.”

Pelayan kemudian duduk menghempas nafas berat. Hantu Tu Ya menjerit-jerit mengatakan, itu tidak benar. Pelayan tunduk tidak berani memandang mata Hantu Tu Ya dan Hantu Buku.

Hakim Hantu tersengih, kemudian pura-pura serius. Sanak saudara Hantu Tu Ya semakin geram. “Panggil pengawal keselamatan yang bertugas di malam kejadian!”

Pengawal keselamatan datang lewat. Sekujur tubuh badannya dibasahi peluh yang mencurah-curah yang masih mengalir. “Saya datang segera dengan kayu cota yang saya pegang kemas selepas disms oleh pelayan. Saya segera berlari-lari melompat masuk ke kondo mewah milik menteri pertahanan hantu. Pintu berkunci. Saya rasa Hantu Tu Ya yang mengunci pintu itu!”

Pengawal keselamatan menuding jari hantunya ke arah Hantu Tu Ya.

“Bawa pintu kondo mewah milik menteri pertahanan hantu!”

Hakim Hantu mengetuk martil sekali lagi kemudian Hantu Buku mengangkat tangan. “Objection! Bantahan! Hakim Hantu, kenapa perlu dibawa pintu?” Hantu Buku mencampakkan buku yang dipegangnya ke lantai mahkamah hantu. Kedengaran rungutan ramai hantu yang sudah mula menyampah dengan perbicaraan yang merapu dan tidak selesai-selesai ini.

Hakim Hantu terkedu. “Ops silap. Betul juga. Kenapa perlu dipanggil pintu? Saya tersilap. Saya ingatkan ada lagi hantu yang perlu dipanggil sebentar tadi. Maafkan saya, sila duduk kembali hantu-hantu sekalian dan kembali bertenang.”

Sebelum tiba sesi penggulungan, Hantu Buku mengutip bukunya yang dicampak sebentar tadi kemudian menuding jari telunjuknya dengan bergaya sekali kepada Hakim Hantu:

“Pertama, saksi memberi kenyataan yang bercanggah, melanggar laluan angin sama sekali. Pengawal keselamatan kata pintu berkunci, sementara pelayan pula, boleh masuk ke dalam kondo mewah menteri pertahanan hantu. Kedua, pelayan kata, dia mendail nombor pengawal keselamatan. Sementara pengawal keselamatan menerima panggilan daripada pelayan dengan sms. Apa semua ini? Mana keadilan jika keraguan bercambah-cambah?”

Laungan mana keadilan bergema-gema di dalam ruang mahkamah. Sementara sanak saudara Hantu Tu Ya yang sudah tidak merasa keadilan lagi di dalam mahkamah hantu segera beredar keluar dari mahkamah hantu.

Hakim Hantu terdiam, lidahnya tidak terjelir keluar dari mulut.

“Apa keputusannya, Hakim Hantu?” Seekor hantu yang berjalan senget bertanya dengan suara yang kuat. “Hantu Tu Ya bersalah, itu sahaja,” Hakim Hantu mengetuk martil kemudian turun dari tempat duduk hakim.

“Maafkan saya Hantu Tu Ya, saya tidak dapat mengotakan janji saya, dan janji kita berdua.” Hantu Buku menghentukkan kepala berkali-kali di kandang hantu kena tuduh sementara Hantu Tu Ya mengusap-usap kepala Hantu Buku.

***

Alangkah terperanjatnya Hantu Buku apabila melihat sekitar dua ratus ekor hantu sedang bersorak-sorai sambil menyaksikan kebakaran yang berlaku ke atas sebuah kenderan polis. Ada di antara ratusan ekor hantu yang berada di situ telah menyimbah minyak petrol ke atas kenderaan yang terbakar itu. Api menjulang ke udara lalu mencecah paras bumbung mahkamah hantu. Hantu Buku tergerak di hati keadilannya untuk berbuat sesuatu tetapi tidak boleh.

Hakim Hantu serta hantu raya keluar dari pintu depan mahkamah hantu. Sekumpulan hantu kemudian mara ke arah Hakim Hantu dan hantu raya dengan marah. Kedua-dua dada Hakim Hantu dan hantu raya bergemuruh.

Seekor hantu yang matanya agak sepet bertindak agresif dengan mengambil palang-palang kayu lalu membelasah Hakim Hantu hingga rebah. Kepala Hakim Hantu pecah sebelum Hantu Buku sempat berbuat apa-apa. Hantu Buku ditarik tangannya jauh ke tepi. Kemudian Hantu Buku melihat hantu raya pula dipukul hingga darah hantu raya bersimbah di atas jalan raya. Mayat mereka berdua diseret di atas jalan raya dan kemudian dilontarkan ke dalam sungai yang penuh sampah sarap.

“Keadilan! Mana keadilan jikalau begini?” Hati Hantu Buku menangis.

No Response to "Hantu Tu Ya (Antara cerpen saya yang tidak bergenrekan tauhid.)"

Leave A Reply