Makluman
Adakah Kita Begini?
Tuesday, January 5, 2010
Dimanakah Dr Burhanuddin Al-Helmy ke-2?
Posted on 11:58 AM by Arrazzi Alhafiz Alattas
"Sesekali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan mereka" [Al-Baqarah 2:120]
Gegak-gempita seluruh Tanah Melayu bila mana Mahkamah Tinggi memutuskan keizinan bagi akhbar minggu, Herald- Catholic Weekly menggunapakai kalimah 'Allah'. Sensitiviti umat Islam di Malaysia diganggu-gugat sekian kalinya. Akhbar-akhbar dunia membuat satu liputan khas tentang itu apalagi akhbar Kristian.
Tiba-tiba saya terkenang sosok peribadi yang tidak asing lagi dalam sejarah Malaysia walaupun ada usaha untuk mengesampingkan beliau. Prof Dr. Burhanuddin Al-Helmy (gambar) adalah orang yang dimaksudkan.
Orang inilah yang memobilisasikan masyarakat Islam di Tanah Melayu dan Singapura menentang usaha-usaha halus yang dilakukan untuk memurtadkan Natrah. Kita sama sekali tidak boleh lupa Tragedi Natrah pada 12 Disember 1950. Tragedi yang bertitik tolak dari keputusan mahkamah bahawa Natrah mesti dikembalikan ke pangkuan ibubapanya dan bapanya diberi hak menentukan agama anutannya. Satu perkara yang harus diingat tentang kes ini ialah mahkamah sendiri mengakui bahawa pengislaman Natrah adalah atas kerelaannya sendiri.
Tragedi Natrah menyaksikan 18 orang syahid dan 173 bertempur dengan polis penjajah.
Itulah semangat juang yang ada pada umat Islam. Mesej yang ingin disampaikan ialah jangan sekali-kali kalian usik Islam. Hilang tanah, mati adat, maruah bangsa dihinjak namun bila saja Islam disentuh, kalian sebenar-benar musuh.
Dr Burhanuddin keliling Tanah Melayu dan Singapura memperjelas dan membakar semangat cintakan Islam dalam hati sanubari umat Islam. Sebagai Presiden Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) pada ketika itu dengan dibantu timbalannya, Prof Dr Zulkifli Muhammad usaha-usaha ini adalah keutamaan yang paling tinggi sesuai dengan dasar dan semangatnya selaku pemimpin Parti Islam. Prof Emiretus Tan Sri Dato' Dr. Ahmad Ibrahim (Bapa Perundangan Islam Malaysia) menjadi peguam Natrah dan juga tulang belakang kepada Dr. Burhanuddin.
Insan mulia inilah yang ditahan di Pulau Sikajang, Singapura dan merengkok dalam tahanan ISA oleh penjajah.
Soal saya, dimanakah Prof. Dr. Burhanuddin Al-Helmy ke-2? Dimanakah pimpinan Islam yang mahu bangun dengan semangat cintakan Islam demi membeli Ad-Deen suci ini?
Saya tidak minta kita merusuh tetapi selesaikan perkara ini dengan baik dan tuntas demi kelestarian Islam di bumi Malaysia.
Perkembangan yang berlaku sepanjang 2009 sangat tidak mesra dengan Islam dan umatnya. Toleransi kita janganlah sampai menghakis hak dan keistimewaan Islam. Tindakan populis diambil sehingga umat Islam menggigit jari bukan satu perkara yang bijak.
Mubaligh Kristian bertepuk tangan dengan kemenangan ini. Pendakyah sudah mengatur langkah untuk memecut sedang pendakwah duduk bersandar menggoyang kaki?
Dalam Usul Fiqh ada kaedah Sad Az-Zarae' - menghalang perkara buruk sebelum berlaku - adalah kaedah yang paling sesuai dalam waqi' dan 'uruf kita di Malaysia. Itu paling praktikal untuk kita.
Akhbar-akhbar menulis bahawa Kerajaan Malaysia akan membuat rayuan tetapi soalnya di sini mengapa permohonan rayuan tidak dibuat dalam tempoh 24 jam sebagaimana kes Menteri Besar Perak? Apakah kes itu lebih utama dan tinggi nilainya mengatasi Islam? Kalau kata Jumaat, Sabtu dan Ahad mahkamah bercuti. Mengapa tidak Isnin? Bahkan kita sebenarnya mendapat lebihan masa untuk memperkemaskan hujah bagi proses rayuan itu nanti. Kita masih lewa dan lambat dalam isu besar seperti ini.
* Penulis adalah bekas penuntut Jabatan Usuluddin, Akademi Islam KUIS. Kini beliau berkhidmat di Aman Palestin Berhad (sebuah pertubuhan tidak bermotifkan keuntungan). Beliau adalah pengendali laman GEMA MAHASISWA.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No Response to "Dimanakah Dr Burhanuddin Al-Helmy ke-2?"
Leave A Reply